Bagaimana tangan hendak menyambut jika hatinya enggan menyambut? Bagaimana kaki hendak melangkah jika hati tidak menginginkan? Bagaimana mulut hendak mengatakan tidak, walhal hati menjerit “iya” sekuatnya?
Tidak terhasil cinta jika benci terus berantakan dijiwa, bahkan tidak lahir amalan yang jitu selagi keyakinan masih bertingkah didada. Ketika itu, lahirlah apa yang menguasai jiwanya, iaitu lahirnya maksiat apabila keimanan tewas dengan kekufuran. Maka, wajiblah bagi kita untuk terus bermujahadah agar iman terus pasak didada.
Setiap muslim akan berperang dengan nafsunya sendiri setiap hari agar tidak terjatuh kelam di dalam dosa. Hati, perlu dibentengi dengan kuat agar iman tidak terus tercalar, tertoreh dek hasutan nafsu yang semakin menjalar. Fa’tabiruuu
Maka, untuk mengubati hati yang semakin candu dengan dunia, dan berahi dengan dosa, memerlukan fokus yang tinggi iaitu dengan berzikir sehingga ia menerobos lubuk hati yang paling mendalam. Lisan yang kerap meratib zikir akhirnya akan meyakinkan kita bahawa Allah Maha Mendengar, dan tidak mungkin bagi seseorang untuk terjerumus didalam kancah dosa jika jiwanya penuh dengan zikrullah. Ayuh, perbanykkan Zikrullah.