Soalan : Apakah hukum tertidur ketika mendengar khutbah Jumaat?
Jawapan :
Hari jumaat merupakan penghulu segala hari, bahkan ia juga merupakan hari yang sangat isteimewa bagi umat Islam. Sesungguhnya pada hari Jumaat, umat islam telah diperintahkan untuk menunaikan solat Jumaat. Solat Jumaat merupakan perhimpunan mingguan umat Islam secara besar-besaran, dan disitulah umat islam duduk bersama mendengar Khutbah yang akan disampaikan oleh Khatib untuk menambah ilmu pengetahuan, menerima nasihat dan tunjuk ajar serta meningkatkan keimanan kepada Allah SWT.
Namun, para Fuqaha mempunyai pendapat yang berbeza tentang hukum diantara wajib dan juga sunat. Namun menjadi keutamaan untuk mereka yang hadir mendengar khutbah dengan teliti.
Secara umumnya, terdapat dua perkara yang menyebabkan seseorang itu lagha ketika solat jumaat adalah,
Pertama: Perkataan
Semasa khutbah sedang berlangsung, sebarang ucapan dan perkataan yang berlaku akan menyebabkan seseorang itu lagha.
Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ
Maksudnya: Apabila kamu berkata kepada sahabat kamu: “Diamlah” ketika imam sedang berkhutbah pada hari Jumaat, maka sesungguhnya kamu telah lagha.
Riwayat Al-Bukhari (934)
Hadis ini menjadi dalil penguat bahawa sebarang ucapan adalah dilarang sama sekali ketika khutbah jumaat sedang berlangsung. Para ulama telah memberikan pengertian bagi lagha adalah:
- Tidak mendapat sebarang pahala
- Fadilat Jumaat seseorang itu terbatal
- Solat Jumaatnya menjadi solat Zohor sahaja
Kedua: Perbuatan Anggota Badan
Antara perkara yang akan melaghakan seseorang ketika khutbah jumaat adalah apabila melibatkan sebarang pergerakkan dan perbuatan sehingga menyebabkan seseorang itu hilang fokus. Berdasarkan riwayat Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda
مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ ثُمَّ أَتَى الْجُمُعَةَ فَاسْتَمَعَ وَأَنْصَتَ غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ وَزِيَادَةُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا
Maksudnya: Sesiapa yang berwuduk dan dia perelokkan wuduknya, kemudian dia pergi menuju solat jumaat serta mendengar (khutbah) dengan teliti, dan diam (semasa khutbah), akan diampunkan dosa-dosanya dalam tempoh antara dirinya dan juga hari jumaat (yang akan datang), serta pertambahan 3 hari lagi. Dan sesiapa yang bermain dengan batu kecil, maka dia telah lagha.
Riwayat Muslim (857)
Berdasarkan hadis ini dapat difahami bahawa perbuatan bermain-main batu kecil ketika khatib memberikan khutbah adalah dilarang kerana mampu menjadikan pelakunya lagha. Hal ini juga mampu dikaitkan dengan bermain telefon, tidur, makan, minum dan lain lain yang menganggu fokus dan tumpuan ketika mendengar Khutbah.
Maka, dapat disimpulkan disini bahawa tidur ketika khutbah berlangsung adalah dilarang kerana ia akan menggangu fokus ketika mendengar Khutbah Jumaat. Oleh itu, perkara ini sangat ditegah kerana ia akan melalaikan pendengarnya. Namun sekiranya ia tidur dengan tidak sengaja, maka ia tidak termasuk didalam larangan tersebut.
Rujukan: Mufti Wilayah Persekutuan