Allah berfirman di dalam Al-Quran:
فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ خَیۡرࣰا یَرَهُۥ
“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!” [Surah az-Zalzalah 7]
Antara cara untuk melahirkan rasa bahagia adalah dengan melakukan walau hanya sekecil-kecil kebaikan. Antara perkara yang perlu kita tanam didalam diri bahawa, setiap kebaikan itu akan dinilai oleh Allah bahkan amal yang datang dengan ikhlas itu yang akan menyelamatkan kita di akhirat kelak.
هَلۡ جَزَاۤءُ ٱلۡإِحۡسَـٰنِ إِلَّا ٱلۡإِحۡسَـٰنُ
“Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik – melainkan balasan yang baik juga” [Surah ar-Rahman 60]
Didalam Islam, Kita ditegah untuk meremeh-remehkan amal kebaikan yang mungkin pada pandangan mata kita ia cumalah amalan kecil, sehingga Rasulullah SAW sendiri telah bersabda yang maksudnya:
“Janganlah meremehkan kebaikan walaupun hanya berbicara kepada saudaramu dengan wajah yang tersenyum kepadanya. Amalan itu adalah sebahagian daripada kebajikan.”
(Hadis Riwayat Abu Dawud)
Selain itu, Rasulullah SAW juga telah menganjurkan kepada kita semua untuk sentiasa turut mengajak manusia lain untuk bersama-sama membuat kebaikan. Hal ini kerana, berbuat kebaikan bukan sahaja untuk kebaikan diri sendiri, malah untuk kebaikan bersama. Sebagaimana Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
“Barang siapa mengajak ke arah kebaikan, ia memperoleh pahala sebagaimana pahala-pahala orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan pahala mereka yang mencontohinya itu sedikit pun. Barang siapa mengajak ke arah keburukan, maka ia memperoleh dosa sebagaimana dosa-dosa orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan dosa-dosa mereka yang mencontohinya itu sedikit pun.”
(Riwayat Muslim)
Dan ketahuilah bahawa orang yang sentiasa melakukan kebaikan, hatinya akan sentiasa tenang, damai dan bahagia. Sebaigamana Sabda Nabi saw:
الْبِرُّ مَا اطْمَأَنَّتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي النَّفْسِ وَتَرَدَّدَ فِي الصَّدْرِ
“Kebaikan ialah apa yang membuatkan jiwa tenang. Manakala dosa adalah yang membuat jiwamu gelisah dan ragu-ragu di hatimu”
(HR Imam Ahmad)
Sayidina Nawwas bin Sam’an r.a, Nabi saw bersabda:
الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَالإِثْمُ مَا حَاكَ فِى صَدْرِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ
“Kebaikan adalah dengan berakhlak yang mulia. Sedangkan dosa adalah sesuatu yang menggelisahkan hatimu…”
(HR Muslim)
Semoga kita termasuk didalam golongan yang sentiasa berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan dan memberi manfaat kepada mereka yang lain. In Shaa Allah.
Wallahua’lam.