Kita sedia maklum bahawa Rasulullah seorang yang maksum dan dikurniakan keampunan buat Baginda.
Namun, timbul persoalan, sekiranya benar Rasulullah maksum dan tiada dosa pada Baginda, mengapa Baginda masih beristighfar?
Berikut merupakan sebab-sebabnya:
Menurut riwayat Shahih Muslim, Rasulullah dikatakan tenggelam dalam kekhusyukan beristighfar. Sabda Baginda Nabi:
إِنَّهُ لَيُغَانُ عَلَى قَلْبِي، وَإِنِّي لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ فِي الْيَوْمِ مِئَةَ مَرَّةٍ
“Sesungguhnya hatiku tenggelam dalam keseronokan beristighfar. Dan sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah setiap hari seratus kali.”
(HR Muslim)
- Menurut imam al-Nawawi, Baginda beristighfar bukan buat dirinya sendiri akan tetapi untuk umatnya iaitu KITA! Kata al-Imam al-Nawawi:
هُوَ هَمُّهُ بِسَبَبِ أُمَّتِهِ وَمَا اطَّلَعَ عَلَيْهِ مِنْ أَحْوَالِهَا بَعْدَهُ فَيَسْتَغْفِرُ لَهُمْ
“Ia adalah disebabkan kerana keperihatian Nabi terhadap umatnya, Baginda memerhati hal ehwal yang akan menimpa umatnya lalu Baginda beristighfar buat mereka.
(al-Nawawi, Sharh Muslim).
Imam al-Nawawi juga menegaskan bahawa istighfar Rasulullah itu adalah manifestasi pengabdian Baginda kepada Allah iaitu menundukkan seluruh jiwa raganya hanya kerana Allah sebagai tanda hamba yang bersyukur.
- Menurut al-Qadi Iyad pula, Baginda mengucapkan itighfar sepanjang masa kerana bimbang hatinya leka dari mengingati Allah.
كَانَ شَأْنُهُ الدَّوَامَ عَلَيْهِ فَإِذَا فتَرَ عَنْهُ أَوْ غَفَلَ عَدَّ ذَلِكَ ذَنْبًا وَاسْتَغْفَرَ مِنْهُ
“Sesungguhnya hati Rasulullah itu sentiasa berada dalam keadaan zikir (mengingati Allah), namun apabila Baginda teralpa atau terleka seketika, maka Baginda segera beristighfar kerana leka dari berzikir kepada Allah.” (Sharh Muslim)
Kesimpulan
Betapa hebatnya Rasulullah, meski dirinya maksum, Baginda masih beristighfar kerana Baginda terlalu menghayati dan tenggelam dalam keseronokan Istighfar. Malah, Baginda bukan sahaja beristighfar untuk dirinya agar tidak leka dari mengingati Allah bahkan Baginda juga beristighfar untuk kita. Bagaimanakah kita? Berapa banyakkah ratib istighfar kita setiap hari? Berapa banyakkah penyesalan dan muhasabah yang kita lakukan setiap hari? Tepuklah Dada Tanyalah Iman.