Mungkin tidak kita perasan bahawa setiap hari ada sahaja kes pembuangan bayi dilaporkan, belum lagi dengan kes keguguran sengaja. Apakah puncanya? Tidak lain, tidak bukan ia datang dari ZINA.
Mengapa zina dianggap biasa? kerana hal terpenting adalah apabila jiwa mula memberontak sehingga setiap nasihat sukar untuk diterima. Bak kata pepatah, dari mata turun ke hati. Tahukah sahabat remaja sekalian, dari hati itulah akan terdetik nafsu sehingga tergadai diri menderita sendiri.
Mari kita telusuri kisah Nabi Yusuf Alaihissalam, dimana ancaman zina ini dirakam didalam Al-Quran oleh Allah untuk dijadikan pengajaran kepada kita semua. Bagaimana Nabi Yusuf digoda oleh seorang wanita yang bukan sahaja cantik, malah seorang isteri pembesar yang kaya. Namun Nabi Yusuf berdoa dan menyebut nama Allah untuk menguatkan dirinya dan mengingatkan wanita tersebut supaya takut dengan Allah.
Dari kisah Nabi Yusuf ini, dapat kita lihat bagaimana Baginda mengutamakan Allah iaitu dengan sentiasa merasakan Allah itu sentiasa ada dan melihat setiap kelakuan kita. Maka, keimanan dihati perlu sentiasa disuburkan. Rasulullah SAW bersabda,
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Nabi SAW bersabda:
يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ
Maksudnya: “Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu (pembiayaan) berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin). Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya (dalam membendung syahwat)”
Riwayat al-Bukhari (5065) dan Muslim (3466)
Imam Nawawi menjelaskan, adapun pengertian al-ba’ah (الْبَاءَةَ) sendiri adalah jima’ (hubungan intim), inilah makna al-ba’ah (الْبَاءَةَ) pada bahasa. Namun yang dimaksudkan adalah mampu untuk berjima’ disertai dengan kemampuan memberi nafkah terlebih dahulu. Sesiapa yang tidak mampu berjima’ lantaran belum mampu dari segi nafkah, maka hendaklah dia rajin berpuasa untuk mengekang syahwatnya yang menggelora. Gejolak maninya dapat ditahan dengan rajin berpuasa sunat seperti itu. Itulah maksud hadis yang dikemukakan di atas. Hadis tersebut ditujukan kepada para pemuda yang syahwatnya sudah menggelora namun belum mampu untuk memberi nafkah. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/154)
Akhirul kalam, ternyata Islam sudah memberi panduan yang secantiknya. Maka, sahabat remaja sayang sekalian, Ayuh kita ikut panduan Islam, semoga Allah terus sentiasa menjaga dan membimbing kita dari melakukan perkara yang dikeji oleh Allah SWT. In shaa Allah
Allahul Mustaan.