Malu adalah salah satu sifat yang dapat membentengi lelaki atau perempuan daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah. Mukmin yang mempunyai sifat malu ini semestinya dapat menghindarkan dirinya dari menghancurkan diri sendiri bahkan dapat membuktikan bahawa dia memiliki hati dan jiwa yang murni.
Rasulullah SAW bersabda,
“Sesungguhnya antara perkara yang telah diketahui manusia daripada kalimat kenabian terdahulu adalah, jika engkau tidak malu, berbuatlah sesukamu.”
(Riwayat Bukhari)
Oleh itu, malu adalah satu perisai mukmin, bahkan juga salah satu dari cabang iman. Justeru, sifat malu bukan satu perkara kecil kerana apabila menyentuh soal iman, ia perkara asas dalam agama.Jika seseorang individu mengaku dirinya beriman kepada Allah SWT, maka sifat malu perlu ada dalam dirinya.
orang yang memiliki sifat malu terhadap Penciptanya akan sentiasa berusaha untuk melakukan perintah serta meninggalkan larangan-Nya walau di mana pun ia berada; sama ada apabila sendirian ataupun ketika dikhalayak manusia lain. Namun, mereka yang mempunyai sifat malu hanya kepada manusia, ia hanya akan cuba untuk memelihara dirinya daripada melakukan perkara yang mengaibkan dan hanya melakukan kebaikan apabila berada bersama kalangan manusia. Tetapi apabila disebalik manusia, ia tidak segan silu melakukan maksiat, padahal Allah itu Maha Melihat segala perlakuan hambaNya.
Begitulah pentingnya sifat malu dan sewajarnya kita sebagai seorang mukmin untuk memiliki sifat ini. Malu bukan kerana kekurangan atau kelemahan diri di mata manusia sahaja, tetapi malu adalah tanda iman kepada Allah SWT yang menyebabkan kita sentiasa ingin melakukan amalan yang diredai Allah SWT. In shaa Allah.