Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran,
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِذَا قُمۡتُمۡ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ فَٱغۡسِلُوا۟ وُجُوهَكُمۡ وَأَیۡدِیَكُمۡ إِلَى ٱلۡمَرَافِقِ وَٱمۡسَحُوا۟ بِرُءُوسِكُمۡ وَأَرۡجُلَكُمۡ إِلَى ٱلۡكَعۡبَیۡنِۚ
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali…” [Surah al-Ma’idah 6]
Berdasarkan ayat diatas ini adalah berkenaan dengan seruan Allah untuk menjelaskan mengenai syariat berwuduk ketika mendirikan solat kepada orang beriman. Hal ini demikian kerana, suci daripada hadas merupakan salah satu syarat sahnya solat. Tanpa wudhuk solat itu tidak sah dan tidak akan diterima.
Rasulullah saw bersabda:
لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لاَ وُضُوءَ لَهُ وَلاَ وُضُوءَ لِمَنْ لَمْ يَذْكُرِ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى عَلَيْهِ
“Tidak ada solat bagi orang yang tidak berwudhuk. Dan tidak ada wudhuk bagi orang yang tidak menyebut nama Allah swt atasnya.” (HR Abu Dawud)
kita dituntut berwudhuk ketika ingin mendirikan solat, bahkan ia turut dituntut ketika kita hendak tidur. Nabi saw bersabda:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَبِيتُ عَلَى ذِكْرٍ طَاهِرًا، فَيَتَعَارُّ مِنَ اللَّيْلِ فَيَسْأَلُ اللَّهَ خَيْرًا مِنَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ
“Tiada seorang Islam yang tidur dengan berzikir dan dalam keadaan taharah, kemudian dia terjaga pada waktu malam, lalu dia memohon kepada Allah kebaikan di dunia dan akhirat, kecuali Allah swt perkenankan hajatnya” (HR Abu Daud dan Ibn Majah)
Sayidina al-Bara’ bin ‘Azib r.huma, katanya: Rasulullah saw bersabda kepadaku:
إِذَا أَتَيتَ مَضْجَعَكَ فَتَوضَّأْ وضُوءَكَ لِلصَّلاةِ، ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلى شِقِّكَ الأَيمَنِ، وقلْ: اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ نفِسي إِلَيكَ، وَفَوَّضتُ أَمري إِلَيْكَ، وَأَلَجَأْتُ ظَهرِي إِلَيْكَ، رغبةً ورهْبَةً إِلَيْكَ، لامَلجأَ ولا مَنجي مِنْكَ إِلاَّ إِليكَ، آمنتُ بِكِتَابِكَ الذِي أَنزَلْت، وَبِنَبِيِّكَ الذِي أَرسَلتَ، فإِنْ مِتَّ. مِتَّ عَلَى الفِطرةِ، واجْعَلهُنَّ آخِرَ مَا تَقُولُ
“Apabila kamu datang ke tempat perbaringan, hendaklah kamu berwudhuk seperti wuduk solat, kemudian berbaring atas lambung kanan, dan berdoalah:
اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ نفِسي إِلَيكَ، وَفَوَّضتُ أَمري إِلَيْكَ، وَأَلَجَأْتُ ظَهرِي إِلَيْكَ، رغبةً ورهْبَةً إِلَيْكَ، لامَلجأَ ولا مَنجي مِنْكَ إِلاَّ إِليكَ، آمنتُ بِكِتَابِكَ الذِي أَنزَلْت، وَبِنَبِيِّكَ الذِي أَرسَلتَ
“Ya Allah, aku serahkan diriku padaMu, dan aku serahkan urusanku padaMu. Aku sandarkan belakangku kepadaMu dengan penuh rasa harap dan takut kepadaMu. Tiada tempat bersandar dan selamat selain daripadaMu. Aku beriman dengan kitabMu yang Kamu turunkan, dan nabiMu yang Kamu utuskan.”
Sekiranya kamu mati, nescaya kamu mati di atas fitrah dan jadikanlah rangkuman doa ini sebagai akhir apa yang kamu baca” (HR al-Bukhari)
Didalam Hadis lain, Rasulullah SAW turut bersabda,
إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ، فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ، ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الأَيْمَنِ
“Apabila kamu pergi ke tempat perbaringan kamu, maka hendaklah kamu wuduk seperti kamu wuduk untuk solat, kemudian berbaringlah di lambung sebelah kananmu” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Imam Al-Qadhi ‘Iyadh turut berkata:
“Hadis ini terdapat tiga sunnah, salah satunya berwuduk untuk tidur kerana dibimbangi Allah mematikannya tanpa taharah (tanpa dalam keadaan bersuci). Dan seterusnya supaya mimpinya benar serta jauh dari permainan syaitan dalam mimpinya dan yang menakutkannya. Ketiga, jika dia mati, maka akhir amalannya di dunia adalah bertaharah serta zikrullah”.
Semoga kita tergolong dikalangan orang yang sentiasa berwuduk serta taat dalam melaksanakan Sunnahnya.