Keluarga Contoh Di Dalam Al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp

1. Allah memilih untuk menampilkan kisah keluarga Imran sebagai contoh keluarga yang soleh di dalam al-Quran. Antaranya adalah kisah Imran iaitu bapa kepada Saidatina Maryam. Menurut Ibn Asyur, beliau adalah di antara lelaki yang soleh dikalangan Bani Israel. (al-Tahrir wa al-Tanwir, 3/84)

2. Bukan sahaja Imran, isteri beliau turut digambarkan sebagai ibu dan isteri yang solehah. Ini dapat difahami melalui dialog (doa) beliau ketika mengandungkan Maryam. Isteri Imran bernazar agar anak yang dikandungnya menjadi seorang yang melindungi agama dan mengabdikan dirinya hanya untuk Allah. (al-Tabari, Jami’ al-Bayan).

3. Berkat doa ibu yang solehah serta ayah yang soleh, mereka dikurniakan anak yang solehah iaitu Maryam. Bukan itu sahaja, Allah menyusun agar guru yang mendidik Maryam juga adalah seorang yang soleh, iaitu Nabi Zakaria (surah Ali Imran: 37).

4. Kisah ringkas yang disebutkan oleh Allah dalam Quran ini menggambarkan kepentingan sinergi gabungan peranan ibubapa dan guru dalam membesar, mendidik serta menghasilkan pelajar yang baik. Walaupun diuji dengan ujian yang amat sukar (Maryam mengandung tanpa berkahwin), Maryam berjaya melalui ujian ini dengan tenang.

5. Kehebatan keluarga ini telah menjadikan nama mereka dipatrikan sebagai salah satu nama surah di dalam al-Quran, iaitu surah Ali Imran. Menariknya disini, Allah turut menampilkan juga contoh keluarga yang tidak baik, yang berlawanan dengan kisah keluarga Imran.

6. Sebagaimana Allah mengkhususkan satu surah untuk keluarga Abu Lahab, Allah telah menggambarkan kedudukan mereka sebagai contoh keluarga yang teruk di dalam al-Quran. Surah ini dimulakan dengan lafaz “cilaka” (tabbat) buat Abu Lahab kerana bukan sahaja memusuhi Islam dan menyakiti Rasulullah, malah isteri serta anak mereka turut membantu dalam perkara ini.

7. Ummu Jamil, isteri Abu Lahab dikatakan bukan sahaja mencaci Rasulullah, malah menabur duri dijalan yang dilalui Rasulullah. Anak mereka yang berkahwin dengan puteri Rasulullah, Utbah (yang berkahwin dengan Ruqaiyah) serta Utaybah (yang berkahwin dengan Ummu Kalthum) disuruh pula menceraikan isteri mereka (iaitu anak-anak Rasulullah).

8. Kejahatan Abu Lahab serta ahli keluarga mereka dalam memerangi Islam kini diabadikan di dalam al-Quran di dalam satu surah khas, sebagai pedoman buat Muslim.

Antara doa yang disebutkan di dalam Al-Quran adalah

 رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Bermaksud:  “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami istri-istri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.”  (Al-Furqan : 74)

Mudah-mudahan kita dapat beramal dengannya dan dikurniakan kita semua dengan zuriat yang soleh dan solehah, amin.

Artikel Asal: Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Masjid Di Hatiku

بَشِّرِ الْمَشَّائِينَ فِي الظُّلَمِ إِلَى الْمَسَاجِدِ بِالنُّورِ التَّامِّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Berilah khabar gembira kepada orang yang berjalan kaki membelah kegelapan malam menuju ke masjid-masjid dengan cahaya yang sempurna pada hari kiamat.”

Riwayat Abu Daud (561)

Lagi Artikel

Ikut Kami