Dalam Hadis Rasulullah SAW, Daripada an-Nu’man bin Basyir RA
عَنْ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ ، مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى.متفق عليه واللفظ لمسلم.
beliau berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan seseorang Mukmin sesama Mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama satu badan. Apabila ada salah satu anggota badan yang menanggung kesakitan, maka seluruh badannya akan turut terjaga (tidak akan tidur) dan terasa panas (merasakan sakitnya).”
(Muttafaqun ‘Alaih, hadith riwayat al-Bukhari, No.Hadith : 6011 dan Muslim, No.Hadith : 2586, lafaz hadith daripada riwayat Muslim)
Daripada Hadis Rasulullah ini, dapat kita fahami bahawa kesepaduan hati sesama muslim ini sangat penting untuk mencorakkan ukhuwah yang berlandaskan keimanan. Maka, pilihlah sahabat yang mana ia mampu membantu kita untuk berada didalam jalan yang lurus, iaitu jalan yang sentiasa di Redhai Allah.
Sebagai Muslim, senjata eksklusif kita adalah panahan doa. Panjatan doa dan pengaduan seseorang kepada Tuhanya adalah merupakan penguat hati orang yang beriman, bahkan jika mendoakan seseorang , ia adalah cerminan kasih kepada mereka kerana Allah. Oleh itu, Bijaklah dalam berteman, dan jangan lupa, doakan juga temanmu.
Mendoakan saudara kita tanpa diketahui empunya badan termasuk didalam kategori doa yang didengari oleh Allah SWT. Berbekalkan iman dan kasih sayang, sudah tentu perkara ini tidak pernah akan memberatkan kita kerana pasti bagi kita, kegembiraan orang lain juga adalah kebahagiaan dan kegembiraan bagi diri kita juga.
Menjadi mukmin yang baik, bukan sekadar menjaga hubungan dengan Allah sahaja, bahkan menjaga hubungan sesama manusia juga menjadi keutamaan dan dipelihara sebaik mungkin. Seperti yang dikhabarkan kepada kita, mereka yang bertemu dan berpisah kerana Allah, kelak akan dipertemukan semula diakhirat kelak, In shaa Allah. semoga kita juga termasuk ya, Aaminn.
Tanda sayang itu bukan sekadar lafaz, doa juga sebagai bukti tanda cinta walau tidak diketahui empunya diri. Ayuh, mari kita rebut peluang untuk dinaungi Allah walaupun pada doa yang dikirimkan tidak diketahui empunya diri. Wallahualam