Menjaga hati daripada berkarat dan terpengaruh dengan anasir-anasir yang buruk bukanlah satu pilihan tetapi ia satu kemestian. Pada hati itu cerminan diri, jika elok sekeping hati maka eloklah sekujur jasadnya. Antara tips untuk mendapatkan hati yang baik dan suci adalah dengan melazimi dan menghayati bacaan al-Quran. Jangan sesekali membiarkan hari-hari yang kita lalui, sunyi daripada membaca Al-Quran.
Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW pernah bersabda:
إِنَّ الرَّجُلَ الَّذِي لَيْسَ فِي جَوْفِهِ شَيْءٌ مِنَ الْقُرْآنِ كَالْبَيْتِ الْخَرِبِ
“Sesungguhnya jiwa seorang lelaki yang tidak didiami sesuatu dari al-Quran adalah seumpama rumah yang roboh.”
Jika mendambakan hati yang kuat, jiwa yang kental sentiasalah melazimi bacaan al-Quran tidak kira sesibuk mana pun kita bekerja atau kita belajar, cubalah sedaya upaya untuk membaca al-Quran sekurang-kurangnya dua muka surat sehari. Jika tidak mampu, satu muka surat sehari juga memadai.
Sesungguhnya, sangat berbeza di antara hari-hari yang diisi dengan al-Quran dengan hari-hari yang tidak diisi dengan Al-Quran. Pasti, hari yang dimulakan dengan bacaan al-Quran terasa lebih tenang, lebih mudah dan lebih proaktif berbanding hari yang tidak dimulakan dengan bacaan Quran.
Wallahu ‘alam