Soalan: Adakah Ruju’ boleh berlaku melalui persentuhan kulit?
Jawapan:
Firman Allah berkenaan Ruju’ ada di dalam surah al-Baqarah:
وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوا إِصْلَاحًا
Maksudnya : Dan suami-suami mereka (orang perempuan) berhak meruju’ semula dengannya dalam tempoh masa (iddah) tersebut, sekiranya mereka (para suami) berkehendakkan kepada kebaikan.
Surah Al-Baqarah (228)
Imam Al-Syafie dalam mengulas ayat di atas beliau berkata : Memperbaiki talak adalah dengan cara melakukan ruju’.
Para ulama al-Syafi’eyyah berpendapat bahawa tidak sah perbuatan ruju’ seorang lelaki melainkan hanya dengan perkataan. Sekiranya dengan perbuatan seperti seorang suami itu menyetubuhi isterinya dalam tempoh iddah, maka ia tidak dikira sebagai ruju’. Maka tidak sah meruju’ menerusi perbuatan yang melibatkan berpelukan, menyentuh, dan sebagainya selama mana seseorang itu mampu untuk mengucapkan lafaz rujuk.
Kata Imam Al-Nawawi : Tidak sah meruju’ melainkan dengan ucapan. Sekiranya seseorang itu menyetubuhinya maka hal tersebut tidak dianggap sebagai ruju’. Maka tidak sah (ruju’) dengan perbuatan sekiranya seseorang mampu untuk mengucapkan (lafaz ruju’).
Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (7/266).
Manakala di sisi mazhab Hanbali, ada dua pendapat dalam isu ini. Pertama, ruju’ tidak berlaku melainkan dengan ucapan sahaja. Manakala pendapat yang kedua menyebutkan bahawa ruju’ itu terhasil dengan persetubuhan, sama ada dengan niat ruju’ atau pun tanpa niat.
Al-Mughni, Ibn Qudamah (7/523).
Imam Ibn Qudamah menambah lagi : Sekiranya seorang lelaki itu mencium isterinya (dalam tempoh iddah), menyentuhnya dengan syahwat, menyelak kemaluan lalu melihatnya, maka pendapat yang dinaskan daripada Imam Ahmad adalah kesemuanya itu tidak dianggap sebagai ruju’. Manakala menurut Ibn Hamid : Ada dua pendapat dalam isu ini. Pertama : Ia dianggap sebagai ruju’, kerana perbuatan ini dianggap sebagai berseronok-seronok yang hanya diharuskan menerusi perkahwinan. Maka terhasil ruju’ dari perbuatan tersebut sama seperti persetubuhan. Manakala pendapat yang kedua menyatakan bahawa ia tidak dianggap sebagai ruju’. Ini kerana ia (perbuatan-perbuatan tersebut) adalah perkara yang tidak ada kaitan dengan ijab iddah dan juga mahar. Maka tidak terhasil ruju’ dari perbuatan tersebut. Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (7/53).
Syeikh Dr. Muhammad Al-Zuhaili menyatakan : ‘’(Ruju’) adalah lafaz yang ringkas maka tidak sah ruju’ melainkan dengan perkataan. Hendaklah ia merupakan lafaz yang sarih dan ia tidak memerlukan kepada niat. Seperti ucapan ‘aku ruju’ kamu’, dan lain-lain’’.
Begitu juga beliau berkata : ‘’Dan haram istimta’ (bermesraan) dengan wanita yang ditalakkan dengan talak raj’ie menerusi persetubuhan, bersentuhan, dan melihat ke arahnya meskipun tanpa syahwat, ini kerana dia telah berpisah dengan suaminya..’’.
Rujuk Al-Mu’tamad, Al-Zuhaili (4/185 – 190).
Kesimpulan:
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, merujuk kepada pendapat mazhab Al-Syafi’e ruju’ antara pasangan yang bercerai tidak boleh berlaku dengan perbuatan semata-mata sekiranya seorang lelaki itu mampu untuk melafazkan ruju’. Bahkan ia hanya sah dengan ucapan ruju’ dari pihak suami sahaja.