Allah berfirman di dalam Al-Quran,
وَاسْتَعِينُواْ بِالصَّبْرِ وَالصَّلاَةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلاَّ عَلَى الْخَاشِعِينَ
Terjemahannya: Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.
Surah Al-Baqarah: 45
Ayuh kita perhatikan Firman Allah SWT diatas, dimana Allah menfokuskan tentang dua perkara, iaitu Sabar dan Solat. Menurut Ibn Uthaimin, sabar ini mempunyai makna yang luas, malahan ibadah solat itu sendiri termasuk dalam sabar iaitu sabar dalam mentaati dan menurut perintah Allah.
Sabar terbahagi kepada tiga perkara, iaitu yang pertamanya adalah sabar didalam meninggalkan perkara-perkara yang boleh mengundang kepada dosa dan meninggalkan perkara yang diharamkan oleh Allah.
Yang keduanya adalah sabar ketika melakukan ketaatan. sabar ketika melakukan ketaataan meskipun terasa berat oleh jiwa dan tubuh badan. Sabar ketika melakukan ketaatan ini akhirnya akan membawa pahala yang lebih besar.
Ketiga, sabar di dalam mengharungi berbagai macam musibah dan cubaan. Sabar yang sebegini hukumnya adalah wajib, sebagaimana memohon ampun dari perbuatan-perbuatan yang aib.
Manakala solat pula adalah penolong yang paling besar untuk menguatkan diri seseorang di dalam mentaati Allah, seperti yang Allah firmankan di dalam ayat Al-Ankabut 29:45,yang bermaksud,
“Bacalah apa yang diwahyukan kepadamu daripada Kitab, dan dirikan solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari kekejian dan kemungkaran. Dan sesungguhnya zikrullah itu adalah lebih hebat”.
Diriwayatkan di dalam sebuah hadis,
“Adalah Rasulullah s.a.w., apabila menimpanya sesuatu perkara, maka dia solat”.
Demikianlah kebijaksanaan yang terkandung di dalam menjadikan sabar dan solat sebagai penolong dan pembimbing untuk memperoleh belas kasihan Allah serta kebahagiaan dunia dan akhirat).
Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar