Lewat malam, sepi sendirian, hanya bertemankan gadjet ditangan, ligat jari jemari scroll news feed di Facebook. Zupppp, mata terpaku, terus terhenti memerhati tepat satu penulisan oleh saudara AlFaqir Hassan Al-Idrus berkaitan Akhlak dan Agama.
Diceritakan oleh alFaqir bahawa ada seorang sheikh telah menyebutkan berkenaan dengan satu hadis pasal seorang wanita yang ingin memilih calon suami yang berbunyi
“Apabila kamu redha dengan agamanya dan akhlaknya.”
Lalu sheikh bertanyakan kepada kami,
“Mengapa Nabi sebut Agama dengan akhlak itu diasingkan, dan tidak disebutkan salah satu darinya. Apakah wujud perbezaan antara Agama dan Akhlak?”
Lalu Sheikh itu menyambung lagi,
“Adakah orang berakhlak itu tidak beragama? Dan adakah orang beragama itu tidak berakhlak?”
Diceritakan oleh al-Faqir, mereka semua terdiam seketika. Sambil memikirkan jawapan kepada persoalan yang dilontarkan. Namun, mereka termenung panjang sehingga tiada siapa pun mampu memberikan jawapan keatas persoalan tersebut.
Akhirnya, Sheikh tersebut memberikan jawapan,
Kata Sheikh,
“Ya memang wujud perbezaan antara akhlak dan agama. Orang yang beragama tidak semestinya dia itu seorang yang berakhlak. Namun, orang berakhlak sudah pastinya dia beragama.
Lalu Sheikh pun tersenyum dan lalu menyambung dan memberikan contoh.
“Contoh begini mudah, Kamu seorang yang rajin solat, Rajin pergi jemaah di masjid. Kamu seorang yang bab Agama memang mantap. Ilmu penuh di dada. Kelas pengajian semua kamu hadir. Tidak pernah tertinggal.
Namun bila disebutkan berkaitan dengan akhlak, kamu tidak setaraf dengan agama yang ada didada kamu.
Bila bercakap, menggunakan suara yang tinggi. Apabila terlambat sedikit, kamu mula marah-marah. Bila ada perkara yang tidak memuaskan hati kamu, kamu leoaskan dengan memukul sana sini. Maka, semua hati yang ada disekeliling kamu jadi terguris.
Jika sesuatu perkara itu tidak kena dengan kehendak kamu, kamu mula menghina. Mengherdik sampai kamu dapatkan apa yang kamu hendakkan. Kamu hempukkan tangan kamu di meja tanda kamu tidak berpuas dengan orang lain.”
Maka, terdiam alFaqir dan sahabat-sahabatnya. Fokus dan cuba memahami sambal bermuhasabah kerana risau memikirkan diri yang mungkin termasuk dalam golongan yang disebutkan Sheikh sebentar tadi.
Setelah berhenti sejenak, Sheikh menyambung lagi kata-katanya, namun dengan menggunakan nada yang lembut berbanding tadi .
Kata Sheikh lagi,
Beza dengan orang berakhlak. Mereka ini, sangat baik. Bila bercakap lemah lembut. Bila tidak berpuas hati, tidak marah marah. Bahkan mudah memaafkan dan tidak mudah naik angin hendak marah marah.
Disebutkan oleh alfaqir bahawa beliau terus teringatkan hadis Nabi SAW yang berbunyi.
“Sebaik baik manusia adalah yang paling baik akhlaknya.”
Lalu alFaqir terfikir mengapa wujudnya ayat al-Quran yang menyebutkan tentang Allah mengutuskan Nabi itu kerana hendak menyempurnakan akhlak.
Dan kemungkinan jawapan sheikh itu telah menjawab semua persoalan difikiran alfaqir tersebut.
Pak Arab adalah contoh. Mereka sangat menitikberatkan berkaitan solat di awal waktu. Agama mereka hebat, bahkan kebanyakkan mereka juga merupakan hafiz 30 juz hatta’ yang berseluar jeans pun. Tetap seorang hafiz al-Quran.
Tapi bila disebutkan bab akhlak. Mereka kurang. Bila sebut siapa yang mudah melenting marah, Kasar suara pada orang lain, mereka lah yang terkehadapan.
Dan itulah juga sebabnya Allah mengutuskan Nabi di Tanah Arab. Kerana hendak perbaiki akhlak mereka. Manalah tidaknya, Cuaca panas disana sudah panas, maka angin dalaman turut mudah naik. Ibarat Suhu kereta mana tidak naik tinggi kalau tiada penyejuk dengan air.
Analoginya, Air itu adalah akhlak. Agama adalah enjin dalam kehidupan. Kalau tiada enjin, maka kita tidak mampu bergerak. Begitulah juga akhlak. Kalau tiada akhlak, Maka kita adalah insan yang lemah dan mudah melontar marah.
Sehinggakan ada Hadis Nabi yang ringkas menyebutkan berkaitan dengan marah iaitu apabila seorang sahabat meminta nasihat dari Nabi SAW, Baginda menyebutkan dengan ringkas.
“Laa Taghdob!”
“Jangan lah kamu marah.” Nabi ulang 3 kali perkataan ini.
Maka dari kisah ini, alfaqir menyimpulkan bahawa, bagi wanita di luar sana yang berkenan dengan seorang lelaki,
Nasihat alFaqir, kalian (Para Wanita) perlu perhatikan sebetul-betulnya mereka ni. Jika didapati baik akhlak dan agamanya, maka terimalah, walaupun iras wajah tidak seindah pelakon TV3 idaman.
Berapa ramai yang bercerai setelah menikah kerana hanya menilik lelaki itu yang mempunyai gaya ustaz, yang mana Aada serban di kepala, ada rida’ di bahu, ada ilmu mampu membaca kitab Arab dengan padu, Tapi akhlak ke laut, tidak boleh dibuat suami.
Semoga kita semua dapat memperbaiki Akhlak dan Agama dari hari ke hari sebelum kita menghadap Allah.
Sebelum mengakhiri penulisan, Alfaqir mengulang semula hadis Rasulullah SAW yang berbunyi,
Rasulullah bersabda,
إذا جاءكم من ترضون دينه وخلقه فزوجوه إلا تفعلوه تكن فتنة في الأرض وفساد كبير
“Jika datang kepada kalian seorang lelaki yang kalian redhai agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah ia. Jika tidak, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar.” (HR. Tirmidzi.
Manusia akan menjadi hina apabila ia merosakkan sifat, pembawaan dan keadaan dalam jiwanya. Allah Subhanahuwa Ta‘ala berfirman
:إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ
Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.
(Surah Ar-Ra’d: 11).
Wallahualam.