Diantara sunnah Rasulullah SAW adalah makan dengan menggunakan tangan kanannya. Beliau memakan makanannya dengan tiga jari, lalu menjilati ketiga jari tersebut sebelum membersihkannya. Ramai diantara kita yang masih meremehkan sunnah menjilat jari selepas makan. Namun, mari kita fahami hadis Rasulullah SAW.
Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَمْسَحْ يَدَهُ حَتَّى يَلْعَقَهَا أَوْ يُلْعِقَهَا
Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu makan, maka janganlah dia menyapu tangannya melainkan setelah dia menjilatnya atau dijilatnya.”
[Riwayat al-Bukhari (5456) dan Muslim (2031)]
Makna hadith ini adalah larangan seseorang itu menyapu (membersihkan) tangannya sehinggalah dia menjilatnya terlebih dahulu. Sekiranya dia tidak melakukan hal sedemikian, maka (janganlah dia membersihkan tangannya) hendaklah orang lain yang menjilatnya yang mana mereka itu tidak berasa geli atau kotor (dengan perbuatan tersebut) seperti isteri, hamba, anak dan khadam yang kasih kepadanya dan seronok dengan perbuatan tersebut tanpa berasa geli atau kotor. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 206/13]
Imam Badr al- Din al-‘Aini menyebutkan antara hikmah dituntut untuk menjilat jari selepas makan berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah di dalam hadis Rasulullah SAW:
إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَلْعَقْ أَصَابِعَهُ، فَإِنَّهُ لَا يَدْرِي فِي أَيَّتِهِنَّ الْبَرَكَةُ
Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu makan maka jilatlah jari-jarinya kerana sesungguhnya dia tidak tahu di manakah tempat yang mempunyai keberkatan.”
[Riwayat Muslim (2035)]
Selain itu, beliau menyatakan lagi cara menjilat jari adalah bermula dengan jari tengah, kemudian telunjuk dan seterusnya ibu jari. Ini berdasarkan perbuatan Nabi SAW sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Thabarani:
رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْكُلُ بِأَصَابِعِهِ الثَّلَاثِ: بِالْإِبْهَامِ، وَالَّتِي تَلِيهَا، وَالْوُسْطَى، ثُمَّ رَأَيْتُهُ يَلْعَقُ أَصَابِعَهُ الثَّلَاثَ قَبْلَ أَنْ يَمْسَحَهَا، وَيَلْعَقُ الْوُسْطَى، ثُمَّ الَّتِي تَلِيهَا، ثُمَّ الْإِبْهَامَ
Maksudnya: “Aku telah melihat Rasulullah SAW makan dengan menggunakan tiga jari iaitu ibu jari, telunjuk dan jari tengah. Kemudian, aku juga telah melihatnya menjilat tiga jarinya sebelum menyapunya (membersihkannya). Baginda SAW menjilat jari tengah, kemudian selepas daripada itu (jari telunjuk) dan juga ibu jari.
[Riwayat al-Thabarani di dalam al-Awsath (1649)] [Lihat: ‘Umdah al-Qari, 76-77/21]
Subhanallah, Islam itu adalah agama yang serba lengkap. Setiap yang datang dari Rasulullah SAW pasti akan ada hikmah dan kebaikannya. Sesungguhnya, Nabi Muhammad S.A.W adalah suri teladan bagi seluruh umat yang membawa integriti Islam dengan menyentuh seluruh aspek kehidupan.
Rujukan: Mufti Wilayah Persekutuan