Sejak Covid-19 membantai seluruh dunia, masjid-masjid dan surau-surau ditutup serta merta. Orang ramai tidak boleh pergi ke masjid apatah lagi beribadah di dalamnya. Solat berjemaah di rumah, Solat jumaat dimansuhkan buat sementara waktu. Laungan azan tanda masuk waktu sayup-sayup kedengaran dengan lafaz shallu fi buyutikum (solatlah kalian di rumah masing-masing).. Ramai menyuarakan sebak, ada juga yang membentak dan ada juga yang mula menyatakan rindu untuk berjemaah bersama di masjid.
Namun, hikmah di sebalik semua yang berlaku, ukhuwah antara keluarga dapat dieratkan, yang dulu solat berasingan kerana kesibukan kerja, kini sudah mula berjinak-jinak untuk berjemaah bersama keluarga. Rentetan hal ini, ‘Masjid’ ada di mana-mana.
Perlu diingat, istilah masjid jika dalam konteks bahasa arab membawa makna tempat sujud. Maka, dalam mendepani situasi wabah seperti ini, tetaplah bersyukur walau hanya solat di rumah. Tetaplah bersyukur kerana berpeluang meluangkan masa dengan insan-insan berharga di rumah serta solat bersama-sama.
Bukankah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam (SAW) pernah bersabda,
الأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدٌ إِلاَّ الْمَقْبُرَةَ وَالْحَمَّامَ
“Seluruh bumi adalah masjid, kecuali kubur dan tandas”
(HR. Tirmidzi no. 317, Ibnu Majah no. 745, Ad Darimi no. 1390, dan Ahmad 3: 83. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadits ini shahih).
Apa yang dikatakan Nabi Muhammad SAW tersebut juga menandakan pesan agung tentang ibadah yang selayaknya tidak dibatasi hanya oleh bentuk dan rupa ruang yang menjadi tempat kita bersujud.