Menurut Al-Mawardi, Al-Ghadab atau kemarahan adalah disebabkan oleh hati yang tersinggung atas suatu perbuatan yang dilakukan oleh orang yang kedudukannya lebih rendah darinya.
Kemarahan bergerak bermula dari dalam jasad dan muncul ke luar. Ini kerana, hati yang disentuh oleh rasa marah akan menyebabkan pelakunya memarahi seseorang, ia boleh dilihat sama ada dengan perkataannya atau perbuatannya.
Perlu difahami bahawa marah ada dua jenis, marah pada tempatnya dan marah bukan pada tempatnya.
Marah pada tempatnya seperti seseorang menganiaya kemudian kita berasa marah, itu wajar. Walaubagaimanapun ia perlu dikawal agar tidak melampau batas.
Menurut Quraisy Shihab, yang dicela itu adalah marah tidak pada tempatnya atau pada tempatnya tapi melampau batas.
Ada disebutkan dalam satu riwayat Al Bukhari,
Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya seorang lelaki berkata Nabi SAW, “Berilah pesanan kepadaku”, lalu Nabi SAW menjawab, “Janganlah engkau menjadi seorang pemarah”, orang itu mengulangi permintaannya beberapa kali, Nabi SAW menjawab, “Pada setiap kalinya, janganlah engkau menjadi seorang pemarah.”
(Hadith Riwayat al-Bukhari)
Di sini jelas menunjukkan bahawa marah adalah sifat yang dikeji oleh Islam, Rasulullah melarang berkali-kali agar umatnya tidak menjadi seorang pemarah. Adapun marah kerana Allah disebabkan oleh pelanggaran hokum-hukum Allah maka itu wajar dan dituntut. Islam menghendaki seseorang itu berusaha memperbaiki dirinya dari semasa- ke semasa supaya meningkat keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.