Cinta adakalanya berakhir dengan kisah indah, ada juga berakhir dengan kisah gundah. Selalu kita dengar, seseorang disihir kerana cinta. Banyak faktor yang mendorong seseorang untuk beramal dengan sihir salah satunya kerana kecewa, dendam juga dengki melihat orang dicintai bahagia bersama yang lain.
Sesungguhnya perbuatan ini merupakan satu perbuatan syirik bertepatan dengan Sabda Rasulullah SAW yg diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ
Maksudnya: “Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah dosa-dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita muhsan beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina.”
Riwayat al-Bukhari (2766)
Meskipun ramai yang mengetahui bahawa perbuatan ini adalah syirik dan berdosa besar, tetapi mereka tetap juga melakukannya dek kerana amarah yang tak mampu dipadam dan dendam yang dipendam, akhirnya sanggup bersubahat dengan syaitan untuk membalas dendam.
Sebagai umat islam, sifat buruk seperti ini seharusnya dihindari. Jika kita merasa kecewa tidak dapat bersama dengan orang yang kita cinta, bukanlah membalas dendam itu penyelesaiannya. Sebenar-bnar cinta adalah yang ingin melihat orang yang dicinta tetap bahagia.
Buanglah amarahmu, didiklah sabar dan redha dalam hatimu,
Semua yang berlaku merupakan ketentuan dari Tuhan maha Esa, tetaplah jalani kehidupan seperti sediakala. Yang terbaik, pasti akan muncul jua suatu hari nanti.