Skizofrenia adalah penyakit mental yang diakibatkan oleh ketidakseimbangan sel kimia dalam otak (Dopamine). Ia adalah suatu gangguan Psikosis Fungsional berupa gangguan mental secara berulang dengan gejala-gejala psikotik seperti kemunduran fungsi sosial, fungsi kerja dan perawatan diri. Skizofrenia adalah sejenis kecelaruan otak seperti sawan, nyanyuk dan Multiple Sclerosis. Ia biasanya bermula di kalangan orang yang baru masuk ke alam dewasa.
1. GEJALA SKIZOFRENIA
A) Delusi
Gangguan intepretasi terhadap persepsi atau pengalaman yang dialami dan ia merupakan gejala paling umum. Antaranya adalah berhalusinasi iaitu mengalami gangguan fikiran melihat atau mendengar perkara yang tidak berlaku. Contohnya mendengar suara-suara ghaib bercakap dengannya sedangkan suara itu tidak didengari oleh orang lain.
B) Gangguan Tingkah Laku
Individu yang mengalami gangguan skizofrenia akan mempunyai perangai yang pelik dan sering berubah-ubah. Individu seperti ini juga kurang berupaya membuat aktiviti harian dengan baik, bahkan suka memencilkan diri dari berinteraksi dengan masyarakat serta tiada motivasi diri
C) Tidak Fokus.
Individu yang mempunyai Skizofrenia juga menghadapi masalah pembelajaran dan kurang dapat memberikan perhatian dan mempunyai masalah daya ingatan.
2. KESAN SKIZOFRENIA
Sekiranya individu itu tidak dirawat, gangguan ini akan berubah ke peringkat kronik. Individu tersebut akan terus memencilkan diri sendiri, tidak menghiraukan keadaan dirinya,malah tiada motivasi untuk meneruskan hidup dan tidak mempunyai perasaan.
3. RAWATAN
A) Rawatan ubat-ubatan psikotropik merupakan rawatan utama pada masa sekarang.
- Ubat-ubatan ini akan membantu mengawal tanda-tanda gangguan Skizofrenia
- Ubat-ubatan ini mestilah diambil sepertimana yang diarahkan oleh doktor
- Ubat-ubatan ini hendaklah terus diambil walaupun keadaan penyakit telah semakin pulih.
- Rawatan ubat-ubatan ini perlu diambil untuk jangka masa yang lama kerana kemungkinan gangguan Skizofrenia untuk berulang kembali adalah tinggi, terutamanya pada permulaan 2 tahun selepas mendapat penyakit.
- Doktor akan menasihati pesakit gangguan Skizofrenia dalam tempoh lama mana setiap individu itu perlu terus mengambil ubat.
- pesakit dinasihatkan supaya tidak teragak-agak untuk berbincang dengan doktor mengenai setiap ubat-ubat yang diambil.
B) Kaunseling individu
- Dalam sesi kaunseling individu, pakar akan membantu pesakit untuk memahami tentang penyakit ini untuk membolehkan pesakit lebih bersedia menangani penyakit ini. Ia juga membantu pesakit meningkatkan keyakinan dan jati diri.
C) Terapi Berkelompok
- Terapi berkelompok ini melibatkan satu kumpulan orang-orang yang mempunyai masalah yang sama contohnya pesakit schizophrenia duduk bersama-sama membincangkan pengalaman, masalah dan cara mereka menanganinya. Dengan cara ini mereka dapat belajar sesama sendiri dan saling memberi sokongan dan galakan.
D) Pendidikan Kesihatan
- Sesi belajar mengenai penyakit, rawatannya, cara mengenalinya dan langkah-langkah pencegahan upaya ianya tidak berulang kembali.
E) Terapi Keluarga
- Membantu ahli-ahli keluarga menangani stres semasa hidup bersama pesakit Skizofrenia.
4. PEMULIHAN
Setelah individu itu semakin stabil dengan mengambil ubat, Plan Rehabilitasi perlu diatur supaya individu tersebut mampu keluar menjalani hidup bermasyarakat seperti biasa.
Setiap Jabatan Psikiatri di hospital-hospital besar seluruh negara akan mempunyai pusat pemulihan cara kerja dengan kakitangan terlatih bagi membantu individu tersebut pulih sepenuhnya serta dapat mengembalikan keyakinan diri untuk bekerja dan berinteraksi dengan masyarakat.
Rujukan: Kementerian Kesihatan Malaysia