Kemurungan merupakan gangguan perasaan yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, keletihan, tiada tenaga, cepat marah serta hilang minat dengan aktiviti harian bahkan ia akan berlarutan sehingga sekurang-kurangnya selama dua minggu.
Penyakit ini boleh dihadapi oleh sesiapa sahaja tidak kira jantina, umur dan bangsa. Kemurungan boleh berlangsung sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun lamanya. Sekiranya ia tidak ditangani secara baik, ianya kemungkinan akan membawa kepada tindakan membunuh diri.
1. Penyebab/Punca Kemurungan
Antara penyebab atau punca kemurungan adalah keturunan, iaitu jika seseorang itu mempunyai keluarga yang pernah menghadapi kemurungan atau tinggal bersama mereka yang menghidapi masalah yang sama. Selain itu, pengambilan ubat-ubatan seperti sesetengah jenis ubat darah tinggi juga mampu mencetuskan kemurungan dan ianya akan terhenti apabila pengambilan ubat itu dihentikan. Seterusnya, corak pemikiran seseorang seperti bagaimana persepsi individu kepada diri sendiri terhadap kehidupannya. Akhir sekali, adalah penyalahgunaan dadah atau ketagihan dadah yang juga merupakan salah satu punca mengapa berlakunya kemurungan.
2. Tanda-Tanda Kemurungan
Antara tanda-tanda kemurungan adalah mempunyai perasaan kosong yang berpanjangan, serta hilang minat dengan hobi yang kebiasaanya menarik perhatian. Individu yang mempunyai kemurungan juga akan merasakan tidak bertenaga dan mudah merasa letih serta mudah berputus asa, bahkan mereka yang merasakan diri sendiri tidak berguna dalam kehidupannya juga merupakan salah satu diantara tanda-tanda yang mencetuskan kemurungan. Seterusnya, pesakit yang mempunyai kemurungan ini juga akan kerap mengalami gangguan tidur, mudah merasa cemas dan fobia, tidak tenteram dan mudah untuk merasa marah.
3. Langkah Pencegahan Kemurungan
Individu yang mengalami kemurungan boleh mendapatkan rawatan atau bantuan daripada mereka yang lebih berkelayakan seperti Doktor, Ahli Psikologi atau Ahli Psikiatri.
Selain itu, individu ini hendaklah sentiasa bersikap positif dan cuba untuk bertenang ketika menghadapi sesuatu perkara serta mengamalkan gaya hidup yang sihat atau lakukan aktiviti yang disukainya.
4. Kesan Kemurungan
Diantara kesan sekiranya bantuan tidak diberikan akan mendatangkan banyak keburukan seperti kesan ke atas fizikal, psikologi dan sosial.
Kesan keatas fizikal adalah masalah kurang berat badan atau mempunyai masalah kegemukkan, gangguan kitaran haid yang tidak teratur seperti kebiasaan dan anemia iaitu sentiasa kelihatan pucat.
Kesan ke atas psikologi pula ialah individu akan mempunyai perasaan rendah diri seperti tidak yakin dengan diri sendiri dan mempunyai risiko untuk membunuh diri.
Akhir sekali, antara kesan kepada sosial ialah sekiranya individu tersebut adalah pelajar sekolah, kemungkinan yang akan dihadapinya adalah pencapaian sekolah yang semakin merosot dan seterusnya membawa kepada tabiat ponteng sekolah. Selain itu, kesan kepada sosial juga adalah ia akan menjurus kepada penyalahgunaan dadah dan pengambilan minuman keras yang memabukkan.
Rujukan : Kementerian Kesihatan Malaysia