Jiwa, berbicara tentang jiwa yang terlalu unik sifatnya
Ada ketika ia sedang bahagia, maka seluruh tubuh terasa bertenaga,
Ada masa ia berduka, seluruh tubuh seolah-olah tak bernyawa.
Pernahkah kita berasa, hari ini merupakan hari bahagia, tiba-tiba esoknya terasa suram, semangat yang semalam entah hilang ke mana. Jika hal ini berlaku, soroti kembali ke dasar hati, boleh jadi jiwa mu sedang sakit, dan perlukan rawatan dan terapi.
Berusahalah untuk mengamalkan 10 amalan ini, untuk kembalikan kekuatan jiwa.
Pertama:
Berusahalah untuk bertahajjud.
Dengan bertahajjud, ia dapat mengusir segala anasir negatif dan penyakit dalam diri. Suasana malam yang hening turut dapat mendamaikan jiwa.
Nabi Muhammad SAW bersabda dalam hadis
“ Hendaklah kamu mengerjakan qiamullail kerana qiamullail adalah kebiasaan orang soleh sebelum kamu. Qiamullail mendekatkan diri kepada Allah SWT, menghapuskan dosa dan megusir penyakit daripada tubuh.”
( Riwayat At-Tirmidzi)
Kedua:
Bacalah Al-Quran.
Al-quran merupakan sumber motivasi, ia yang terlalu bermukjizat dapat menjadi penawar buat hati.
Tegas Allah SWT dalam Firmannya yang bermaksud :
“ Dan Kami turunkan dari Al-Quran sesuatu yang menajdi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
(Al-Isra 17 : 82)
Ketiga:
Perbaiki solatmu.
Kesempurnaan solat akan memberi pelbagai bentuk suntikan tenaga yang mampu menggerakan dan melonjakan produktiviti serta amal proaktif semua insan.
Kesempurnaan solat terletak kepada kekhusyukan dan aspek-aspek yang menyempurnakannya. Dengan khusyuk, terbukalah kunci-kunci pintu hati, bersinar serta terserlahlah cahaya keimanan di dalam hati. Dengan ini seseorang akan merasai kemanisan iman di dalam jiwanya.
Keempat:
Jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.
Rasulullah SAW bersabda :
“ Pada tiap-tiap pagi ada kewajipan ke atas setiap orang perseorangan (individu) untuk bersedeqah, dan cukuplah menggantikan semuanya dengan mengerjakan dua rakaat sunat Dhuha.”
( Riwayat Abu Dzar RA)
Kelima:
Sentiasa bersedekah setiap hari.
Walaupun hanya dengan sekuntum senyuman kerana ia penyubur kasih sayang.
Sedeqah adalah amalan yang sangat mulia. Ia membersihkan diri daripada sifat-sifat yang mazmumah dan menyuburkan sifat kasih sayang dalam diri manusia. Dan ganjarannya di sisi Allah SWT amatlah besar dan lumayan.
Allah SWT berfirman :
“ Perumpamaan orang-orang yang menafqahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipat gandakan ganjaran bagi siapa yang Dia kehendaki dan Allah Maha Luas ( kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.”
(Al-Baqarah 2 : 261)
Keenam:
Sentiasa memelihara wudhuk terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu’.
Imam Al Banna selalu berpesan kepada sahabat-sahabatnya :
“ Bahawa Rasulullah SAW bersabda :” Wudhuk adalah senjata mukmin, kerana itu setiap Ikhwan mengambil berat soal memperbaharui wudhuk apabila terbatal walaupun di kala malam yang dingin menusuk tulang.”
Saidina Umar Al-Khattab RA :
“ Sesungguhnya wudhuk yang baik, mengusir syaitan dari dirimu.”
Ketujuh:
Lazimi selawat tafrijiyah kerana padanya terdapat banyak manfaat untuk jiwa.
Jadikan ia sebagai rutin dan bacalah setiap kali selepas solat, segala yang dihajati akan dimakbulkan dan segala kegundahan akan diangkat.
Kelapan:
Perbaharui azam dan tekad untuk terus berkhidmat kerana Allah SWT
Saban hari, pastinya jiwa dan hati kita akan diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai bentuk ujian dan cabaran. Dan semestinya, jiwa kita itu harus disegarkan dengan memperbaharui azam dan tekad agar ia tidak layu dan kendur.
Terus bersemangat dan mengobarkan cita-cita serta harapan adalah ciri yang harus pada ada seorang yang ingin melaksanakan tugas yang berat ini. Iaitu tugas mendaulatkan deen Allah SWT. Dengan sedikit kemampuan yang Allah SWT berikan kita boleh menyebarkan syiar Islam melalui pelbagai wasilah dan cara dengan kadar kepakaran serta kebolehan yang kita miliki.
Kesembilan:
Sentiasa ceria, bermanis muka dan berfikiran positif kerana itulah watak sahsiah seorang mukmin sejati.
Rasulullah SAW mengalakkan agar budaya senyum itu dihidupkan oleh para sahabat dengan ungkapannya : “ Senyum itu adalah sedekah.”
Senyuman bukan sahaja membahagiakan orang sekeliling malah dapat memberi aura positif kepada diri. Terkadang tanpa kita sedar, kita lah yang telah psiko diri sendiri dengan tanggapan-tanggapan negative sehingga mampu meruntuhkan semangat dalam jiwa. Oleh itu, ubahlah mindset dan katakanlah pada diri setiap hari sambil tersenyum “aku seorang yang kuat, dan aku pasti boleh lakukannya, tiada siapa yang boleh meruntuhkan keazamanku kerana Allah sentiasa bersamaku.”
Kesepuluh:
Memelihara Diri dengan keikhlasan yang tulus kerana Allah SWT kerana disitulah terletaknya nilai amalan di sisi Allah SWT.
Ikhlas adalah ibadah hati yang pertama, terpenting, tertinggi dan merupakan asas utamanya. Firman Allah SWT :
“ Dan mereka tidak diperintahkan, selain untuk beribadah kepada Allah SWT mengikhlaskan agama hanya untuk-Nya dengan penuh ketundukan.”
( Surah Al-Bayyinah 98 : 5)
Ibnu Qayyim berbicara mengenai ikhlas : “ Ikhlas adalah menjadikan Allah SWT sebagai matlamat dalam melakukan ketaatan, iaitu anda memiliki matlamat hanya pada Dia sahaja, bukan kepada selain-Nya.