Anak merupakan anugerah dan kurniaan Allah kepada umatnya. Tidak dinafikan bahawa setiap pasangan pasti akan mengimpikan anak untuk menyerikan lagi rumahtangga mereka. Oleh itu, anak merupakan amanah Allah yang dipertanggungjawabkan untuk ibu dan bapa mengasuh, mendidik supaya menajdi insan yang berguna untuk negara dan agama kelak.
Sebagaimana Sabda Rasulullah SAW bersabda bahawa
“Setiap kelahiran (anak kecil) dilahirkan dalam keadaan fitrah.”
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Setiap anak yang dilahirkan umpama sehelai kain putih yang akan dicorakkan oleh ibu bapanya, namun bagaimanakah kain itu dicorakkan mengikut acuan syariat agama atau mungkin jauh tersepit dari agama. Nauzubillah.
Sesungguhnya lahirnya seorang anak ke dunia ini bukan sekadar keseronokkan hidup, bahkan datang dengan sebesar-besar amanah. Hatinya yang suci siap sedia untuk diukir sebaiknya untuk menjadi mahkota agama. Jika ia di didik dengan sebaiknya maka bahagialah dunia akhirat, namun jika sebaliknya meranalah akhirat kelak.
Ibn Umar pernah berkata
“Didiklah anakmu kerana engkau nanti akan ditanya: apa yang telah engkau didik dan ajarkan kepada anak-anakmu? Anak-anakmu pula akan ditanyakan tentang bakti dan taatnya kepadamu”
(Riwayat Al-Baihaqi)
Semoga kelak kita mampu menjadi ibu bapa yang baik, yang mampu untuk mendidik generasi kelak dengan acuan agama. Berilah perhatian agar mereka mampu bertakwa dan berguna kepada agama, bangsa dan negara. In shaa Allah.