Pemimpin: Amanah Dari Allah

Allah berfirman di dalam Al-Quran,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِنْ دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ ۚ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْقِلُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya”

[Surah Aali Imran 118]

Ibn Khaldun berkata:

“Melantik pemimpin adalah wajib dan kewajipan tersebut dapat diketahui dalam syarak dengan ijmak para sahabat dan tabiin kerana para sahabat Rasulullah SAW ketika wafatnya Baginda, mereka bersegera memberi taat setia kepada Abu Bakar RA dan menyerahkan kepadanya urusan mereka. Demikianlah pada setiap zaman dan perkara ini telah tetap sebagai ijmak yang menunjukkan kewajipan melantik pemimpin.” 

al-Muqaddimah, hlm. 191)

Namun begitu, pemimpin yang bijak haruslah mengenalpasti siapakah yang berada disekelingnya, samada mereka itu golongan yang inginkan kebaikan dalam pemerintahanya atau mereka adalah golongan yang menghasutnya untuk melakukan keburukan dan kejahatan.

Saidatina Aisyah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seorang ketua, maka Allah menyiapkan baginya penasihat yang jujur. Jika ketua itu terlupa, dia mengingatkannya. Jika ketua dalam keadaan ingat, dia akan menolongnya. Apabila Allah inginkan keburukan kepada seorang ketua, akan dijadikan kepadanya penasihat yang jahat. Jika ketua terlupa, dia tidak mengingatkannya. Jika ketua dalam keadaan ingat, dia tidak membantunya.”

(Riwayat Abu Daud dengan sanad baik di atas syarat Imam Muslim)

Setiap dari pemimpin haruslah memiliki penasihat dan “golongan kanan” yang sentiasa mengingatkannya kepada Allah dan tentang Hari Akhirat agar ia akan sentiasa memimpin dengan kebenaran dan kejujuran. Mereka ini sangat penting dan perlu di dalam tampuk kepimpinan supaya dapat mengingatkan semua pimpinan daripada melakukan dosa dan kezaliman yang menyebabkan ketidakadilan dan kerosakkan.

Imam al-Ghazali berkata:

الدِّينُ أُسٌّ والسُّلْطَانُ حَارِسٌ وَمَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ

Maksudnya“Agama itu adalah asasnya sedangkan pemerintah sebagai pengawalnya. Apa yang tidak ada asasnya, nescaya boleh membawa keruntuhan dan apa yang tidak ada pengawalnya akan menjadi hilang.”

 ( al-Iqtisad fi al-I’tiqad, hlm. 128)

Imam Mawardi pula menyebut:

الإمَامَةُ مَوضُوعَة لِخلَافَةِ النُّبُوَّةِ فِي حِرَاسَةِ الدِّينِ وَسِيَاسَةُ الدُّنْيَا بِه

Maksudnya“Imamah atau pemimpin utama adalah menjadi pengganti kenabian dalam mengawal agama dan bersiyasah dunia dengan agama.” 

(al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 5)

Sesungguhnya setiap pimpinan itu adalah AMANAH yang besar dari Allah SWT. Sesiapa yang menunaikan haknya, maka dia akan memperolehi kebahagiaan abadi yang tiada tandingannya. Tetapi barang siapa yang gagal melaksanakan haknya, dia akan memperoleh kesengsaraan yang tiada toloknya melainkan kekufuran kepada Allah SWT. sebagaimana sabda Nabi SAW:

مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللَّهُ رَعِيَّةً ، يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ ، إِلاَّ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Tiada di kalangan hamba yang diberikan kepimpinan untuk memimpin rakyatnya dan dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya di bawah pimpinannya, melainkan Allah mengharamkan ke atasnya syurga.”

Riwayat Imam al-Bukhari (7150) dan Muslim (142)

Akhirul Kalam, mari kita hayati Sabda Rasullulah SAW

عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ، فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ، مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ

Maksudnya: “Setiap orang Islam wajib mendengar dan mentaati dalam perkara yang dia sukai dan perkara yang dia benci, kecuali dia diperintah melakukan maksiat. Maka dia tidak boleh mendengar atau mentaati.

Riwayat al-Bukhari (6725) Muslim (1839)

Wallahualam

Ketika Ajal Menghampiri…

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran,

كَلَّاۤ إِذَا بَلَغَتِ ٱلتَّرَاقِیَ. وَقِیلَ مَنۡۜ رَاقࣲ

“Sedarlah (janganlah mengutamakan dunia dan melupakan akhirat. Ingatlah akan hal orang yang hendak mati) apabila rohnya sampai ke pangkal kerongkong. Dan (orang-orang yang hadir di sisinya heboh) berkata: “Siapakah yang dapat menawar jampi (dan mengubatnya)?”

[Surah al-Qiyamah 26-27]

Tatkala kematian semakin menghampiri, resah gelisah akan terus datang menjengah. mereka yang disekeliling terus berlengah mencari penawar, agar dapat disembuhkan, namun..

وَظَنَّ أَنَّهُ ٱلۡفِرَاقُ . وَٱلۡتَفَّتِ ٱلسَّاقُ بِٱلسَّاقِ . إِلَىٰ رَبِّكَ یَوۡمَىِٕذٍ ٱلۡمَسَاقُ

“Dan ia sendiri yakin, bahawa sesungguhnya saat itu saat perpisahan. Serta kedahsyatan bertindih-tindih. (Maka) kepada Tuhanmulah – pada waktu itu – engkau dibawa (untuk menerima balasan)”

[Surah al-Qiyamah 28-30]

Ketika itu, Allah SWT katakan bahawa itulah saat datangnya kematian. Tiada penawar yang dapat menghilangkan saat kesakitan diwaktu kematian semakin hampir, Tiada dukun yang boleh merawatnya bahkan tiada ubat melainkan kematian yang akan memotong kelazatan dunia ini.

Saat kematian, maka pulanglah kita menghadap Allah, Rabbul Izzati. Semua dari kita akan mati dan pulang menghadap Allah dengan setiap amalan tersendiri sepanjang hidup dibumiNya.

Ternyata, ketika itu, sedarilah kita bahawa dunia ini hanyalah tempat persinggahan semata, dan bila tiba waktunya kita akan kembali ke Negeri Akhirat yang kekal abadi.

Maka, ketika nyawa masih dijasad, perbanyakkan taubat, dan ingatlah, Allah itu Maha Pengampun, Maha Penyayang, Maha Mengasihani walau dosa kita seluas laut, kasih dan penyayang Allah itu tidak mampu dinilai dengan apapun. Pulanglah, Bertaubatlah selagi pintu pengampunan masih terbuka untuk kita.

Setinggi mana pangkat, sebesar mana jawatan, semiskin mana pun harta kita, disisi Allah, yang membezakan kita semua cumala Iman dan Taqwa. Ayuh persiapkan bekal kita untuk menuju ke Negeri Abadi supaya tiada kekesalan saat pulang Ke Sana. Fa’tabiruuu.

Akhirul Kalam, ayuh kita lihat bagaimana Rasulullah SAW ketika saat hampir wafat.

عن عَائِشَةَ رضي الله عنها، قَالَتْ: كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ قَبْلَ أَنْ يَمُوتَ: سُبْحَانَكَ وَبِحَمْدِكَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ. وفي رواية: سُبْحَانَكَ رَبِّي وَبِحَمْدِكَ، اللهُمَّ اغْفِرْ لِي

“Daripada Sayidatina A’isyah r.ha berkata, adalah Rasulullah saw sebelum wafat memperbanyak membaca doa:

سُبْحَانَكَ وَبِحَمْدِكَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ

“Maha suci Engkau, dan dengan memujiMu, aku meminta ampun dan bertaubat kepadaMu”. (HR Muslim)

Wallahualam.