Menahan Amarah : Ganjaran Bidadari

Seperti yang sudah kita maklum, Allah telah mengiktiraf Rasulullah SAW sebagai contoh teladan yang terbaik untuk hambanNya. Ini berdasarkan kepada FirmanNya yang berbunyi,

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّـهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.”

al-Ahzab:21

Terdapat banyak manfaat yang dapat kita fahami menerusi Al-Quran dan Hadith apabila dikaitkan dengan menahan amarah. Di antara kelebihan orang yang menahan amarah ini menerusi Firman Allah SWT:

الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّـهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: “Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”

ali Imran: 134

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili ketika menafsirkan ayat ini pada menyatakan ciri-ciri orang yang bertaqwa, antaranya ialah orang yang menyembunyikan (menahan) kemarahannya serta mengawal dirinya dengan tidak menyakiti orang lain dalam keadaan dia mampu untuk lakukannya.

Ini disandarkan berdasarkan kepada sabda Nabi SAW (sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dengan status yang hasan):

“Barangsiapa yang menahan kemarahannya dalam keadaan dia mampu untuk melepaskannya, maka Allah akan memenuhkan di dalam jiwanya keamanan dan keimanan.” 

[Lihat: Tafsir al-Wasith, 1/238]

Selain itu, terdapat juga hadis yang mengaitkan dengan ganjaran bagi orang yang menahan amarah adalah ganjaran bidadari sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud:Daripada Muaz bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ كَظَمَ غَيْظًا وَهُوَ قَادِرٌ عَلَى أَنْ يُنْفِذَهُ، دَعَاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى رُءُوسِ الْخَلَائِقِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُخَيِّرَهُ اللَّهُ مِنَ الْحُورِ الْعِينِ مَا شَاءَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menahan kemarahannya dalam keadaan dia mampu untuk melaksanakannya. Maka Allah Azza wa Jal akan memanggilnya di hari Akhirat di hadapan makhluk-makhluk-Nya sehingga dia diberi pilihan oleh Allah untuk memilih mana-mana bidadari yang dikehendakinya.” 

[Riwayat Abu Daud (4777)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah hasan]

Hadith ini bermaksud orang yang menahan kemarahan ini akan diperkenalkan kepada sekalian manusia serta dipuji dibangga-bangga akannya sehingga dikatakan padanya ini adalah disebabkan sifatnya yang hebat (iaitu menahan kemarahan). Disebabkan itu, dia diberi pilihan untuk memilih mana-mana bidadari yang dikehendakinya. Di samping itu, ini juga merupakan kinayah dengan masuknya dia ke dalam Syurga yang penuh dengan kenikmatan serta dengan mendapat kedudukan yang tertinggi.

Di samping itu, Imam al-Tibi menyatakan pujian terhadap orang yang mampu mngawal kemarahannya adalah disebabkan kejayannya menundukkan nafsu yang menyeru kepada kejahatan. Demikian itu, Allah SWT memuji mereka (orang yang mampu mengawal kemarahan) dengan firmannya orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. [Lihat: ‘Aun al-Ma’bud, 13/95]

Rujukan: Irsyadul Hadith

Wanita Cantik Di Dalam Al-Quran

“Sedarilah insan istimewa
Bahawa kelembutan bukan kelemahan
Bukan jua penghinaan dari Tuhan
Bahkan sebagai hiasan kecantikan

Inteam: Wanita

Wanita, makhluk yang diciptakan oleh Allah sehingga mempunyai kedudukan yang sangat baik di dalam Islam. Wanita yang dimaksudkan adalah wanita yang solehah. Sehingga Nabi SAW bersabda di dalam Hadithnya yang berbunyi, daripada Abdullah bin ‘Amr R.A,

‏ الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

Maksudnya“Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”‏

Riwayat Muslim (715)

Ayuh kita telusuri dengan lebih mendalam tentang wanita yang cantik di dalam Al-Quran. Siapa wanita cantik itu?

Wanita Cantik 1. Melabuhkan hijab sehingga menutupi dada dan tidak bertabarruj dalam berpakaian. Sebagaimana Firman Allah di dalam Al-Quran,

…….وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ …..

“Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka dan janganlah menampakkan perhiasan mereka, kecuali yang biasa nampak.”

(An-Nuur: 31)

Wanita Cantik 2: Menutup Aurat dengan sempurna( Memakai pakaian yang tidak menampakkan tubuh badan dan tidak jarang) supaya dikenali sebagai wanita yang baik dan bermaruah. Allah berfirman di dalam Al-Quran,

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاء الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُوراً رَّحِيماً

“Wahai Nabi katakanlah kepada isterimu, anak perempuanmu dan isteri orang mukmin, “Hendaklah mereka labuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka”. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenali (sebagai orang baik & bermaruah) kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

(Al Ahzab :59)

Syaikh al-Islam Zakaria al-Ansari dalam kitabnya Asna al-Mathalib, jilid 1/176 menyebutkan:

لا يَكْفِي سُتْرَةٌ تَحْكِي اللَّوْنَ أَيْ لَوْنَ الْبَشَرَةِ أَيْ تَصِفُهُ بِمَعْنَى يَصِفُهُ النَّاظِرُ من وَرَائِهَا كَمُهَلْهَلٍ لَا يَمْنَعُ إدْرَاكَ اللَّوْنِ لِأَنَّ مَقْصُودَ السَّتْرِ لَا يَحْصُلُ بِذَلِكَ وَلَا يَضُرُّ هَابَعْدَ سَتْرِهَا اللَّوْنَ أَنْ تَحْكِيَ الْحَجْمَ لَكِنَّهُ لِلْمَرْأَةِ مَكْرُوهٌ وَلِلرَّجُلِ خِلَافُ الْأَوْلَى قَالَهُ الْمَاوَرْدِيُّ وَغَيْرُهُ

 “ Tidak memadai bagi menutup aurat pakaian yang menampakkan warna kulit iaitu orang yang dapat melihat warna disebalik pakaian tersebut seperti pakaian koyak yang tidak menghalang daripada dilihat warna kulit kerana tujuan sebenar menutup aurat tidak akan berlaku tanpa menutup perkara tersebut. Tidak memudaratkan (tidak mengapa) setelah pakaian tersebut menutup warna kulit jika menampakkan bentuk badan sekalipun tetapi makruh hukumnya bagi wanita dan khilaf al-Aula bagi lelaki. Perkara ini disebut oleh imam al-Mawardi dan selainnya”


Wanita cantik 3: Tidak bercakap dengan bukan mahram tanpa keperluan dan jika perlu, dengan menggunakan nada tegas. Allah telah berfirman di dalam Al-Quran,

يَا نِسَاء النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِّنَ النِّسَاء إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلاً مَّعْرُوفاً

Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).
.

Surah Al-Ahzab :32

Wanita cantik 4. Keluar rumah dengan keizinan. Firman Allah didalam Al-Quran

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَدْخُلُوا بُيُوتَ النَّبِيِّ إِلَّا أَن يُؤْذَنَ لَكُمْ إِلَى طَعَامٍ غَيْرَ نَاظِرِينَ إِنَاهُ وَلَكِنْ إِذَا دُعِيتُمْ فَادْخُلُوا فَإِذَا طَعِمْتُمْ فَانتَشِرُوا وَلَا مُسْتَأْنِسِينَ لِحَدِيثٍ إِنَّ ذَلِكُمْ كَانَ يُؤْذِي النَّبِيَّ فَيَسْتَحْيِي مِنكُمْ وَاللَّهُ لَا يَسْتَحْيِي مِنَ الْحَقِّ وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعاً فَاسْأَلُوهُنَّ مِن وَرَاء حِجَابٍ ذَلِكُمْ أَطْهَرُ لِقُلُوبِكُمْ وَقُلُوبِهِنَّ وَمَا كَانَ لَكُمْ أَن تُؤْذُوا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا أَن تَنكِحُوا أَزْوَاجَهُ مِن بَعْدِهِ أَبَداً إِنَّ ذَلِكُمْ كَانَ عِندَ اللَّهِ عَظِيماً

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu-nunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput maka masuklah (pada waktu yang ditetapkan); kemudian setelah kamu makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi sehingga ia merasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran. Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka. Dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak boleh berkahwin dengan isteri-isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya. Sesungguhnya segala yang tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi Allah..

Al-Ahzab; ayat 53

Wanita solehah biasanya disebut seperti ini untuk menjadi satu dambaan kepada lelaki dalam membina rumahtangga. Hal ini sepertimana sabda Nabi SAW:

فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Maksudnya“Pilihlah perempuan yang beragama nescaya beruntunglah kamu.”

Riwayat al-Bukhari (4802) dan Muslim (1466)

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan, ungkapan “فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ” membawa maksud sewajarnya bagi seorang yang beragama dan memiliki maruah (adab) untuk menjadikan agama sebagai petunjuk dalam setiap perkara, lebih-lebih lagi dalam perkara yang dia akan berteman dan tinggal lama bersamanya (isteri). Maka Nabi SAW menyuruh agar mendapatkan seorang wanita yang memiliki agama di mana agama adalah puncak keinginan. (Lihat Fath al-Bari, 9/164)

Imam Nawawi menyebut bahawa hadith di atas menerangkan kepada kita bahawa kebiasaan adat seseorang apabila ingin menikahi wanita, terdapat empat perkara yang menjadi kayu pengukur. Rasulullah SAW menyuruh agar dilihat pada agamanya kerana ianya menguntungkan seseorang di dunia dan akhirat. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 10/51-52)

Imam al-Son’ani menyebut, Nabi SAW memerintahkan para pemuda sekiranya mereka menjumpai perempuan yang baik agamanya, maka janganlah mereka berpaling untuk mengubah pilihan kepada perempuan lain. (Lihat Subul al-Salam, 10/4)

Sebagaimana Hadith Nabi SAW,

اَلْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيُّ

Maksudnya“Wanita (isteri) yang solehah, tempat tinggal yang luas/lapang, jiran yang soleh dan kenderaan yang selesa.”

Riwayat Ibn Hibban (4031) dan Ahmad (1448)

Akhirul kalam, ingin saya selitkan bingkisan doa untuk amalan kita semua bersama,

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa

Wallahualam