Dunia; Cuma Persinggahan

Hidup akan sentiasa dipukul dengan ujian dan cubaan.

Badai akan selalu menimpa, sakit akan sentiasa terasa hingga kita pun kadang-kala terpinga-pinga.

Belum pun sempat menghela nafas lega, menzahirkan rasa gembira ia akan datang kembali dari arah yang tak terduga, dari jalan yang kadang tak pernah kita sangka.

Sudah penat bertanya kenapa…

Jawapnya dah lama ada. Tuhan kata Dunia ini adalah tempat ujian…dan memang itulah fungsi aku dan engkau dihidupkan. Untuk diasak dengan ujian.

Nikmat itu ujian,
Taat itu juga satu ujian,
Maksiat juga satu ujian,
Bala juga satu ujian,

Dunia ini tempat ujian dan kau tak akan dapat berehat dari ujian sampailah datangnya waktu keputusan ujian engkau nanti.

Bertabahlah dan sabarlah wahai diri sendiri. Ingatlah yang kau akan diuji sampai engkau mati.

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً ۖ وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.

[Al-Anbiya’:35]

Zikrullah; Sempadan Hati

Bagaimana tangan hendak menyambut jika hatinya enggan menyambut? Bagaimana kaki hendak melangkah jika hati tidak menginginkan? Bagaimana mulut hendak mengatakan tidak, walhal hati menjerit “iya” sekuatnya?

Tidak terhasil cinta jika benci terus berantakan dijiwa, bahkan tidak lahir amalan yang jitu selagi keyakinan masih bertingkah didada. Ketika itu, lahirlah apa yang menguasai jiwanya, iaitu lahirnya maksiat apabila keimanan tewas dengan kekufuran. Maka, wajiblah bagi kita untuk terus bermujahadah agar iman terus pasak didada.

Setiap muslim akan berperang dengan nafsunya sendiri setiap hari agar tidak terjatuh kelam di dalam dosa. Hati, perlu dibentengi dengan kuat agar iman tidak terus tercalar, tertoreh dek hasutan nafsu yang semakin menjalar. Fa’tabiruuu

Maka, untuk mengubati hati yang semakin candu dengan dunia, dan berahi dengan dosa, memerlukan fokus yang tinggi iaitu dengan berzikir sehingga ia menerobos lubuk hati yang paling mendalam. Lisan yang kerap meratib zikir akhirnya akan meyakinkan kita bahawa Allah Maha Mendengar, dan tidak mungkin bagi seseorang untuk terjerumus didalam kancah dosa jika jiwanya penuh dengan zikrullah. Ayuh, perbanykkan Zikrullah.