Jemputan Walimah Kahwin

Soalan : Apakah hukum menghadiri jemputan walimah kahwin?

Jawapan:

Rasulullah SAW pernah bersabda,

“Apabila seseorang dari kamu dijemput menghadiri majlis jamuan perkahwinan, maka hendaklah diterima undanganya”

Bukhari no: (4878)

Disebalik jemputan ini, wujud makna tersirat dan tersurat serta hikmah yang sangat besar, yang mana hikmahnya digerakkan oleh perasaan kemesraan dan kegembiraan keluarga, mempelai dan tetamu yang sudi menikmati jamuan dan beramah mesra bersama-sama. Oleh itu, perasaan ikhlas itu wajar disambut baik.

Perkahwinan merupakan detik sentimental, disebaliknya terpanggil rasa hati untuk bersyukur kepada Allah atas nikmat tidak terkira itu. Maka, ada ulama berpandangan bahawa hukum menghadiri jemputan walimah kahwin itu adalah wajib kerana orang yang menolak jemputan tanpa sebarang keuzuran dikira melanggar saranan Rasulullah SAW.

Imam Syafie berpendapat bahawa istilah walimah didalam bahasa Arab meliputi semua jemputan yang bermotifkan kegembiraan seperti majlis akikah, berkhatan dan sebagainya. Bagaimanapun iainya lazim digunakan hanya untuk majlis perkahwinan sahaja.

Mengenai jemputan ke majlis-majlis selain perkahwinan, kebanyakkan ulama berpandangan ianya adalah sunat, sementara sebahagian Syafie berpandangan bahawa semua undangan walimah wajib dihadiri. Para ulama berpandangan jika tetamu yang dijemput itu berpuasa sunat atau berpantang makan, lebih afdal baginya berbuka puasa jika hal itu menyebabkan pihak keluarga pengantin berasa terkilan.

Namun, hukum wajib menghadiri Walimah itu berubah menjadi tidak wajib apabila upacara di majlis berkenaan bertentangan dengan syarak seperti menghidangkan arak, makanan tidak halal atau tetamu jemputan tersebut untuk golongan kenamaan sahaja. Kita dilarang memenuhi jemputan golongan penyembah berhala kecuali jika mereka bersedia menghormati adab dan budaya Islam seperti makanan yang dihidang halal dan berpakaian sopan.

Sesungguhnya setiap garis panduan yang diberikan oleh Islam itu adalah sebaik-baik jalan. semoga kita diberikan kefahaman untuk memahami setiap garis panduan yang ditunjukkan oleh Islam. Wallahualam.

Rujukan: Dr Abdul Hayei Abdul Sukor