Dihilangkan Rasa Cinta Kepada Maksiat

Antara penyebab iman seseorang itu semakin meruncing adalah Maksiat. Maksiat juga akan turut menghilangkan kemanisan untuk beribadah.

Ada satu doa yang dikongsikan oleh Abuya Tuan Guru Shaykh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki حفظه الله seperti yang diijazahkan oleh Abuya Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki al-Hasani حفظه الله kepadanya untuk dijadikan amalan.

اللَّهمَّ إِنَّا نَسْأَ لُكَ التَّوْبَةَ وَ دَوَامَهَا،وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ المَعْصِيَةِ وَأَسْبَابِهَا،وَذَكِّرْنَا بِالخَوْفِ مِنْكَ قَبْلَ هُجُومِ خَطَرَاتِها،وَاحْمِلْنَا عَلَى النَّجَاةِ مِنْهَا وَمِنَ التَّفَكُّرِ فِي طَرائِقِهَا،وَامْحُ مِنْ قُلُو بِنَا حَلَاوَةَ مَا اجْتَنَيْنَا مِنْهَا،وَاسْتَبْدِلْهَا بِالْكَراهَةِ لَهَا،وَالطَّمَعِ لِمَا هُوَ بِضِدِّهَا•

Ya Allah, sesungguhnya kami memohon untuk bertaubat dan kekal bertaubat siang dan malam,dan kami berlindung dengan Engkau daripada melakukan maksiat atau daripada melakukan perkara yang mendorong kepada kemaksiatan,dan ingatkanlah kami dengan rasa gerun kepada Engkau sebelum kami diserang oleh maksiat,dan doronglah kami untuk selamat daripada perbuatan maksiat,dan daripada berfikir tentang cara untuk melakukan maksiat tersebut,dan padamkan daripada hati kami perasaan kemanisan bermaksiat, sehingga kami berasa jijik dengan maksiat,dan gantikan rasa manis bermaksiat itu kepada perasaan benci kepadanya,dan gantikanlah rasa manis bermaksiat itu dengan perasaan tamak untuk melakukan taat, bukannya maksiat.

Amalan ini sangat baik, khususnya kepada mereka yang seringkali berusaha untuk bertaubat dan meninggalkan maksiat. Tetapi, akhirnya kembali melakukan dosa yang sama itu berulang-ulang kali. Terjerumus sekali lagi dalam maksiat yang sama. Menjadi manusia sempurna itu mustahil, namun menjadi manusia yang lebih baik daripada hari semalam itu boleh diusahakan. Allahul Mustaan.

Kekuatan Doa

ketika kita tidak memilik daya untuk mengubah seseorang, maka yakinlah bahawa Allah sahajalah yang akan mengubahnya. jadi, doa adalah senjata utama untuk kita ikhtiar sebagai seorang muslim, iaitu saling mendoakan kebaikan sesama muslim. Ternyata ada sesuatu yang lebih dahsyat daripada kekuatan Cinta, iaitu kekuatan Doa.

Jangan pernah meremahkan kekuatan doa, kerana doa itu ibarat anak panah yang dipanah oleh pemanah ulung, selalu akan tepat pada sasaran, bahkan ia juga ibarat titisan air yang sentiasa menitik dibatu setiap hari sehingga ia mampu memecahkan batu sekeras kerikil.

Doa adalah bentuk ketidakupayaan seseorang hamba pada Rabbnya. Didalam doa, akan terselit kekuatan. Tetap tenang, jangan gelisah dan pada setiap sujud dan pada setiap tautan genggaman, percayalah bahawa setiap perkara yang mustahil itu dapat dipatahkan oleh kekuatan doa yang datangnya dari hati yang tulus.

Apapun yang kita impikan, mintalah pada Allah. Kumohon, jangan pernah berputus asa dalam memohon kepadaNya. Teruskan berdoa kerana mengulang-ngulang doa adalah seperti mengayuh basikal, kelak akan membawa kita kearah yang kita tuju. Semoga kita semua diberi kesabaran yang tinggi saat menunggu terkabulnya doa, ketawakalan dan dikurniakan kekuatan iman dalam teguh berdoa.

Apa Yang Perlu Dibuat Ketika Ditimpa Musibah?

Allah ‘azza wa jalla telah mengingatkan,

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Sungguh, kami akan pasti benar-benar menguji kalian dengan suatu bahagian dari bentuk ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, kekurangan pada jiwa, kekurangan pada hasil; dan (di sebalik semua itu) berikan berita gembira buat orang-orang yang sabar.

الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

Yang mana apabila menimpa mereka, sebarang musibah, mereka menyebutkan INNA LILLAH WA INNA ILAIHI RAAJI’UN (Sungguh, kita adalah milik Allah, dan sungguh kita, kepadaNya, pasti kita akan kembali.)

أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ

Mereka inilah yang mana mereka menerima keberkatan dari Tuhan mereka dan juga rahmat; dan mereka jugalah orang-orang yang mendapat petunjuk.

[al-Baqarah(2):155-157]

Ummu Salamah menceritakan,

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ، زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، تَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَقُولُ: ” مَا مِنْ عَبْدٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ، فَيَقُولُ: {إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ} [البقرة: 156]، اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي، وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا، إِلَّا أَجَرَهُ اللهُ فِي مُصِيبَتِهِ، وَأَخْلَفَ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا “، قَالَتْ: فَلَمَّا تُوُفِّيَ أَبُو سَلَمَةَ، قُلْتُ: كَمَا أَمَرَنِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَخْلَفَ اللهُ لِي خَيْرًا مِنْهُ، رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ .


Daripada Ummu Salamah, isteri Nabi saw berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Tidak ada seorang hamba yang ditimpa musibah kemudia dia berkata: [Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali (Al-Baqarah, 156). Ya Allah, berikanlah ganjaran pahala kepadaku dalam musibahku ini, dan gantikanlah kepadaku apa yang lebih baik dari itu], kecuali Allah akan memberi ganjaran pahala dalam musibahnya itu dan menggantikan baginya apa yang lebih baik dari itu”. Ummu Salamah berkata: “Ketika (suamiku) Abu Salamah meninggal dunia, aku berkata sebagaimana yang Rasulullah suruhku (membaca doa tersebut), kemudian Allah gantikan kepadaku orang yang lebih baik darinya (suamiku) iaitu Rasulullah saw”.

Hadith riwayat Imam Muslim

perkara yang pertama perlu disebut atau diucapkan apabila ditimpa apa-apa musibah atau melihat dan menerima berita musibah, maka ringankan lidah untuk terus menyebut INNA LILLAH WA INNA ILAIHI RAAJI’UN dan jangan lupa untuk terus melangitkan doa kerana Dia sebaik-baik pendengan dan penolong. Allahul Mustaan.

Sesungguhnya kehidupan dunia ini sendiri penuh dengan ujian duniawi, maka hendaklah kita sedar akan hakikat ini untuk terus tunduk dan berdoa kepadaNya. Hakikatnya adalah bahawa kita sebenarnya cuma seorang hamba, tunduk berteleku dihadapanNya dan jangan menyombongkan diri dengan tingginya pangkat dan harta.