Indahkan Dunia Dengan Memaafkan.

Pasti diantara kita yang pernah mengalami konflik sama ada kecil atau besar dengan Sahabat, keluarga atau saudara-mara sendiri. Sebagai manusia biasa, kita tidak lari dari berbuat kesilapan, terutamanya terhadap orang lain.

Namun, bagaimana kita menghadap konflik tersebut. Adakah dengan membiarkan konflik itu terus berlarutan sehingga tiada lagi sapa menyapa antara kita atau kita berlapang dada dengan memaafkan walaupun perit?

Nabi SAW pernah bersabda:

لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ

Maksudnya: Seorang yang kuat itu bukanlah yang handal bergusti; seorang yang kuat ialah orang yang mampu mengawal dirinya sewaktu sedang marah.

Sesungguhnya orang yang memaafkan kesalahan orang lain walaupun hatinya perit untuk berkata maaf, namun ketahuilah, sesungguhnya mereka ini adalah hasil dorongan keredhaan Allah pada hatinya, kerana dia mengetahui bahawa dia juga adalah manusia biasa yang tidak pernah lari dari kesalahan.

Maka, marilah kita, berlapang dada. Memaafkan kesalahan lalu bukan bermakna kita kalah atau kita salah, namun ia merupakan sifat terpuji. Ikhlaskan perkara yang terjadi. Sungguh, ia Cuma musibah yang kecil berbanding nikmat-nikmat yang lain. Jangan hanya kerana satu kesalahan, kita melupakan seribu kebaikkan yang ada padanya.

Allah SWT telah berfirman dalam al-Qur’an, tatkala menyifatkan beberapa ciri orang yang bertaqwa:

الذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ

Maksudnya: Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang.

Surah Ali ‘Imran (134)

Allah SWT juga menyifatkan antara ciri orang yang beriman dan bertawakkal kepada-Nya:

وَإِذَا مَا غَضِبُوا هُمْ يَغْفِرُونَ

Maksudnya: ...dan apabila mereka marah, mereka segera memaafkan.

Surah al-Syu’ara’ (37)

Rasa amarah yang membuak-buak itu tetap perlu dikawal dan disalurkan melalui jalan yang betul, bahkan jangan membiarkan rasa marah itu menguasai diri kita, sehingga membawa kepada tindakan-tindakan diluar batasan syarak.

Ingatlah bahawa, Hidup adalah tentang saling memerlukan.

Jadi, jom sama-sama kita berusaha menuju syurga-Nya!

Moga Allah jaga. In shaa Allah. Allahul Mustaan

Sabar Dengan Musibah, Syukur Dengan Nikmat

Musibah dan Sabar, keduanya adalah dari cubaan Allah kepada manusia supaya manusia kembali sedar dan mengingati Kekuasaan Allah. Manusia mempunyai berbagai sikap apabila menghadapi kesenangan, kenimatan, kesusahan, malapetaka dan musibah dari Allah. Namun, sejauh mana seseorang manusia itu mampu bersederhana apabila menghadapi cubaan-cubaan ini.

Allah telah berfirman di dalam Al-Quran

“Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur); dan apabila ia ditimpa kesusahan, maka ia berdoa merayu dengan panjang lebar.”

Surah Fussilat, ayat 51

Dari petikan ayat ini, dapatlah kita fahami bahawa sebahagian manusia apabila mendapat nikmat mereka tidak mensyukuri nikmat tersebut, bahkan apabila dirinya ditimpa kesusahan, baru teraba-raba mencari dimana Tuhannya selama ini.

Sabda baginda Rasulullah didalam sebuah hadis,

Daripada Syuhaibin telah berkata, telah bersabda baginda Rasulullah: “Sungguh ajaib urusan orang mukmin, semua urusannya adalah baik, dan tidak ada seperti itu melainkan mukmin sahaja. Jika ditimpa kesenangan ia akan bersyukur, maka itu baik baginya. Jika ditimpa kesusahan pula ia bersabar maka itu baik juga untuknya – 

[HR Muslim:2999]

Sungguh kasihan dengan diri kita. Mengapa? Jika kita fahami, sebenarnya kita yang memerlukan Allah, setiap minit, bahkan setiap saat Allah itu tidak pernah jauh dari kita. Namun, Dimanakah kita letakkan Allah ketika mana kita berdiri tinggi? dan lemahnya kita apabila Cuma bergantung harap apabila jatuh tersungkur menyembah bumi.

Ingin saya petik kalam Imam Syafie yang berbunyi,

“Sabar menghadapi musibah adalah sebesar-besar erti sabar, dimana sabar itu memerlukan kesabaran juga. Manakala adanya musibah dan bala itu pula menunjukkan adanya perhatian dan Kasih Sayang dari Allah. Oleh itu, syukuri ia kerana syukur yang sedemikian adalah setinggi-tinggi syukur”

Maka, syukurlah. Syukur walau ditimpa musibah setinggi gunung dan walau diberi nikmat sebesar kapal, syukurlah. Bahkan, syukur akan membuat kita tenang segala takdir Allah. Biarkan Takdir ini berjalan tanpa kita mempersoalkan lagi mengapa dan kenapa ia terjadi, namun sebaliknya, tenang dan sabarlah, sesungguhnya di Syurga kelak ada nikmat dan balasan baik yang tak berhujung.

Allah telah berfirman lagi di dalam Al-Quran,

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”

Maka, ayuhlah. Fafirru Ilallah. Moga Allah Redha.