Orang Bertaqwa Tidak Pernah Berasa Miskin

Firman Allah Ta’ala:

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

“Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”
(QS. Ath Tholaq: 2-3)

Dalam ayat ini diterangkan bahawa Allah akan menghilangkan bahaya dan memberikan jalan keluar bagi orang yang benar-benar bertakwa pada-Nya. Allah akan mendatangkan padanya berbagai manfaat berupa dimudahkannya rezeki.

Rezeki adalah segala sesuatu yang dapat dinikmati oleh manusia. Rezeki yang dimaksud di sini adalah rezeki dunia dan rezeki akhirat.

Oleh itu, orang yang bertaqwa tidak pernah berasa miskin, mereka diberi kecukupan oleh Allah SWT juga diberi ketenangan jiwa.

Solat Dhuha Kerana Inginkan Rezeki Atau Kerana Allah?

Orang kata nak berjaya, buat solat Dhuha.

Kita pun buat lah.

Orang kata nak rezeki melimpah, baca Al-Waqiah.

Kita pun bacalah.

Orang kata nak sekian-sekian. Kena buat sekian-sekian.

Kita pun buatlah segala macam yang disuruh.

Sebab apa kita ikut?.

Sebab nak berjaya. Sebab nak rezeki bertambah. Nak bisnes maju. Nak sales sejuta. Nak harta bertimbun. Nak naik pangkat.

Akhirnya, kita tak sedar terms “rezeki” yang kita inginkan semua tu berpaksikan material keduniaan semata.

Salah ke?

Tak. Tak salah kita nak minta semua tu.

Tapi, cuba betulkan balik mindset kita untuk apa kita buat semua amalan tu.

Kita betulkan dengan sentiasa meletakkan Allah di permulaan niat.

Lepas tu mintalah keberkatan masa dalam hidup. Dikurniakan rahmat dan redha-Nya. Boleh menjadi sebaik-baik manusia yang memberi manfaat kepada manusia yang lain.

Pendek kata mintaklah sesuatu yang boleh bawa manfaat di akhirat. Bila bermatlamatkan akhirat, Allah akan cukupkan urusan di dunia.

Moga-moga Allah selamatkan kita daripada tipu daya dunia dan menjadikan kita mendapat kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

“Wahai Tuhan Kami, kurniakanlah kepada kami di dunia dengan kebaikan dan di akhirat dengan kebaikan. Dan selamatkanlah kami dari azab Neraka.”

Mencedok Tangan Ke Dalam Gayung Ketika Berwuduk.

Soalan:

Adakah perbuatan mengambil air wuduk dari sesuatu bekas atau gayung yang airnya tidak sampai 2 qullah itu dibolehkan?

Jawapan:

Wuduk adalah satu perkara yang tidak dapat dipisahkan dengan Ibadah. Hal ini demikian kerana, tanpa wuduk maka tidak sah ibadah yang dilakukan. Namun, untuk berwuduk juga, ia mempunyai syariatnya yang tersendiri bahkan tidak dilakukan secara semberono sahaja.

Seperti yang kita tahu, pada awalnya air mutlak yang digunakan untuk berhadas mestilah lebih dari dua kolah. namun penggunaan kadar dua kolah sebenarnya hanyalah merujuk kepada status takungan air tersebut iaitu yang mana ia telah dimasuki najis, atau ia berubah dari mutlak menjadi air mutanajjis yang tidak boleh digunakan untuk bersuci.

Oleh itu, air mutlak itu kekal suci malah menyucikan walaupun berada di dalam bekas yang tidak mencukupi dua kolah, selagi mana ia tidak dimasuki najis atau terjadi sesuatu perkara yang merosakkan status air mutlak tersebut.

 “Air yang kekal dengan sifat asal yang dicipta oleh Allah ﷻ, sama ada tawar atau masin. Dan air itu tidak berubah dari sifat semulajadinya. Dan bukan air yang telah digunakan untuk berwuduk, mandi wajib atau menghilangkan najis”.

Dr. Muhammad Zuhaili. Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e (1/37)

“Seseorang yang berwuduk dengan tangan dimasukkan ke dalam air yang sedikit, selepas dia membasuh muka, tanpa berniat dilakukan untuk mencebok, maka baki air yang sedikit tadi itu berubah menjadi air musta`mal”

Imam Ibn Hajar al-Haitami menyebut dalam kitab Minhaj al-Qowim (hlm. 13):

Berdasarkan pendapat ini, ini adalah pendapat muktamad daripada Mazhab Syafie. Hal ini berlaku kerana basuhan tangan sehingga ke siku ialah basuhan wajib daripada wuduk, sedangkan membasuh tangan ialah rukun wuduk selepas membasuh muka. Jika seseorang mencelupkan tangannya dengan niat mencebok, iaitu memindahkan air tersebut untuk tujuan berwuduk maka niat untuk mengangkat hadas telah dinafikan di sini dan baki air yang sedikit itu tidak berubah menjadi air musta`mal.

Hadis berkenaan wuduk dengan celupan daripada bekas air memang sabit. Antaranya ialah hadis Humran, maula Uthman bin `Affan R.Anhuma, bahawa dia pernah melihat Saiyidina Uthman RA memintanya bawakan air untuk berwuduk:

فأَفْرَغَ عَلَى يَدَيْهِ مِن إِنَائِهِ، فَغَسَلَهُمَا ثَلاَثَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَمِينَهُ فِي الْوَضُوءِ، ثُمَّ تَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ وَاسْتَنْثَرَ، ثُمَّ غَسَلَ وَجْهَهُ ثَلاَثًا، وَيَدَيْهِ إِلى الْمِرْفَقَيْنِ ثَلاَثًا، ثُمَّ مَسَحَ بِرَأْسِهِ، ثُمَّ غَسَلَ كلْتَا رِجْلَيْهِ ثَلاثًا، ثُمَّ قالَ: رَأَيْتُ النَّبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هذا، وقَالَ مَن تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هذَا، ثُمَّ صلَّى رَكْعَتَيْنِ لاَ يُحَدِّثُ فِيهِمَا نَفْسَهُ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Lalu beliau menuangkan air ke atas tangannya daripada bekasnya maka dia membasuh kedua-dua tangannya sebanyak tiga kali, kemudian beliau mencelupkan tangan kanan ke dalam bekas air wuduk tersebut, kemudian beliau berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidungnya dan mengeluarkannya, kemudia beliau membasuh mukanya sebanyak tiga kali, dan tangannya hingga ke siku sebanyak tiga kali, kemudia dia menyapu kepalanya, kemudian dia membasuh kedua-dua kakinya sebanyak tiga kali, kemudian beliau berkata: Aku telah melihat Nabi ﷺ berwuduk seperti wudukku ini, dan baginda bersabda: “Barangsiapa yang berwuduk seperti wudhkku ini, kemudian dia solat sunat dua rakaat dengan penuh khusyuk dalam kedua-dua rakaat itu, maka Allah akan mengampunkan dosanya yang telah lalu.”

Riwayat al-Bukhari (no. 159) dan Muslim (no. 226)

Dalam riwayat lain, daripada Amr, daripada ayahnya, Yahya bin `Umarah: Aku pernah menyaksikan `Amr bin Abi Hasan bertanya kepada Abdullah bin Zaid RA – seorang Sahabat Nabi ﷺ – tentang wuduk Nabi ﷺ:

وَسَلَّمَ فَدَعَا بِتَوْرٍ مِنْ مَاءٍ، فَتَوَضَّأَ لَهُمْ وُضُوءَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  «فَأَكْفَأَ عَلَى يَدِهِ مِنَ التَّوْرِ، فَغَسَلَ يَدَيْهِ ثَلاَثًا، ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ فِي التَّوْرِ، فَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ وَاسْتَنْثَرَ، ثَلاَثَ غَرَفَاتٍ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ فَغَسَلَ وَجْهَهُ ثَلاَثًا، ثُمَّ غَسَلَ يَدَيْهِ مَرَّتَيْنِ إِلَى المِرْفَقَيْنِ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ فَمَسَحَ رَأْسَهُ، فَأَقْبَلَ بِهِمَا وَأَدْبَرَ مَرَّةً وَاحِدَةً، ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَيْهِ إِلَى الكَعْبَيْنِ»

Maksudnya: “Lalu beliau minta diambilkan satu gayung air, kemudian beliau memperlihatkan kepada mereka cara wuduk Nabi ﷺ. Beliau menuangkan air dari gayung ke telapak tangannya lalu mencucinya tiga kali, kemudian memasukkan tangannya ke dalam gayung, lalu berkumur-kumur, lalu memasukkan air ke hidung lalu mengeluarkannya kembali dengan tiga kali cidukan, kemudian memasukkan tangannya ke dalam gayung, lalu membasuh mukanya tiga kali, kemudian membasuh kedua tangannya dua kali sampai ke siku. Kemudian memasukkan tangannya ke dalam gayung, lalu mengusap kepalanya dengan tangan; bermula dari bahagian depan ke belakang dan menariknya kembali sebanyak satu kali, lalu membasuh kedua kakinya hingga buku lali.”

Riwayat al-Bukhari (no. 186) dan al-Baihaqi (no. 378) dalam Sunan al-Kubra.

Berkata Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadis di atas:

“Adapun tentang pensyaratan niat ightiraf (mencebok) maka tidak ada dalilnya dalam hadis ini, mahupun dalil menafikannya. Abu Uwanah berdalilkan hadis ini dalam Sahih-nya tentang keharusan bersuci dengan air musta`mal, kerana dia memandang daripada sudut bahawa niat tertentu tidak disebutkan dalam hadis ini, sedangkan disebutkan beliau (Ibn Zaid) memasukkan tangannya setelah membasuh wajahnya sewaktu membasuh tangan. Al-Ghazali berpendapat semata-mata mencebok (sekalipun tanpa niat) tidak menjadikan air itu musta`mal kerana air musta`mal hanya berlaku pada pihak yang dicelup daripadanya. Inilah pendapat yang diputuskan oleh al-Baghawi.”

 Rujuk Fath al-Bari (1/293-294)

Huraian di atas adalah berkenaan berkaitan hukum air mustakmal, iaitu berlaku perselisihan dalam penyucian menggunakannya. sebahagian ulama seperti Mazhab Maliki menganggap bahawa air mustakmal itu masih suci namun makruh digunakan. Manakala dalam bab niat ightiraf, pendapat yang berbeza daripada muktamad tidak mewajibkan niat tersebut. Inilah pendapat Imam al-Ghazali dan Imam al-Baghawi.

Oleh itu, maka tidak seharusnya dihukumkan secara mutlak bahawa wuduk seseorang itu tidak sah kerana melihat individu tersebut berwuduk dengan celupan tangan ke dalam bekas yang kecil atau menggunakan air mustakmal.

Hal ini disokong dengan fakta bahawa cara berwuduk daripada satu bekas dilakukan oleh para sahabat, sekalipun bekas itu digunakan oleh ramai orang.

Abdullah bin Umar R.Anhuma berkata:

الرِّجَالُ وَالنِّسَاءُ يَتَوَضَّئُونَ فِي زَمَانِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَمِيعًا

Maksudnya: “Golongan lelaki dan wanita berwuduk pada zaman Rasulullah ﷺ bersama-sama.”

Riwayat al-Bukhari (no. 193)

Imam Ibn Hajar al-Asqalani menghuraikan:

“Dalam hadis ini terdapat dalil bahawa mencedok dalam air yang sedikit tidak mengubah air itu menjadi air musta`mal, kerana bekas-bekas mereka dahulu bersaiz kecil, seperti mana yang disebut secara jelas oleh al-Syafie dalam al-Umm di beberapa tempat.”

Rujuk Fath al-Bari (1/299)

Di sisi ulama yang mewajibkan niat ightiraf apabila ingin mencebok menggunakan tangan, mereka berdalilkan beberapa hadis. Disebutkan oleh Syeikh al-Ramli al-Kabir dalam Hasyiah (1/7) beliau ke atas Asna` al-Matolib oleh Imam Zakariyya al-Ansari:

“Niat ightiraf itu asalnya daripada sunnah, iaitu sabda ﷺ:

لَا يَغْتَسِلْ أَحَدُكُمْ فِي الْمَاءِ الدَّائِمِ وَهُوَ جُنُبٌ فَقَالَ كَيْفَ يَفْعَلُ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ؟ قَالَ َتَنَاوَلُهُ تَنَاوُلًا

Maksudnya: “Janganlah seseorang kamu mandi dalam air yang tetap tidak mengalir sedangkan dia berada dalam keadaaan berjunub.”Lalu Abu Hurairah ditanya: “Bagaimana sepatutnya dia lakukan wahai Abu Hurairah?,” Lalu dia menjawab: “Mengambilnya satu persatu.”

Riwayat Muslim (283)

Maka jelas bahawa larangan itu bertujuan untuk mengelak air daripada rosak dengan penggunaannya (dengan mandi junub). Kesimpulan daripada itu jua, hendaklah dipindahkan air daripada bekas dan membasuh dengan air itu di luar bekas. Begitu juga hadis-hadis lain yang melarang memasukkan tangan ke dalam bekas sebelum membasuh tangan. Maka sesungguhnya basuhan itu jika bertujuan untuk menyucikan najis, dalil menunjukkan bahawa air yang sedikit menjadi bernajis apabila didatangi najis ke atasnya. Jika basuhan itu bertujuan untuk mengangkat hadas, maka larangan itu untuk mengelakkan rosaknya air dengan basuhan kedua-dua tangan dalam bekas itu lantaran hadas, seperti mana yang warid berkenaan larangan mandi orang berjunub di dalamnya, dan begitu juga hadis larangan berwuduk dengan lebihan wuduk orang perempuan.

Tambahan lagi, niat mencedok dengan tangan ini bukanlah sesuatu yang sukar, sebaliknya adalah perkara yang biasa berlaku dalam kalangan manusia.

Syeikh Jamal dalam Hasyiah-nya (1/37):

“Tidak disyaratkan niat mencebok itu dengan berkata: nawaitul ightiraf dun raf` al-hadath (Sahaja aku mencebok bukan untuk mengangkat hadas), tetapi cukup semata-mata dengan niat, yakni makna niat itu, bertujuan mengeluarkan air dari bekas, untuk mengangkat hadas apabila ia keluar.”

Dalam masa yang sama, tidak dapat dinafikan bahawa syarat niat ightiraf ini tidak disepakati oleh ulama Syafie sendiri kerana hadis-hadis itu tidak begitu jelas dan memiliki kemungkinan. Berkata al-Allamah al-Habib Abdurrahman Ba`lawi:

“Tidak warid dalam isu niat ightiraf apa-apa khabar (hadis) mahupun athar. Tiada nas tentangnya oleh al-Syafie mahupun oleh para sahabatnya. Sesungguhnya ia datang semata-mata berdasarkan istinbat ulama yang terkemudian dan para pengikut mereka. Pendapat yang tepat lagi zahir ialah hukumnya wajib…berkata Abu Makhramah: Janganlah seorang ulama itu mengetatkan hukum ke atas orang awam, bahkan berfatwalah bahawa hukumnya (niat ightiraf) itu tidak wajib.”

al-Allamah al-Habib Abdurrahman Ba`lawi. Bughyah al-Mustarsyidin (hlm.25-26) & al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadah (hlm. 60) oleh Syeikh Hasan al-Kaf

Keringanan pada percikan dan baki air basuhan pada anggota

seperti yang kita tahu, apabila berwuduk pasti air tersebut akan terpercik terkena anggota-anggota wuduk yang lain, apatah lagu ketika seseorang itu mencedok air dari bekas yang kecil pasti akan berbaki sisa air wuduk dari basuhan sebelumnya. sekiranya air tersebut dikategorikan sebagai air mustakmal, sudah pasti ia akan menghalang seseorang daripada berwuduk dek kerana percikkan air pada setiap kali basuhan, sedangkan hadis-hadis diatas tidak menunjukkan ia begitu sukar.

Jawapannya ialah kedua-duanya dimaafkan pada Hukum Syarak, kerana begitu sulit untuk dijaga pada adat kebiasaan.

Berkata Imam al-Nawawi pada menakalkan ucapan Imam al-Juwaini:

“Berkenaan air lebihan ini, perlu kepada perhatian. Sesungguhnya air apabila ia berulang alik di atas beberapa anggota, yang masing-masing berbeza kejadiannya, berlaku pada aliran air tadi beberapa percikan dari anggota ke anggota lain, tanpa dapat dihalang. Tidak mungkin hal ini dapat dijaga dengan apa cara pun, dan Syarak tidak menginginkan agar seseorang itu mengendahkan perkara ini pada asalnya. Maka apa sahaja yang terdiri daripada kategori ini adalah dimaafkan secara pasti. Adapun percikan yang tidak berlaku melainkan kerana secara jarang-jarang, jika dilakukan secara sengaja maka jadilah air mustakmal.”

Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab (1/163)

Berkata Imam al-Khatib al-Syarbini:

“Air yang beralih-alih atas anggota seseorang yang berwuduk, dan atas badan orang yang berjunub, dan di atas benda yang bernajis, selagi mana tidak berubah, maka hukumnya ialah tohur (menyucikan, yakni tidak hilang sifat air mutlak). Jika air mengalir dari satu anggota seseorang yang berwuduk ke satu anggota yang lain, sekalipun bukan anggota wuduk, contohnya air itu mengalir sampai ke bahu, atau menitis dari anggota, sekalipun anggota badan orang yang berjunub, maka air itu jadi musta`mal. Benar, air yang biasa tercampak-campak (atau terpercik), contohnya dari tapak tangan ke pergelangan, atau sebaliknya, bukanlah air musta`mal, kerana keuzuran, sekalipun ia berlaku kerana digerakkan oleh angin, seperti mana yang ditegaska oleh al-Rafie.”

Rujuk Mughni al-Muhtaj (1/24)

Berkata Syeikh Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (1/274):

“Air musta`mal pada perbuatan mengangkat hadas; iaitu apa-apa air yang menitis dari anggota-anggota, atau yang bersambung dengannya, atau yang berpisah darinya, sedangkan air berpisah itu sedikit, atau dibasuh di dalamnya, maka apabila dicebok keluar kemudian digunakan untuk membasuh anggota, (semua tadi) bukanlah air musta`mal.”

Huraian ulama yang dinukilkan diatas jelas menunjukkan bahawa air basuhan yang terpercik semasa berwuduk yang sukar dikawal adalah dimaafkan apabila ia sedikit dan tidak mengubah sifat air. Maka jelaslah kepada kita mengapa para sahabat Nabi ﷺ boleh menjimatkan air dengan berwuduk menggunakan bekas yang kecil, tanpa risau kepada percikan atau baki air basuhan pada tapak tangan yang digunakan untuk meratakan air, kerana semua itu dimaafkan.

seperti yang kita dapat kita fahami bahawa huraian ulama diatas jelas menunjukkan bahawa air basuhan yang terpercik semasa berwuduk dek kerana sukar dikawal adalah dimaafkan apabila ia sedikit dan tidak mengubah sifat air. maka jelaslah bahawa mengapa para sahabat Nabi boleh menjimatkan air dengan berwuduk menggunakan bekas kecil tanpa perlu risau kepada percikkan atau baki air basuhan pada tapak tangan untuk meratakan air kerana semua itu jelas dimaafkan.

Rujukan : Mufti Wilayah Persekutuan

Obsessive Compulsive Disorder

OCD adalah Obsessive Compulsive Disorder yang mana ia merupakan salah satu daripada penyakit kebimbangan, keresahan atau kerisauan atau lebih dikenali dengan penyakit was-was. Penyakit ini terdiri dari dua komponen, iaitu obsesif dan kompulsif.

Obsesif terjadi apabila fikiran sentiasa berulang-ulang terhadap sesuatu sehingga pesakit berasa resah dan tertekan.

Manakala kompulsif pula ialah kelakuan atau perbuatan yang berulang-ulang sebagai satu solusi untuk meredakan obsesif pemikiran. Jadi OCD adalah gabungan diantara pemikiran obsesif dan melalui tindakan kompulsif.

1. Punca OCD

Antara punca OCD adalah disebabkan kombinasi daripada kelainan neurologi, biologi, genetic(Keturunan), kelakuan, kognitif dan persekitaran. Faktor utama OCD adalah disebabkan masalah komunikasi dibahagian otak yang dikait dengan pembentukkan neurotransmitter.

2. FAKTOR OCD

Antara faktor risiko yang menyebabkan OCD ialah

A). Genetik. Risiko tertinggi untuk seseorang terkena OCD adalah disebabkan Faktor genetik iaitu apabila wujudnya ahli keluarga terdekat yang mempunyai masalah OCD.

B). Kelainan Otak. Apabila pesakit otak terkait bahagian frontal seperti akibat stroke atau tumor dibahagian frontal sehingga menyebabkan wujudnya kelainan stuktur otak.

C). Persekitaran. Faktor persekitaran berlaku apabila seseorang itu mempunyai sejarah trauma atau penderaan sewaktu kanak-kanak sehingga menganggu komunikasi dibahagian otak.

D). Personaliti. Mereka yang mempunyai personality obsesif lebih cenderung mendapat gangguan OCD. Ciri-ciri mereka yang memiliki personality ini ialah seperti keterlaluan mementingkan aspek kebersihan, seseorang yang terlalu patuh pada peraturan, cerewet, sukar bertolak ansur dan tidak mudah mengalah.

E). Konflik. Mereka yang mengalami gangguan ini biasanya menghadapi konflik jiwa yang berpunca daripada apa juga masalah hidup.

3) GEJALA PENYAKIT OCD

Gejala penyakit OCD, seperti definisi penyakitnya adalah terdiri dari dua komponen iaitu komponen obsesif dan kompulsif:

A.) Komponen obsesif

  • Obsesif pemikiran adalah sentiasa terfikir tentang kebersihan
  • Kerap memikirkan tentang keselamatan
  • Was-was terhadap ingatan atau persepsi tentang sesuatu seperti tentang tutup api di dapur
  • Kepatuhan yang jitu dan terlalu tegar terhadap sesuatu peraturan
  • Terlalu mementingkan susunan dan simetri
  • Pemikiran yang sering terpusatkan terhadap sesuatu tanpa boleh dikacau

B.) Komponen kompulsif

  • Mencuci tangan berulang kali
  • Mengecek kunci kereta dan rumah berulang kali
  • Berulang melakukan hal yang sama seperti apabila menghitung sesuatu barang
  • Sentiasa menyusun dan mengemas walhal baru sahaja selesai mengemas
  • Hoarding ataupun sifat suka menimbunkan barang secara berlebihan dan enggan untuk membuang barangan yang sudah tidak diperlukan seperti contohnya pakaian yang telah lusuh
  • mempunyai perasaan insecure yang kuat

4. KOMPLIKASI/ KESAN SEKIRANYA TIDAK DIRAWAT

Antara kesan OCD apabila tidak dirawat ialah akan terjadinya kebimbangan yang disertai dengan serangan panik. serangan panik adalah bentuk serangan yang berlaku apabila muncul perasaan takut berlebihan terhadap sesuatu. Serangan panik disertai dengan peluh, sesak nafas dan terketar-ketar.

Seterusnya, kesan OCD turut akan membawa kepada kemurungan. kemurungan adalah sejenis gangguan perasaan yang disebabkan perasaan sedih yang berpanjangan. hal ini terjadi apabila pesakit tersebut sering berfikir dan mengakibatkan ia menganggu kehidupan seharian, atau ia telah menganggu obsesif sehingga ia menyebabkan kemurungan.

Selain itu, antara kesan OCD juga adalah individu akan mengalami masalah makan. Memandangkan sebahagian besar pesakit OCD mempunyai masalah makan dan sebahagian besar pesakit eating disorder mempunyai OCD, sukar untuk ditentukan yang mana satu penyebab asal diantara keduanya.

Tambahan lagi, Tourette’s syndrome juga merupakan gangguan neurologi yang disertai pergerakan berulang yang dipanggil tics. Antara jenis tics adalah mata berkedip berulang, batuk berulang, dan sesetengah pergerakan wajah berulang yang tidak terkawal.

5. CARA UNTUK MERAWAT DAN MENGATASI PENYAKIT OCD

Antara solusi utama OCD terdiri dari dua cara iaitu Psikoterapi dan Pengubatan.

Psikoterapi terdiri daripada proses exposure dan response dimana pesakit akan didedahkan dengan perkara yang ditakutinya atau dirisaukanya sedikit demi sedikit dan akan menjalani terapi untuk menangani masalah tersebut. pesakit juga akan dibekalkan dengan ubat makan yang berbentuk antidepressan. Kebiasaannya doktor akan memberikan ubat anti-obsesif seperti chlomipramine dan fluxomine bagi membantu menenangkan pesakit. Ubat-ubatan ini juga berpotensi menghapuskan fikiran obsesional pesakit.

pesakit akan mengamalkan ubat-ubatan ini dalam tempoh yang agak lama bergantung kepada tindakbalas.

Individu yang mengalami OCD akan risau dengan perkara yang dialaminya apabila gejala tersebut mula menunjukkan kesan yang jelas seperti tangan atau kulit yang menggelupas akibat pencucian yang berlebihan atau masa yang banyak dibazirkan sehingga menggangu kerja harian.


Pesakit juga akan diberikan pendekatan psikologi yang merangkumi psikoterapi kognitif dan psikoterapi tingkahlaku, iaitu,

  • Psikoterapi kognitif – pesakit akan dibantu mengatasi masalah ini melalui cadangan dan perbincangan berdasarkan pemikiran yang rasional.
  • Psikoterapi tingkah laku – Terapi ini lebih bercorak kepada pendedahan dan tindakan pencegahan yang berperingkat-peringkat.

Namun, peratus untuk setiap pesakit itu sembuh bergantung kepada,

  • Keseriusan masalah yang dihadapi
  • Kerjasama dan patutnya terhadap rawatan yang diberi
  • Sokongan individu yang hampir seperti ahli keluarga, rakan-rakan atau teman.
  • Tempoh mengidap penyakit tersebut. 

6. CARA MENCEGAH OCD

Sebetulnya, tiada cara yang dapat dilakukan bagi mencegah kejadian OCD. Akan tetapi, ia dapat dicegah daripada memburuk menjadi komplikasi di atas sekiranya masalah OCD dideteksi dengan segera.

Rujukan :

DoctorOnCall

Kementerian Kesihatan Malaysia