Sunnah Menjilat Jari Selepas Makan

Diantara sunnah Rasulullah SAW adalah makan dengan menggunakan tangan kanannya. Beliau memakan makanannya dengan tiga jari, lalu menjilati ketiga jari tersebut sebelum membersihkannya. Ramai diantara kita yang masih meremehkan sunnah menjilat jari selepas makan. Namun, mari kita fahami hadis Rasulullah SAW.

Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَمْسَحْ يَدَهُ حَتَّى يَلْعَقَهَا أَوْ يُلْعِقَهَا

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu makan, maka janganlah dia menyapu tangannya melainkan setelah dia menjilatnya atau dijilatnya.”

 [Riwayat al-Bukhari (5456) dan Muslim (2031)]

Makna hadith ini adalah larangan seseorang itu menyapu (membersihkan) tangannya sehinggalah dia menjilatnya terlebih dahulu. Sekiranya dia tidak melakukan hal sedemikian, maka (janganlah dia membersihkan tangannya) hendaklah orang lain yang menjilatnya yang mana mereka itu tidak berasa geli atau kotor (dengan perbuatan tersebut) seperti isteri, hamba, anak dan khadam yang kasih kepadanya dan seronok dengan perbuatan tersebut tanpa berasa geli atau kotor. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 206/13]

Imam Badr al- Din al-‘Aini menyebutkan antara hikmah dituntut untuk menjilat jari selepas makan berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah di dalam hadis Rasulullah SAW:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَلْعَقْ أَصَابِعَهُ، فَإِنَّهُ لَا يَدْرِي فِي أَيَّتِهِنَّ الْبَرَكَةُ

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu makan maka jilatlah jari-jarinya kerana sesungguhnya dia tidak tahu di manakah tempat yang mempunyai keberkatan.” 

[Riwayat Muslim (2035)]

Selain itu, beliau menyatakan lagi cara menjilat jari adalah bermula dengan jari tengah, kemudian telunjuk dan seterusnya ibu jari. Ini berdasarkan perbuatan Nabi SAW sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Thabarani:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْكُلُ بِأَصَابِعِهِ الثَّلَاثِ: بِالْإِبْهَامِ، وَالَّتِي تَلِيهَا، وَالْوُسْطَى، ثُمَّ رَأَيْتُهُ يَلْعَقُ أَصَابِعَهُ الثَّلَاثَ قَبْلَ أَنْ يَمْسَحَهَا، وَيَلْعَقُ الْوُسْطَى، ثُمَّ الَّتِي تَلِيهَا، ثُمَّ الْإِبْهَامَ

Maksudnya: “Aku telah melihat Rasulullah SAW makan dengan menggunakan tiga jari iaitu ibu jari, telunjuk dan jari tengah. Kemudian, aku juga telah melihatnya menjilat tiga jarinya sebelum menyapunya (membersihkannya). Baginda SAW menjilat jari tengah, kemudian selepas daripada itu (jari telunjuk) dan juga ibu jari. 

[Riwayat al-Thabarani di dalam al-Awsath (1649)] [Lihat: ‘Umdah al-Qari, 76-77/21]

Subhanallah, Islam itu adalah agama yang serba lengkap.  Setiap yang datang dari Rasulullah SAW pasti akan ada hikmah dan kebaikannya. Sesungguhnya, Nabi Muhammad S.A.W adalah suri teladan bagi seluruh umat yang membawa integriti Islam dengan menyentuh seluruh aspek kehidupan.

Rujukan: Mufti Wilayah Persekutuan

Tertidur Ketika Mendengar Khutbah Jumaat

Soalan : Apakah hukum tertidur ketika mendengar khutbah Jumaat?

Jawapan :

Hari jumaat merupakan penghulu segala hari, bahkan ia juga merupakan hari yang sangat isteimewa bagi umat Islam. Sesungguhnya pada hari Jumaat, umat islam telah diperintahkan untuk menunaikan solat Jumaat. Solat Jumaat merupakan perhimpunan mingguan umat Islam secara besar-besaran, dan disitulah umat islam duduk bersama mendengar Khutbah yang akan disampaikan oleh Khatib untuk menambah ilmu pengetahuan, menerima nasihat dan tunjuk ajar serta meningkatkan keimanan kepada Allah SWT.

Namun, para Fuqaha mempunyai pendapat yang berbeza tentang hukum diantara wajib dan juga sunat. Namun menjadi keutamaan untuk mereka yang hadir mendengar khutbah dengan teliti.

Secara umumnya, terdapat dua perkara yang menyebabkan seseorang itu lagha ketika solat jumaat adalah,

Pertama: Perkataan

Semasa khutbah sedang berlangsung, sebarang ucapan dan perkataan yang berlaku akan menyebabkan seseorang itu lagha.

Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ‏ وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ ‏

Maksudnya: Apabila kamu berkata kepada sahabat kamu: “Diamlah” ketika imam sedang berkhutbah pada hari Jumaat, maka sesungguhnya kamu telah lagha.

Riwayat Al-Bukhari (934)

Hadis ini menjadi dalil penguat bahawa sebarang ucapan adalah dilarang sama sekali ketika khutbah jumaat sedang berlangsung. Para ulama telah memberikan pengertian bagi lagha adalah:

  1. Tidak mendapat sebarang pahala
  2. Fadilat Jumaat seseorang itu terbatal
  3. Solat Jumaatnya menjadi solat Zohor sahaja

Kedua: Perbuatan Anggota Badan

Antara perkara yang akan melaghakan seseorang ketika khutbah jumaat adalah apabila melibatkan sebarang pergerakkan dan perbuatan sehingga menyebabkan seseorang itu hilang fokus. Berdasarkan riwayat Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda

مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ ثُمَّ أَتَى الْجُمُعَةَ فَاسْتَمَعَ وَأَنْصَتَ غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ وَزِيَادَةُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا

Maksudnya: Sesiapa yang berwuduk dan dia perelokkan wuduknya, kemudian dia pergi menuju solat jumaat serta mendengar (khutbah) dengan teliti, dan diam (semasa khutbah), akan diampunkan dosa-dosanya dalam tempoh antara dirinya dan juga hari jumaat (yang akan datang), serta pertambahan 3 hari lagi. Dan sesiapa yang bermain dengan batu kecil, maka dia telah lagha.

Riwayat Muslim (857)

Berdasarkan hadis ini dapat difahami bahawa perbuatan bermain-main batu kecil ketika khatib memberikan khutbah adalah dilarang kerana mampu menjadikan pelakunya lagha. Hal ini juga mampu dikaitkan dengan bermain telefon, tidur, makan, minum dan lain lain yang menganggu fokus dan tumpuan ketika mendengar Khutbah.

Maka, dapat disimpulkan disini bahawa tidur ketika khutbah berlangsung adalah dilarang kerana ia akan menggangu fokus ketika mendengar Khutbah Jumaat. Oleh itu, perkara ini sangat ditegah kerana ia akan melalaikan pendengarnya. Namun sekiranya ia tidur dengan tidak sengaja, maka ia tidak termasuk didalam larangan tersebut.

Rujukan: Mufti Wilayah Persekutuan

Seluruh Muka Bumi Hakikatnya ialah Masjid

Sejak Covid-19 membantai seluruh dunia, masjid-masjid dan surau-surau ditutup serta merta. Orang ramai tidak boleh pergi ke masjid apatah lagi beribadah di dalamnya. Solat berjemaah di rumah, Solat jumaat dimansuhkan buat sementara waktu. Laungan azan tanda masuk waktu sayup-sayup kedengaran dengan lafaz shallu fi buyutikum (solatlah kalian di rumah masing-masing).. Ramai menyuarakan sebak, ada juga yang membentak dan ada juga yang mula menyatakan rindu untuk berjemaah bersama di masjid.

Namun, hikmah di sebalik semua yang berlaku, ukhuwah antara keluarga dapat dieratkan, yang dulu solat berasingan kerana kesibukan kerja, kini sudah mula berjinak-jinak untuk berjemaah bersama keluarga. Rentetan hal ini, ‘Masjid’ ada di mana-mana.

Perlu diingat, istilah masjid jika dalam konteks bahasa arab membawa makna tempat sujud. Maka, dalam mendepani situasi wabah seperti ini, tetaplah bersyukur walau hanya solat di rumah. Tetaplah bersyukur kerana berpeluang meluangkan masa dengan insan-insan berharga di rumah serta solat bersama-sama.

Bukankah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam (SAW) pernah bersabda,

الأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدٌ إِلاَّ الْمَقْبُرَةَ وَالْحَمَّامَ

“Seluruh bumi adalah masjid, kecuali kubur dan tandas”

(HR. Tirmidzi no. 317, Ibnu Majah no. 745, Ad Darimi no. 1390, dan Ahmad 3: 83. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadits ini shahih).

Apa yang dikatakan Nabi Muhammad SAW tersebut juga menandakan pesan agung tentang ibadah yang selayaknya tidak dibatasi hanya oleh bentuk dan rupa ruang yang menjadi tempat kita bersujud.

Gelombang Malaysia #QuranHour

KUALA LUMPUR: Program Malaysia #QuranHour yang berlangsung sejak 30 Ogos ini bertujuan memantapkan lagi akhlak umat Islam sebagaimana tuntutan Islam sebagai agama yang sejahtera.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas Marhaini Yusoff berkata pada masa yang sama juga program itu membawa misi untuk membuka fikiran umat Islam supaya lebih yakin berbicara tentang al-Quran.

“Sebenarnya apa yang kita buat adalah menyampaikan kebenaran ataupun orang nak tengok nilai daripada Quran itu dalam karakter dan akhlak kita. Kita tidak mahu beri persepsi yang salah, bukan main warak suka baca Quran tetapi dari segi karakter tidak menunjukkan orang yang baca Quran.”

Kita kasar, bila orang provokasi sikit kita balas dengan dahsyat. Kita tak mahu macam itu. Jadi itu juga yang kita tengok dalam ciri kedua (iaitu) berbudi bahasa, meski pun orang provokasi, kita kena tenang,”

Program Malaysia #QuranHour ke-6 mulai 12 tengah hari hingga 1 tengah hari akan disiarkan secara langsung menerusi TV AI-Hijrah, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bernama TV dan Astro Oasis serta di Facebook Sinar Harian, QuranHour dan TV AI-Hijrah.Sebagai tanda solidariti bersama, umat Islam boleh mengambil gambar sendiri atau bersama keluarga dan rakan dengan mengekalkan jarak fizikal dan memuat naik ke dalam media sosial menggunakan tanda pagar Malaysia #QuranHour

Rujukan: BERNAMA

5 Tokoh Islam Terkenal Pada Masa Kini

1. Dr Zakir Naik

Dr Zakir Adbul Karim merupakan seorang ulama, penceramah dan pendakwah dari India yang sering menyampaikan ceramah mengenai Islam dan perbandingan agama di seluruh dunia. Dr Zakir merupakan seorang doktor perubatan yang memperoleh ijazah Bachelor of Medicine and Surgery (MBBS) dari Mumbai. Pada tahun 1991, beliau mula bekerja dalam bidang dakwah, dan mengasaskan Islamic Research Foundation (IRF).

2. Mufti Menk

Nama sebenarnya ialah Ismail ibnu Musa Menk, ataupun lebih dikenali dengan nama Mufti Menk. Beliau ialah mufti dari Zimbabwe. Mufti Menk merupakan imam di Masjid Al Falaah, salah satu Masjid terbesar di Harare. Kegiatan Mufti Menk yang lain adalah mengajar di Darul Ilm di Harare serta menghadiri banyak persidangan agama dan juga seminar.

3. Nouman Ali Khan

Nouman Ali Khan merupakan seorang pendakwah Islam berketurunan Pakistan-Amerika, seorang pengarang, Ketua Pegawai Eksekutif dan ketua pengajar di Bayyinah, Institut Bahasa Arab dan Pengajian Quran.

4. Yasmin Mogahed

Yasmin Mogahed dikenali dengan penyampaiannya yang bersifat reflektif sama ada melalui buku-buku yang ditulis atau ceramah yang disampaikan. Beliau merupakan seorang graduan dalam bidang Psikologi manakala Ijazah Sarjananya pula dalam bidang Komunikasi dan Kewartawanan dari Universiti Wisconsin-Madison. Kini, beliau menjadi salah seorang pengajar di Institut AlMaghrib, penulis di Huffington Post, penceramah antarabangsa, dan juga pengarang. Beliau menumpukan soal spiritual dan pembangunan diri dalam hasil kerjanya.

5. Bilal Philips

Abu Ameenah Bilal Philips ialah seorang pendakwah Islam kelahiran Jamaica, dibesarkan di Kanada dan sekarang menetap di Qatar. Beliau kerap muncul di Peace TV, iaitu saluran TV satelit Islam 24 jam. Beliau masuk Islam pada tahun 1972. Pada awal tahun 1990 beliau mendapat anugerah PhD dari Universiti Wales.

3 Adab Menuntut Ilmu Menurut Surah Al-Kahfi

Kisah Nabi Musa a.s dan Nabi Khidir a.s yang terkandung di dalam Al-Quran sangat menarik untuk dijadikan pedoman dan pengajaran lebih-lebih lagi dari aspek pendidikan. Kisah ini diceritakan pada surah al-Kahfi ayat 60-82, di dalam ayat-ayat ini dapat dilihat bahawa Nabi Khidir a.s telah diberi anugerah ilmu oleh Allah ta’ala yang tidak diketahui oleh Musa a.s.

Sepanjang Nabi Musa a.s mengikuti Nabi Khidir a.s dan berharap Nabi Khidir a.s dapat mengajarnya perkara-perkara yang tidak diketahuinya, berlaku beberapa keadaan yang telah dilakukan oleh Nabi Khidir yang mana pada pandangan Nabi Musa a.s ia tidak patut dilakukan. sebagai contoh sewaktu Nabi khidir a.s melubangkan perahu, membunuh anak kecil, dan membina tembok yang hampir roboh, segalanya menurut Musa as adalah salah sedangkan ilmunya dengan ilmu Nabi Khidir adalah berbeza.

Justeru, Nabi Musa a.s bertanya banyak hal serta mempersoalkan tindak tanduk nabi Khidir a.s.

Oleh itu dari kisah ini, dapat kita ambil beberapa pengajaran seperti adab dalam menuntut ilmu.

#Pertama Bersangka Baik Kepada Guru

Firman Allah SWT:

“Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami, yang Kami berikan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya satu ilmu; dari sisi Kami”. (Surah Al-Kahfi, ayat 65)

Walaupun sesetengah perbuatan guru itu terlihat buruk di mata kita, sentiasalah husnuzhon kerana guru lebih ‘alim dan berpengetahuan berbanding kita. Jangan cepat melatah dan menyalahkan, tetapi ambillah hikmah diam pada awalnya lalu bertanyalah tanpa menyinggung perasaan guru tersebut.

#Kedua Mematuhi arahan guru

“Ia menjawab: Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatu pun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu”. (Surah Al-Kahfi, ayat 70)

Ayat ini menunjukkan bahawa Nabi Khidir a.s telah meletakkan syarat kepada Nabi Musa a.s bahawa Nabi Musa tidak boleh bertanya apa-apa soalan selagi Nabi Khidir tidak menceritakan. Walaubagaimanapun, Nabi Musa tidak mematuhi arahannya dan sentiasa bertanyakan tindak tanduk Nabi Khidir a.s.

#Ketiga Bersabar dalam menuntut ilmu

Ia menjawab: “Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?” (Surah Al-Kahfi, ayat 72)

Bersabar dalam menuntut ilmu merpakan satu sifat mulia. Dengan bersabar, manusia dapat mengharungi rintangan dan halangan dalam menuntut ilmu. Tambahan pula, setiap suruhan atau larangan guru, kita mestilah mematuhinya dengan penuh sabar dan menerimanya dengan sepenuh hati.

Wallahu ‘alam