Bolehkah Seorang Wanita Memakai Gelang Kaki?

Soalan: Bolehkah Seorang Wanita Memakai Gelang Kaki?


Jawapan:

Berkenaan perhiasan dengan memakai rantai atau gelang kaki bagi perempuan, Allah SWT melarang perempuan menghentakkan kaki supaya gelang kaki itu berbunyi dan bertujuan menarik perhatian lelaki, Firman Allah SWT:

وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

(Surah al-Nur, 31)

Dr. Wahbah Zuhaili dalam menafsirkan ayat di atas menyatakan: “Pemakaian gelang kaki dan menghentak kaki dengan mengeluarkan bunyi bertujuan untuk untuk menarik perhatian lelakiperbuatan ini adalah dilarang untuk menunjukkan perhiasan dan ini juga merupakan dalil larangan melunakkan suara bagi perempuan. (Lihat al-Tafsir al-Munir li Zuhaili, 18/212)

Kesimpulan:

Perbuatan menghentak kaki atau menggoyangkan tangan supaya mengeluarkan bunyi pada gelang yang dipakainya untuk menarik perhatian golongan lelaki, maka perbuatan itu merupakan perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

Begitu juga sebaliknya, sekiranya memakai gelang kaki atau tangan bertujuan untuk menarik perhatian suaminya maka perbuatan itu diharuskan. Selain itu, pemakaian gelang kaki atau tangan yang berloceng pada kanak-kanak perempuan bertujuan untuk pengawasan, maka kami berpendapat ianya diharuskan.

Ini juga boleh dikaitkan dengan pemakaian kasut bertumit tinggi, apabila berjalan dapat mengeluarkan bunyi sehingga boleh menarik perhatian lelaki, maka perbuatan itu juga diharamkan kerana ia juga termasuk di dalam larangan ayat di atas. Dan sekiranya sebaliknya maka ia diharuskan.

Rujukan: Mufti Wilayah Persekutuan

Batalkah Solat Sekiranya Membaca Bacaan Sujud Ketika Ruku’ Dan Sebaliknya?

Soalan: Batalkah solat sekiranya membaca bacaan sujud ketika ruku’ dan sebaliknya?


Jawapan:

Jumhur ulama’ mazhab Syafie, Maliki dan Hanafi menyebutkan bahawa bacaan tasbih ketika rukuk dan sujud adalah sunat dan bukannya wajib. Apabila seseorang tidak membaca atau meninggalkannya samada secara sengaja atau tidak, maka ia sama sekali tidak membatalkan solat.  Bersalahan dengan mazhab Hanbali yang menyatakan bacaan tasbih ketika rukuk dan sujud adalah wajib. (Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, 3/414).

Berkata Imam Al-Nawawi: “Bacaan tasbih dan zikir-zikir yang lain ketika rukuk dan sujud dan perkataan “سَمِعَاللَّهُلِمَنْحَمِدَهُوَرَبَّنَالَكَالْحَمْد” dan takbir-takbir selain dari takbiratul ihram adalah sunat dan bukannya wajib. Maka sekiranya seseorang meninggalkannya maka dia tidak berdosa dan solatnya tetap sah samada dia meninggalkannya secara sengaja atau tidak,tetapi makruh baginya meninggalkan bacaan tersebut secara sengaja”. (Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, 3/414).

Kesimpulan

Tidak batal sekiranya kia membaca bacaan sujud ketika ruku’ atau sebaliknya kerana bacaan ini merupakan sunat hai’ah dan bukan rukun qauli. Maka sah solat bagi mereka yang tersilap membaca kedua-duanya.

Rujukan: Mufti Wilayah Persekutuan

Adakah Ruju’ Boleh Berlaku Melalui Persentuhan Kulit?

Soalan: Adakah Ruju’ boleh berlaku melalui persentuhan kulit?


Jawapan:

Firman Allah berkenaan Ruju’ ada di dalam surah al-Baqarah:

وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوا إِصْلَاحًا

Maksudnya : Dan suami-suami mereka (orang perempuan) berhak meruju’ semula dengannya dalam tempoh masa (iddah) tersebut, sekiranya mereka (para suami) berkehendakkan kepada kebaikan.

Surah Al-Baqarah (228)

Imam Al-Syafie dalam mengulas ayat di atas beliau berkata : Memperbaiki talak adalah dengan cara melakukan ruju’.

Para ulama al-Syafi’eyyah berpendapat bahawa tidak sah perbuatan ruju’ seorang lelaki melainkan hanya dengan perkataan. Sekiranya dengan perbuatan seperti seorang suami itu menyetubuhi isterinya dalam tempoh iddah, maka ia tidak dikira sebagai ruju’. Maka tidak sah meruju’ menerusi perbuatan yang melibatkan berpelukan, menyentuh, dan sebagainya selama mana seseorang itu mampu untuk mengucapkan lafaz rujuk.

Kata Imam Al-Nawawi : Tidak sah meruju’ melainkan dengan ucapan. Sekiranya seseorang itu menyetubuhinya maka hal tersebut tidak dianggap sebagai ruju’. Maka tidak sah (ruju’) dengan perbuatan sekiranya seseorang mampu untuk mengucapkan (lafaz ruju’).

 Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (7/266).

Manakala di sisi mazhab Hanbali, ada dua pendapat dalam isu ini. Pertama, ruju’ tidak berlaku melainkan dengan ucapan sahaja. Manakala pendapat yang kedua menyebutkan bahawa ruju’ itu terhasil dengan persetubuhan, sama ada dengan niat ruju’ atau pun tanpa niat.

 Al-Mughni, Ibn Qudamah (7/523).

Imam Ibn Qudamah menambah lagi : Sekiranya seorang lelaki itu mencium isterinya (dalam tempoh iddah), menyentuhnya dengan syahwat, menyelak kemaluan lalu melihatnya, maka pendapat yang dinaskan daripada Imam Ahmad adalah kesemuanya itu tidak dianggap sebagai ruju’. Manakala menurut Ibn Hamid : Ada dua pendapat dalam isu ini. Pertama : Ia dianggap sebagai ruju’, kerana perbuatan ini dianggap sebagai berseronok-seronok yang hanya diharuskan menerusi perkahwinan. Maka terhasil ruju’ dari perbuatan tersebut sama seperti persetubuhan. Manakala pendapat yang kedua menyatakan bahawa ia tidak dianggap sebagai ruju’. Ini kerana ia (perbuatan-perbuatan tersebut) adalah perkara yang tidak ada kaitan dengan ijab iddah dan juga mahar. Maka tidak terhasil ruju’ dari perbuatan tersebut. Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (7/53).

Syeikh Dr. Muhammad Al-Zuhaili menyatakan : ‘’(Ruju’) adalah lafaz yang ringkas maka tidak sah ruju’ melainkan dengan perkataan. Hendaklah ia merupakan lafaz yang sarih dan ia tidak memerlukan kepada niat. Seperti ucapan ‘aku ruju’ kamu’, dan lain-lain’’.

Begitu juga beliau berkata : ‘’Dan haram istimta’ (bermesraan) dengan wanita yang ditalakkan dengan talak raj’ie menerusi persetubuhan, bersentuhan, dan melihat ke arahnya meskipun tanpa syahwat, ini kerana dia telah berpisah dengan suaminya..’’.

Rujuk Al-Mu’tamad, Al-Zuhaili (4/185 – 190).

Kesimpulan:

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, merujuk kepada pendapat mazhab Al-Syafi’e ruju’ antara pasangan yang bercerai tidak boleh berlaku dengan perbuatan semata-mata sekiranya seorang lelaki itu mampu untuk melafazkan ruju’. Bahkan ia hanya sah dengan ucapan ruju’ dari pihak suami sahaja.