Tips Kewangan Efektif

Sebagai pelajar Universiti atau pekerja yang baru menceburi alam pekerjaan, kita sangat mementingkan nilai samada kecil atau besar. Dengan jumlah tanggungjawab dan komitmen yang semakin bertambah selari dengan usia yang semakin meningkat, maka adakah pengetahuan dan pengurusan kewangan kita juga meningkat?

1. Menabung

Mulakan tabiat simpanan ke dalam akaun walaupun dengan jumlah kecil. Untuk memastikan kewangan kita didalam keadaan yang stabil, maka teknik menyimpan ini haruslah dilakukan secara berdisiplin.

2. Elakkan Berhutang

Elakkan berhutang atau menangguh pembayaran. Hal ini kerana, kerap berhutang akan menyebabkan  hutang tersebut bertambah dan tidak akan mampu menyelesaikan masalah kewangan dengan baik, sekaligus akan semakin berkurang wang simpananya. Pastikan setiap hutang direkod untuk mengelakkan sebarang penipuan.

3. Catat Setiap Wang Keluar Masuk.

Sediakan buku nota kecil dan catat setiap sen yang keluar, atau lebih mudah sekiranya kita menggunakan aplikasi money changer. Mengapa pentingnya mencatat setiap yang sen yang keluar? Hal ini demikian kerana, kita dapat mengenalpasti kemana wang dikeluarkan dan digunakan.

4. Mengutamakan Keperluan

Antara perkara penting dalam menguruskan kewangan adalah dengan tidak berboros. Hal ini demikian kerana, mengutamakan keperluan daripada kehendak akan membantu kita dalam berjimat .

Tips Untuk Memahami Al-Quran

Membaca Al-Quran dapat memberi ketenangan, apatah lagi sekiranya kita dapat memahami isiNya. Bahkan prinsip untuk memahami Al-Quran juga adalah perlu difahami secara kontekstual.

1. Betul Dan Luruskan Niat.

Antara perkara yang paling penting untuk kita memahami Al-Quran adalah dengan membetulkan segala niat kita. Hal ini demkian kerana, Sabda Rasulullah juga menegaskan tentang pentingnya sesuatu niat untuk melakukan setiap perkara.

2. Membaca Terjemahan Al-Quran

Selain itu, untuk memahami konteks Al-Quran, kita hendaklah membaca terjemahan Al-Quran. Mengapa pentingnya membaca terjemahan Al-Quran? Kerana, memahami isi kandungan Al-Quran ini sangat penting, terutama sekali bagi mereka yang tidak mampu memahami Bahasa Arab dengan baik.

3. Tadabbur Al-Quran

Seterusnya adalah dengan mentadabbur isi kandungan Al-Quran. Tadabbur tidak memerlukan seseorang itu memenuhi syarat-syarat tertentu kecuali kefahaman secara umum tentang satu-satu ayat. Hal ini kerana Allah SWT telah menjadikan al-Qur’an itu mudah untuk difahami secara umum. Allah telah berfirman di dalam surah Muhammad ayat 24

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا

Maksudnya: (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?

4. Membaca Tafsir

Disamping itu, membaca tafsir dari kitab tafsir. Tafsir merupakan satu cabang ilmu khas untuk mengetahui makna sebenar ayat-ayat Allah SWT. Tetapi, bagi mereka yang baru hendak mempelajari ilmu tafsir, maka hendaklah mereka merujuk kepada para guru yang pakar untuk mendalami ilmu tafsir ini.

5. Mempelajari Bahasa Arab

Untuk memahami lebih baik isi kandungan Al-Quran, maka kita sangat digalakkan untuk mempelajari Bahasa Arab. Hal ini demikian kerana, ia akan mendekatkan diri kita dengan maksud ayat yang dibaca.

Tips Sihat Mengikut Rasulullah

Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu suri teladan bagi seluruh umatnya. Hal ini demikian kerana segala perkara atau sunnah yang dianjurkan oleh Rasulullah ini akan memberi manfaat dan kebaikan yang banyak. Hal ini juga termasuk didalam bahagian bagaimana Rasulullah menjaga kesihatan.

1. Bangun sebelum subuh

Rasulullah sentiasa mengajalk umat Baginda untuk bangun sebelum subuh dengan mempersiapkan diri terlebih awal untuk menunaikan solat subuh berjemaah. Hikmah yang dapat diambil apabila bangun sebelum subuh adalah kita dapat menghirup kesegaran udara subuh.

2. Mengosok gigi menggunakan siwak

Manfaat menggunakan siwak ialah membersihkan mulut, menguatkan gusi, menghilangkan kahak, menerangkan penglihatan, menyihatkan perut, memerdukan suara, membantu dalam penghadaman makanan, melancarkan percakapan, mencergaskan bacaaan zikir dan solat, dan menghindar mengantuk.

Antara hikmah bersiwak yang dinukilkan oleh Imam Hajar ‘Asqalani dalam kitab Fath al-Bari:

قَالَ بن دَقِيقِ الْعِيدِ الْحِكْمَةُ فِي اسْتِحْبَابِ السِّوَاكِ عِنْدَ الْقيام إِلَى الصَّلَاة كَونهَا حَالا تَقَرُّبٍ إِلَى اللَّهِ فَاقْتَضَى أَنْ تَكُونَ حَالَ كَمَالٍ وَنَظَافَةٍ إِظْهَارًا لِشَرَفِ الْعِبَادَةِ

“Berkata Ibn Daqiq al-‘Eid: Hikmah disunatkan bersiwak  mendirikan solat  kerana waktu solat merupakan waktu mendekatkan diri kepada Allah SWT, maka seseorang perlu dalam keadaan sempurna dan bersih  untuk mezahirkan kemuliaan ibadah.

Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (2/376).

3. Gemar Berjalan kaki

Rasulullah SAW sentiasa berjalan kaki ke masjid, pasar, dan mengunjungi sahabat. Apabila kita kerap berjalan kaki, peluh pasti akan mengalir, roma akan terbuka dan peredaran darah berjalan dengan lancar sekaligus akan mencegah penyakit jantung.

4. Tidur Miring ke Kanan

Rasulullah SAW bersabda,


ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الأَيْمَنِ

 …kemudian berbaringlah kamu di atas lambung kamu di sebelah kanan.

Riwayat Al-Bukhari (247) & Muslim (2710)

Posisi tidur Nabi SAW adalah miring kesebelah kanan, kemudian beliau berbalik bertumpu sedikit pada sisi kiri agar proses pencernaan lebih cepat kerana condongnya lambung di atas hati. Kemudian beliau kembali tidur bertumpu pada sisi kanan lagi, agar makanan segera larut dari lambung. Jadi posisi permulaan dan posisi terakhir tidur bertumpu pada sisi kanan.

Apakah Hukum Mengecas Telefon Di Pejabat?

Soalan:

Apakah hukum mengecas telefon bimbit di tempat kerja (bangunan kerajaan). Adakah halal atau haram kerana kita menggunakan elektrik tempat kerja (yang dibayar menggunakan duit cukai rakyat). Terima kasih.


Jawapan:

Hukum mengecas telefon di pejabat  adalah  bergantung  kepada  kepada   peraturan penggunaan elektrik  daripada  pihak pengurusan pejabat masing-masing.  Adapun sekiranya tiada peraturan yang menghalang, maka mengecas telefon bimbit di pejabat dibenarkan berdasarkan uruf (kebiasaan setempat) kerana ia sudah dianggap sebagai satu keperluan dan penggunaannya adalah sedikit dan tidak memberi kesan yang besar kepada penggunaan elektrik.

Huraian Jawapan :

Secara umumnya, menggunakan atau mengambil harta tanpa kebenaran pemilik adalah dilarang, Ini berdasarkan hadis berikut:

Daripada Anas bin Malik RA, Sabda Nabi SAW:

لَا يَحِلُّ مَالُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلَّا بِطِيبِ نَفْسِهِ

Maksudnya: Tidak halal mengambil harta seseorang muslim kecuali dengan kerelaan dirinya”

Riwayat al-Daraqutni (2885)

Walaupun demikian, terdapat beberapa perkara yang berkaitan hukum feqah akan merujuk kepada amalan tradisi dan kebiasaan selagi ianya tidak bertentangan dengan hukum  syara’. Imam Jalaluddin al-Suyuti menyebut antaranya seperti mengambil buah  yang terjatuh  dan seumpamanya menurut pandangan paling sahih diukur  dengan tradisi setempat.  ( Lihat :al-Suyuti,  al-Asybah wa al-Nazha’ir, 90)

Sehubungan itu, mengecas telefon bimbit di pejabat (bangunan kerajaan)  adalah dibenarkan berdasarkan kepada  uruf (kebiasaan setempat) selagi tiada peraturan yang melarangnya kerana ia sudah menjadi hajat dan keperluan kepada semua pihak.   Selain itu, pekerja perlu   merujuk kod etika   jabatan masing-masing terhadap penggunaan elektrik untuk kegunaan peribadi.

Akhir kalam, semoga kita terhindar daripada perkara-perkara syubhah.

Rujukan: Mufti Wilayah Persekutuan

Adakah Air Liur Yang Keluar Ketika Tidur Dikira Najis?

Soalan:

Apakah hukum air liur yang keluar ketika tidur dan ianya terkena pada baju. Adakah ia dianggap sebagai najis?


Jawapan:

Asal bagi air liur yang keluar dari mulut seorang manusia adalah suci. Ini  adalah berdasarkan firman Allah swt :

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ

Maksud : Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.

(Surah al-Isra’ :70)

Ia juga adalah berdasarkan hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a :

إِنَّ الْمُؤْمِنَ لاَ يَنْجُسُ

Maksudnya :” Sesungguhnya orang mukmin tidak bernajis.”

Riwayat al-Bukhari (285) & Muslim (850)

Begitu juga peristiwa yang telah diceritakan oleh Saidatina Aisyah r.anha. Kata beliau

كُنْتُ أَشْرَبُ وَأَنَا حَائِضٌ ثُمَّ أُنَاوِلُهُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَضَعُ فَاهُ عَلَى مَوْضِعِ فِيَّ فَيَشْرَبُ

Maksudnya :” Aku minum pada ketika itu aku datang haid. Kemudian aku bawakan bekas minuman tadi kepada Nabi saw lalu Baginda meletakkan mulutnya di tempat yang aku minum tadi lantas Baginda minum.”

Riwayat Muslim (453)

Melalui ayat al-Quran dan hadis yang telah kami sebutkan maka dapat kita fahami apa sahaja yang keluar selain dari kemaluan adalah tidak bernajis sama ada air liur, peluh, daki dan lain-lain.

Berkenaan air liur yang keluar ketika tidur,para ulama menyatakan jika ianya dari mulut maka hukumnya suci. Jika ianya dari perut maka ia adalah najis.. Imam al-Nawawi menaqalkan daripada Imam Abu Muhammad al-Juwaini berkenaan perkara tersebut :

“Ada di antara air itu yang keluar dari kawasan lahwat (anak tekak) maka ia adalah suci. Jika ia keluar mengalir daripada perut maka ia adalah najis secara ijmak. Dan cara  mengenalinya adalah melihat pada tanda dan kebiasaannya. Jika ia mengalir dari mulut sejak mula tidur dan basah serta terputus sepanjang dia tidur dan kering air tadi dari mulutnya dan dari tempat tidurnya maka ia adalah dari mulut. Manakala jika sepanjang dia tidur dia merasakan basah sentiasa maka ia dari perut.”

Bagi mengelakkan was-was sama ada air liur yang keluar ketika tidur itu dari mulut atau perut, maka seeloknya dibasuh baju atau kawasan anggota yang terkena air liur tersebut sebagai langkah berhati-hati. Imam al-Nawawi menyatakan :

“Pandangan yang dipilih adalah tidak perlu membasuh kawasan yang terkena air liur tersebut kecuali seseorang itu yakin bahawa air yang keluar itu adalah dari perut. Jika dia was-was tidak wajib membasuhnya dan harus membasuh sebagai langkah berhati-hati”

Beliau menyebut lagi :

“Maka secara jelas air liur yang keluar dari mulut ketika tidur adalah di antara najis yang dimaafkan (jika ianya sering terjadi) dan ia sama seperti darah nyamuk, baki kencing yang tidak lawas , darah istihadah dan lain-lain najis yang dimaafkan kerana ada masyaqqah.”

Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (2/570-571)

Kesimpulannya, air liur yang keluar ketika tidur adalah najis .Ia adalah antara najis yang dimaafkan jika sering terjadi. Namun begitu jika tidak yakin sama ada air tersebut keluar dari mulut atau perut maka seeloknya dibasuh baju atau pakaian yang terkena air liur tersebut sebagai langkah berhati-hati.

Rujukan: Mufti Wilayah Persekutuan

Bolehkah Wanita Haid Memasuki Dewan Solat?

Soalan: Bolehkah seseorang wanita yang masih berada dalam haid memasuki dewan solat untuk menyertai Program Camp Solat yang diadakan di situ?


Jawapan:

Berdasarkan firman Allah SWT:

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.

(Surah an-Nisa’: 43).

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-49, yang bersidang pada 19 September 2000 telah memutuskan bahawa perempuan yang dalam keadaan haid haram berada atau duduk di dalam masjid walaupun untuk tujuan pembelajaran dan program-program keagamaan. Perempuan haid hanya boleh berada di luar kawasan solat utama atau di beranda masjid sahaja untuk menyertai program Camp Solat.

Rujukan: Mufti Selangor

Tips Keluarga Sakinah

Keluarga merupakan komponen penting bagi pembentukan masyarakat seterusnya membawa kepada pembentukkan negara. Bahkan, keluarga sakinah merupakan impian semua insan yang berkeluarga atau yang bakal berkeluarga.

1. Menggalakkan minat dan hobi ahli keluarga.

Setiap manusia mempunyai minat dan hobi yang berbeza. Bahkan ahli keluarga walaupun mempunyai ikatan darah yang sama, tetapi setiap dari mereka pasti mempunyai hobi dan minat yang berbeza. Maka, pentingnya menggalakan dan memberi semangat terhadap minat dan hobi ahli keluarga kita.

2. Ucapan penghargaan.

Ucapkanlah terima kasih kepada ahli keluarga kita apabila ahli keluarga membantu kita. Bahkan, ucapan penghargaan ini sangat penting untuk menganggap bahawa segala yang kita hadapi sepanjang kehidupan adalah suatu anugerah, sentiasa mengambil peduli akan betapa bertuahnya kita disebabkan semua yang ada di sekeliling.

3. Menjadikan Rasulullah sebagai model.

Antara perkara yang penting untuk mengekalkan keluarga sakinah adalah dengan menjadikan Rasulullah sebagai Mauizatul Hasanah(Contoh terbaik). Menghidupkan sunnah Rasulullah di dalam kehidupan harian dapat menjadikan keluarga kita sentiasa akan membawa kepada ketenangan dan kebahagiaan.

Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 iaitu;

Maksudnya, “ Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”

4. Amalkan mesyuarat keluarga

Amalan bermusyawarah dapat membantu ahli keluarga dari terus berada di dalam konflik yang berterusan atau mengelakkan ahli keluarga berkecil hati dan bermasam muka. Hal ini demkian kerana, perasaan suka memendam akhirnya akan menjadikan seseorang itu memberontak pada akhirnya. Maka, bermusyawarah adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah didalam keluarga.

dan Allah telah mensyaratkannya dalam urusan keluarga seperti mana firman-Nya:

فَإِنْ أَرَادَا فِصَالًا عَن تَرَاضٍ مِّنْهُمَا وَتَشَاوُرٍ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا ۗ

Maksudnya: “Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya);”

(Surah al-Baqarah: 233)

Maka Allah telah mensyariatkan dengan ayat-ayat yang telah disebutkan tadi perlaksanaan musyawarah pada pelbagai lapisan maslahat; iaitu maslahat keluarga, kabilah, negeri dan maslahat umat keseluruhan.”

Rujuk Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir (4/147-148)

Bolehkah Berdoa Pada Allah Untuk Dimatikan Segera?

Soalan: Dalam keadaan-keadaan yang tertentu, bolehkah kita berdoa kepada Allah S.W.T. supaya kita dimatikan dengan segera?


Jawapan:

Sebenarnya berdoa meminta mati itu adalah dilarang kerana ia merupakan sikap orang yang putus asa dari rahmat Allah S.W.T. Bagaimanapun dalam konteks ini, marilah kita sama-sama memahami sebuah hadis Rasulullah S.A.W. seperti berikut :

Maksudnya : “Jangan bercita-cita oleh seseorang kamu akan mati lantaran kesusahan yang menimpa dengannya, maka seandainya tidak dapat tidak dari bercita-cita untuk mati maka hendaklah ia berdoa: “Ya Allah hidupkanlah aku selagi mana hidup itu lebih baik bagi aku dan matikanlah aku selagi mana kematian itu lebih baik bagi aku”.

Rujukan: Mufti Selangor

Tips Mudah Hilangkan Mengantuk Ketika Belajar.

Sering mengantuk ketika belajar? Ini tips mudah untuk hilangkan mengantuk ketika belajar.

Bagi yang sedang berada di alam persekolahan atau university, suasana kelas sudah pasti akan membuat ramai pelajar yang mengantuk.

Ramai yang menyalahkan buku dengan mengatakan buku tersebut bosan, atau tidak kurang juga mereka yang menunding jari kepada guru kononnya guru tersebut tidak kreatif ketika sesi pembelajaran dan pengajaran. Walau apapun alasan yang kita lontarkan, masalah mengantuk ketika belajar ini harus diatasi.

1. Tidur Yang Cukup

Antara masalah utama yang dihadapi oleh kebanyakkan pelajar ialah tidak mempunyai waktu tidur yang cukup. Apabila tidur tidak mencukupi, maka sekaligus badan akan menjadi lemah maka, jangan amalkan tabiat suka tidur lewat, hal ini demikian kerana, pelajar yang tidak mempunyai waktu tidur yang baik membuktikan bahawa dia tidak mengatur jadual hariannya dengan baik.

2. Jaga Pemakanan

Makanan membekalkan tenaga, tetapi sekrianya kita tidak mampu menjaga pemakanan yang baik akan menimbulkan pelbagai masalah. Antara cara untuk mengurangkan rasa mengantuk ketika belajar ialah tidak mengisi perut sehingga terlalu kenyang. Ini akan menyebabkan perut memerlukan masa untuk menghadamkan makanan tersebut. Proses ini amat memerlukan masa dan tenaga. Makanlah sekadar keperluan untuk mengisi perut yang kosong.

3. Elakkan Tekanan Emosi

Tekanan emosi akan menyebabkan gangguan pada emosi, bahkan ia jua akan memberi kesan kepada fizikal. Uruskan emosi dengan baik. sekiranya masih berlarutan, berjumpa dengan psikiatri adalah solusi yang terbaik.

4. Berdoa

Jangan lupa selitkan doa sebelum belajar supaya kita sentiasa diberikan semangat dan kekuatan untuk belajar tanpa mengantuk. In shaa Allah, Allah akan membantu mereka yang sentiasa berdoa kepadaNya.

5 Adab Masuk Rumah Baru Menurut Islam

1) Berdoa & Solat Hajat

Ulama’ menqiaskan supaya berdoa apabila ke tempat atau rumah baru. Ini boleh dilakukan melalui cara solat hajat.

Abu Malik al-Asy’ari Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إذا ولج الرجل بيته فليقل اللهم إني أسألك خير المولج وخير المخرج بسم الله ولجنا وبسمالله خرجنا وعلى الله ربنا توكلنا ثم ليسلم على أهله

Maksudnya: “Apabila seorang lelaki hendak masuk ke rumahnya maka hendaklah dia Berkata: “Ya Allah! Aku memohon kepadaMu sebaik-baik tempat masuk dan sebaik-baik Tempat keluar. Dengan nama Allah kami masuk dan dengan nama Allah kami keluar dan kepada Allah Tuhan kami, kami berserah”. Kemudian hendaklah seseorang itu memberi salam ke Atas keluarganya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

2) Memberi Salam

Adalah disunatkan untuk memberi salam tak kira rumah baru atau lama. Salam diberikan sekalipun rumah tidak berpenghuni.

Kalau rumah tidak ada orang, maka berilah salam ke atas diri sendiri dengan mengucapkan:

السلام علينا وعلى عباد الله الصالحين

Ertinya: “Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang sahih.”

3) Membaca Bismillah

Dari Jabir bin Abdillah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang di antara kamu menyebut nama Allah ketika hendak masuk rumahnya dan menyebut nama Allah ketika hendak makan, maka syaitan akan berkata sesama meraka, “Kita tidak ada tempat tinggal dan tidak dapat makanan hari ini.” Tetapi apabila dia masuk rumahnya tanpa menyebut nama Allah, syaitan berkata, “Kita ada tempat menginap hari ini.” Dan apabila dia tidak menyebut nama Allah ketika makan, syaitan berkata, “Kita ada tempat menginap dan dapat makanan hari ini.” (HR Muslim)

4) Membaca Al-Quran

Seterusnya memperbanyakkan bacaan Al-Quran. Surah Al-Baqarah adalah pendinding rumah seperti sabda Nabi s.a.w :

“Janganlah menjadikan rumah-rumah kalian seperti kuburan. Sesungguhnya syaitan / jin akan lari dari suatu rumah yang dibacakan di dalamnya surat Al Baqarah” (HR. Muslim).

5) Kenduri Kesyukuran

Nabi SAW tidak pernah meriwayatkan keperluan untuk membuat kenduri kesyukuran. Ni jauh beza dengan amalan masyarakat Melayu.

Dr Khalid Basmalah menyebut, kenduri kesyukuran ni boleh dilakukan. Namun jika pelaksanaannya menjadi beban, eloklah diringankan.

Hidupkan Jiwa, Didik Minda dan Rohani Manusia Dengan Al-Quran

Al-Quran merupakan panduan yang utama bagi umat Islam dalam segenap aspek kehidupan. Al-Quran berupaya menjadi inspirasi dan pembangkit semangat bagi masyarakat Islam untuk mencapai kejayaan kecemerlangan di dunia dan akhirat dengan memalui amalan membaca dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran.

Allah berfirman di dalam Al-Quran,

هَذَا بَصَائِرُ لِلنَّاسِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّقَوْمِ يُوقِنُونَ

“Al-Quran ini menjadi panduan-panduan yang membuka mata hati manusia dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenarannya).”

(Surah al-Jathiyah, ayat 20)

Pelbagai usaha dilakukan sebagai inisiatif untuk memupuk budaya mencintai dan mendekati Al-Quran perlu diteruskan dan dipergiatkan dalam kalangan masyrakat Islam walau berdepan dengan cabaran yang besar.

Aktiviti-aktiviti untuk menyampaikan mesej dakwah Islam perlu diperluaskan kepada golongan masyarakat bukan Islam agar golongan ini juga dapat menikmati tentang keindahan dan nilai Rahmah Islam.

Apabila Al-Qur’an dikatakan sebagai ‘pandangan’ kepada manusia, itu bermaksud tanpa Al-Qur’an, kita diibaratkan seperti buta. Apabila kita tidak dapat melihat, tentu kita tidak dapat menemui jalan dan akan tersesat.

Maka, jika kita tidak mempunyai panduan hidup, pasti akan tersesat di jalanan, bukan? Maka panduan Al-Qur’an ini sangat penting agar kita tidak tersesat di dalam kehidupan. Sekiranya kita sesat, pasti di akhirat kelak kita akan dimasukkan ke dalam neraka jahannam.

Allahul Musta’an.

Saling Membantu Sifat Orang Bertakwa

Allah SWT berfirman di dalam KalamNya,

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”

[Surah at-Tawbah 71]

Menurut Syed Qutb di dalam tafsir Fi Zilal al-Quran:

“Tabiat orang Islam saling bekerjasama dalam meningkatkan keimanan kepada Allah dan Rasul. Selain itu, mereka juga saling membantu bagi mewujudkan kebaikan dan menolak keburukan. Usaha-usaha seperti ini berupaya mengukuhkan lagi hubungan persaudaraan antara manusia khususnya dalam hubungan suami isteri”

sebagaimana Rasulullah SAW bersabda,

“المؤمن للمؤمن كالبنان يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا”

Seorang mukmin bagi orang mukmin lain sama dengan bangunan, sebahagian darinya mengikat sebagian yang lain. Lalu Rasulullah SAW. merangkumkan jari-jemari kedua telapak tangan­nya.

Apabila setiap peribadi itu berjaya dibentuk maka pastilah seluruh masyarakat itu lahir menjadi baik kerana masyarakat itu diibaratkan seperti batu bata yang membentuk sebuah bangunan.

Justeru itu, jiwa dan hati setiap individu muslim itu memerlukan roh Al-Quran supaya ia menjadi terang benderang dan mudah diislahkan supaya mampu bangkit untuk membangun dan memimpin dunia menuju keamanan dan kesejahteraan.

22 tips Hafal Al-Quran dalam Masa Empat Bulan

Seorang pelajar dari kelahiran Singapura, Fadhil Azman, berkongsi pengalamannya menghafal al-Quran dalam tempoh 4 bulan ini telah membuatkan ramai orang terpegun! Betapa bermukjizat Al-Quran hinggakan mushaf setebal itu boleh dihafal dalam tempoh singkat! Subhanallah…

“Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah atas segala rezeki dan rahmat yang diberi. Aku bermohon pada Allah agar selalu permudahkan urusanku dalam mengulang al-Quran & berikan aku petunjuk untuk berkongsi dan memberi inspirasi pada orang lain.”

Saya ingin berkongsi bahawa saya telah menghafal lebih kurang 9 juzu’ semasa di sekolah rendah, sekolah menengah dan matrikulasi.

Jadi, sebenarnya saya cuma menghafal lebih kurang 20 juzu’ yang baru dan hanya mengulang 9 juzu’ lama sahaja dalam masa 4 bulan.

Saya juga tidak mempunyai komitmen lain selain dari berbuat baik kepada ibu bapa. Tetapi, bagi sesiapa yang berkehendak menghafal ayat al-Quran kerana Allah, Insya Allah, Allah akan permudahkan.

Ini adalah pengalaman saya dan semoga ia dapat memberikan inspirasi pada yang lain.

Berikut adalah tips yang saya amalkan;

1. BETULKAN NIAT

Ini adalah perkara yang paling penting yang perlu dititik beratkan, lakukannya ikhlas kerana Allah, mengharapkan rahmat-Nya, keredhaan-Nya & untuk memperoleh syurga. Bukan sebab kawan, keluarga atau untuk menunjuk-nunjuk. Ya Allah lindungilah kami darinya.

Semoga Allah tetapkan hati kita untuk melakukannya semata-mata kerana Allah.

2. MULAKAN SEKARANG.

Jangan tangguh-tangguh. Kalau  niat sudah ada, itu sudah bagus. Jangan ingat kalau bertangguh, ia jadi lebih baik.

Usah berikan alasan tidak cukup masa. Cari masa untuk diri sendiri dan dalam menghafal Al-Quran. Saya kenal beberapa orang, yang mempunyai niat, tetapi tidak mempunyai motivasi.

Pada saya, untuk mencari motivasi, fikirkan tentang betapa besar faedah yang kita akan dapat. Percayalah, anda akan dapat banyak sangat kebaikan.  Pahala juga dikira hanya dengan membaca satu huruf. Juga ada banyak kisah yang menarik dalam Al-Quran yang akan anda temui.

Cuba baca Al-Quran selepas solat. Insya Allah, anda akan dapat momentum dari situ.

3. GUNAKAN MUSHAF YANG SAMA.

Foto Kredit: quranflash.com

Saya telah menggunakan mushaf  yang sama sejak berumur 14 tahun. Inilah perkara yang selalu diingatkan oleh asatizah (guru-guru). Sebabnya ialah, apabila anda menggunakan mushaf yang sama, mata anda telah terbiasa dengan cara penulisan, warna dan hiasan dalamnya. Ini membuatkan minda anda terbiasa dengannya Insya Allah.

4. MENDENGAR BACAAN AYAT AL-QURAN

Perkara ini mungkin susah, tetapi Allah boleh mempermudahkannya untuk anda: tinggalkan lagu-lagu anda, muzik pop dan rock. Dua benda yang bertentangan tidak dapat wujud dalam masa yang sama. Tetapi, sudah tentu terdapat beberapa pendapat mengenai hal ini. Adakah anda lebih suka mendengar muzik dari mendengar ayat al-Quran yang dikatakan menenangkan hati seseorang?

Saya suka mendengar bacaan surah dalam Quran yang saya sedang hafal atau surah seterusnya yang akan dihafal kemudian, saya akan ulang surah yang sama sambil melakukan kerja lain.

Perkataan tersebut akan masuk ke dalam minda kita tanpa disedari. Anda akan dapati menghafal surah menjadi lebih mudah. Saya juga akan membuka mushaf sambil mendengar bacaan Quran untuk membiasakan dengan mukasurat tersebut. Kemudian saya akan mulakan hafalan.

5. PENGULANGAN DAN PEMBAHAGIAN HALAMAN ADALAH ASAS UNTUK MENGHAFAL

Baca keseluruhan halaman beberapa kali, anda boleh memilih untuk membahagikan halaman kepada tiga atau dua bahagian. Ini bergantung kepada berapa mudah untuk menghafal halaman tersebut. Hafal bahagian pertama sebelum meneruskan ke bahagian seterusnya. Elakkan pergi ke muka hadapan sebelum anda dapati hafalan tersebut tersimpan utuh dalam ingatan.

6. PEMAHAMAN ADALAH KUNCI PENTING DALAM MENGHAFAL

Adalah sangat menyeronokkan jika anda memahami apa yang disampaikan oleh-Nya. Demi Allah, saya dapati al-Quran sangat cantik, ia boleh membawa anda ke titik terendah dan membuka anda kepada perubahan yang lebih besar.

Fokus pada apa yang anda baca untuk memahami ayat tersebut. Jangan memikirkan hal lain ketika membacanya.

Muat turun aplikasi terjemahan / tafsir al-Quran dalam telefon anda. Atau boleh juga menggunakan mushaf yang mempunyai terjemahan di bahagian tepi. Ustazah saya (semoga Allah anugerahkan kebaikan kepadanya) sentiasa menasihati kita bahawa kefahaman telah menjawab sebahagian dari soalan. Jadi, dalam konteks ini, pemahaman adalah sebahagian penghafalan ayat tersebut, Insya Allah.

7. MULAKAN DENGAN PERLAHAN-LAHAN

Ambil selangkah demi selangkah, Insya Allah anda akan dapati menghafal dengan konsisten lebih mudah.

8. JANGAN PUTUS ASA

Tidak bermakna jika hari ini terasa susah, esok juga akan terasa susah. Bacalah doa sebelum memulakan hafalan. Ingatlah di mana jua anda sekarang (dalam menghafal) adalah satu langkah untuk menamatkan penghafalan seuruh al-Quran. Yang penting, jangan berhenti.

9. BERKAWAN DENGAN MEREKA YANG TURUT MENGHAFAL

Foto Kredit: Facebook Fadhil Azman

Dengan mempunyai rakan yang turut menghafal, ia boleh membuatkan anda lebih bermotivasi untuk menghafal dan mengulang.

10. MERANCANGLAH

Secara asasnya, saya menghafal lebih kurang 4-6 halaman setiap hari. Untuk menghafal satu halaman, saya mengambil masa lebih kurang 30 min, bergantung pada tahap kesukaran halaman tersebut. Ada halaman yang mengambil masa 20 min untuk dihafal.

Alhamdulillah, Allah permudahkan bagi saya. Manakala bagi halaman yang lebih susah, saya mengambil masa 45 minit.

11. MASA YANG TERBAIK

Untuk menghafal al-Quran adalah selepas subuh atau fajar, iaitu ketika minda masih segar. Ketenangan fajar akan memasuki minda anda. Ustaz saya selalu menasihatkan kami untuk lebih produktif pada waktu pagi.

Selain itu, waktu selepas solat adalah masa yang sesuai untuk menghafal selain dari waktu antara Maghrib dan Isya’.

12. JADILAH PRODUKTIF

Bacalah al-Quran dalam perjalanan ke sekolah atau tempat kerja. Secara peribadi, saya lebih suka menaiki kereta api berbanding memandu kerana masa perjalanan tersebut saya boleh isi dengan menghafal atau mengulang.

13. BAWALAH MUSHAF ANDA KE MANA JUA ANDA PERGI

Ia akan menjadi peringatan untuk anda membacanya Insya Allah.

14. JAGALAH MATA ANDA

Foto Kredit: Facebook Fadhil Azman

Dari memandang atau melihat aurat berlainan jantina. Telinga anda dari mendengar gossip. Mulut anda dari berkata belakang, mengumpat dan dari semua perbuatan yang dilarang. Ustazah saya sering kali mengingatkan dan meminta kami untuk menghafal puisi Imam Syafi’ie sebagai peringatan.

Aku mengadu kepada Wakii’ (Imam Syafi’ie) mengenai ingatanku yang lemah.

Dia menasihatku untuk meninggalkan dosa

Dan dia memberitahuku bahawa ilmu adalah cahaya

Dan cahaya Allah tidak akan sampai pada pendosa

15. BERTAUBATLAH

Bertaubatlah selalu, kadang kalau kita melakukan dosa tanpa menyedarinya. Apabila seseorang membuat dosa, dia perlulah segera bertaubat kepada Allah. Allah menerima taubat orang yang ikhlas, Insya Allah.

16. MINTA SESEORANG MENDENGAR BACAAN ANDA ; TASMII’.

Carilah seorang kawan, ahli keluarga atau guru untuk tasmii’ anda. Dia mestilah seorang yang tahu membaca al-Quran dengan betul, jadi apabila berlaku kesalahan kecil, dia dapat membetulkannya.

17. MURAJA’AH (ULANG) APA YANG ANDA TELAH HAFAL.

Carilah seseorang untuk mendengar anda mengulang bacaan. Seseorang itu perlulah memperkukuhkan hafalannya dengan selalu mengulang.

18. MAKAN KISMIS & MADU

Saya tidak pasti dengan mendalam mengenai hal ini, tetapi saya diajar bahawa memakan kismis & madu dapat mengukuhkan ingatan Insya Allah.

19. TUNAIKANLAH SOLAT MALAM

Buatlah sekurang-kuranya dua rakaat, kemudian berdoalah. Ia amat membantu Insya Allah.

“Doa semasa tahajjud diibaratkan seperti busar panah yang tidak pernah tersasar dari sasarannya” – Imam Syafi’ie

20. BERDOALAH SELALU DAN HARAPKAN PERTOLONGAN ALLAH

“Jangan memandang rendah kuasa doa. Ketahuilah bahawa tiada yang lebih disukai Allah lebih dari hambanya berdoa kepada-Nya.” (Tirmidhi)

Berdoalah kepada Allah agar memudahkan minda dan hati anda untuk menghafal dan tidak melupakan hafalan tersebut. Mohon padaNya agar dikuatkan ingatan dan mohonlah agar Allah singkirkan sifat malas dalam diri.

21. DOAKANLAH KEBAIKAN UNTUK ORANG LAIN

Semasa anda berdoa untuk diri sendiri, selitkan sekali doa untuk orang lain yang mungkin amat memerlukan rahmat Allah.

“Doa seorang Muslim untuk saudaranya (muslim lainnya) yang tidak berada di hadapannya akan dikabulkan oleh Allah. Di atas kepala orang muslim yang berdoa tersebut terdapat seorang malaikat yang ditugasi menjaganya. Setiap kali orang Muslim itu mendoakan kebaikan bagi saudaranya, niscaya malaikat yang menjaganya berkata, “Aamiin (semoga Allah mengabulkan) dan bagimu hal yang serupa.” (Muslim)

22. MINTA IBU BAPA ANDA MENDOAKAN ANDA

Apabila saya mula menghafal al-Quran, saya memberitahu ibu saya akan niat tersebut & meminta ibu bapa saya mendoakan saya. Ia sangat membantu.

Itu sahaja, saya harap perkongsian ini bermanfaat dalam apa sudut sekali pun meskipun sedikit. Semoga Allah permudahkan bagi anda untuk menghafal dan mengulang al-Quran dan semoga Allah permudahkan segala urusan kita.

Rujukan: Fadhil Azman

Petua Kawal Kemarahan Menurut Imam Al-Mawardi

Imam Al-Mawardi, salah seorang ulama’ unggul dalam bidang politik, buku-bukunya merupakan rujukan kepada pengkaji ilmu sejak dahulu hingga sekarang bukan sahaja di timur tetapi juga di barat.

Salah satu kitabnya “Adab al-Dunya wa al-Din” telah membahaskan tentang adab al-nafs yang dibahagikan kepada dua pecahan iaitu “adab al-riyadah wa al-Istislah” dan juga “adab al-Muwada’ah wa al-Istilah”. Kedua-dua bab ini membincangkan beberapa sifat yang termasuk di dalam kategori masing-masing. Di dalam bab “adab al-riyadah wa al-Istislah” , Al-Mawardi telah membahagikan adab ini kepada enam fasal salah satunya al-hilm wa al-ghadab.

Di dalam fasal ini, ada diberikan beberapa tips untuk menghadapi kemarahan:

  • Zikrullah: Mengingati Allah

Dengan mengingati Allah, ia akan menimbulkan rasa takut pada Allah. Sifat ini akan menimbulkan ketaatan kepada Allah. Ia seterusnya mengembalikan seseorang kepada melaksanakan adab dan sekaligus mengikuti setiap perintah Allah. Jika seseorang melakukannya maka ia akan dapat meredakan kemarahannya.

Allah berfirman dalam sura al-A’raf ayat 200

وَإِمَّا یَنزَغَنَّكَ مِنَ ٱلشَّیۡطَـٰنِ نَزۡغࣱ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ سَمِیعٌ عَلِیمٌ

“Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan maka mintalah perlindungan Allah. Sesungguhnya Allah amat mendengar lagi amat mengetahui.”

  • Beralih dari keadaan ketika mana ia berada kepada keadaan lain.

Sebagai contoh, jika anda berasa marah kepada rakan sekerja, kalihkan perhatian anda kepada sesuatu yang lain, atau jauhkanlah diri dari tempat anda berada. Ambillah masa menenangkan diri dahulu kemudian selesaikanlah dengan cara yang baik.

  • Mengingati penyesalan yang diakibatkan oleh kemarahan dan keburukan sifat dendam.

Kebiasaannya bila marah, kita berada di luar kawalan, lidah akan bertukar menjadi pisau yang tajam, tangan akan naik menjadi pemukul tanpa belas kasihan, oleh itu sebelum segalanya kita sesali, beringatlah terlebih dahulu sebelum melontar kata atau melakukan apa-apa yang tidak sepatutnya.

  • Mengingat pahala memberi maaf dan kebaikan perdamaian.

Cara ini dapat memaksa seseorang meninggalkan serta menjauhi kemarahan. Ini kerana ia lebih menyukai pahala dan kurniaan Allah serta sentiasa bersikap waspada dan menghindarkan diri dari celaan dan seksaan.

  • Mengingatkan hati dan mendorong jiwa untuk selalu memberikan maaf.

Dan seseorang itu tidak perlu mengabaikan kemaafan hanya kerana orang lain menjauhi dan menghindari perbuatan maaf tersebut. Tiada yang salahnya jika kita yang terlebih dahulu memberi maaf atau meminta maaf. Malah ia salah satu tanda bahawa jiwa kita telah menang.

Kesimpulan

Kelima-lima cara ini merupakan antara anjuran dan saranan yang dinyatakan oleh al-Mawardi yang boleh diambil sebagai pedoman untuk menghiasi diri dengan sifat al-hilm (lemah lembut) serta menjauhi atau meredakan kemarahan.

Cara Berhenti Merokok Menurut Syeikh Muhammad Bin Shalih Al-Uthaimin.

“Dulu aku tak solat, sekarang Alhamdulillah aku mula solat dan aku sentiasa berusaha untuk solat di awal waktu. Cuma aku masih merokok, aku sudah berusaha keras untuk meninggalkannya, tapi masih tak mampu.”

Di sini beberapa tips daripada Syeikh Muhammad Bin Shalih Al-Uthaimin:

  1. Tinggalkan Rokok Secara bertahap

Kurangkan merokok, hingga perlahan-lahan hilang ketagihan sedikit demi sedikit.

  • Mengambil ubat seperti saranan doktor untuk mengurangkan ketagihan
  • Jauhi orang-orang yang suka merokok.

Duduk bersama orang-orang yang menghisap rokok sedikit sebanyak boleh mempengaruhi anda dan menimbulkan keinginan untuk merokok kembali.

2. Carilah sahabat yang baik.

Berteman dengan orang yang baik dan yang tidak merokok dapat membantu anda untuk berhenti merokok, carilah bulatan yang baik jika anda benar-benar ingin berhenti merokok.

3. Cara paling berkesan adalah memiliki tekad yang kuat untuk berhenti merokok.

Keazaman yang kuat sama sekali tidak akan mampu meruntuhkan semangat. Jika kita benar yakini bahawa pada rokok itu adalah dosa, tinggalkanlah ia dan tidak perlu mengulangi dosa yang sama setiap hari.

Kesimpulan

Bukan mudah untuk berhenti merokok apatah lagi jika ia sudahpun sebati dengan badan. Namun, mintalah pada Allah untuk memberikan pertolonganNya, sesungguhnya Allah tidak akan membiarkan hambaNya berada di lembah dosa yang sama sekiranya hambaNya benar-benar ingin keluar darinya.

Kerana Surah Al-Hijr ayat 26, Saintis Jepun memeluk Islam

Ini kisah benar seorang saintis Jepun, Dr. Atsushi Kamal Okuda dari Universiti Keio,  yang terpegun dan ingin mendalami Islam lebih lagi setelah matanya terbaca sepotong ayat Al-Quran dari surah Al-Hijr ayat 26.

Sebelum memeluk Islam, Dr. Okuda bercerita bahawa kehidupannya sangat tidak bermoral dan tidak faham akan tujuan sebenar kehidupan.

“Sebelum kenal Islam, saya teruk. Sangat teruk. Bodoh. Saya tak tahu apa yang benar,” katanya.

Beliau kemudiannya mula mencari maksud kebenaran sebenar, mengkaji banyak agama secara akademik. Sehinggalah beliau temui Islam dan tertarik untuk belajar dengan betul.

Ketika berada di tahun enam di kolej, beliau mengkaji undang-undang Islam. Sedang dalam fasa mengkaji, beliau terjumpa satu kertas kajian di mana matanya tertancap ke satu ayat yang mengubah kehidupannya selama-lamanya.

Ayat tersebut adalah berkenaan bagaimana Allah mencipta manusia daripada pasir, tanah dan debu – ayat ke 26 surah Al-Hijr.

وَلَـقَدۡ خَلَقۡنَا الۡاِنۡسَانَ مِنۡ صَلۡصَالٍ مِّنۡ حَمَاٍ مَّسۡنُوۡنٍ​ۚ‏ 

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk.

Sejak itu hati beliau sangat dekat dengan Islam dan untuk mengkaji lebih mendalam, beliau berpindah ke Aleppo, Syria untuk belajar agama dan bahasa Arab.

Kegembiraannya tidak dapat dibendung selepas memeluk Islam, satu kegembiraan yang tidak pernah dirasakan sebelum ini.

“Masa tu! Saya memeluk Islam. Saya percaya bahawa ini adalah hadiah terhebat daripada Allah dalam hidup saya.”

Kini Dr. Okuda adalah inspirasi ramai. Beliau adalah contoh teladan bukan sahaja kepada Muslim di Jepun, tetapi juga untuk semua manusia di atas dunia , tentang apa yang perlu dilakukan selepas menemui kebenaran.

Beliau juga giat menjalankan kerja dakwah untuk berkongsi hadiah daripada Ilahi kepada orang ramai.

Beliau secara rela, bersama rakan-rakannya di Jepun utnuk menyebarkan mesej Islam di negara matahari terbit tersebut – demi menyelamatkan Jepun daripada kehidupan tanpa Allah.

Semoga Dr. Okuda dan kita semua dikurniakan hidayah dan tempat di kalangan kekasih-Nya.

Al-Quran Satu-satunya Penawar Resah Gelisah

“macam mana nak survive sampai akhir bulan ni…. hutang keliling pinggang, isteri pulak sakit. Ya Allah…”

“kenapa hidup aku macamni.. semua aku buat, semua gagal. Bisnes tak jalan, jual air tak laku, jual baju takde siapa nak beli. Aku tak malas. Cuma aku bernasib malang.”

“kenapa abah pergi dulu… hidup aku dan mak terumbang-ambing… ya Allah, kenapa Kau ambil dia? Aku masih belum bersedia tanpanya.”

Ini Antara keluhan-keluhan yang dialami oleh sesetengah di kalangan kita. Terkadang merasa diri tidak berguna, hilang motivasi, hilang sumber inspirasi.

Namun, sebaik-baik peneman bagi mereka yang berduka cita hanya Allah dan kalamullah. Hati yang terasa sebak dan sesak pasti kembali lapang dengan zikrullah. Al-quran merupakan petunjuk dan penawar bagi orang yang beriman.

Bertepatan dengan Firman Allah dalam surah Al-Fussilat ayat 44:

“katakanlah Al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang yang beriman.”

Bila kita merasa sedih, pergilah berwudhu’ bacalah Al-Quran walau semuka, hamburkanlah segala kesedihan hanya pada Allah, luahkan segalanya hanya pada Allah, dengan itu sedikit sebanyak kesakitan yang kita rasa pasti berkurangan.

Wallahu ‘alam.

Kenapa Dinamakan Surah Al-Ikhlas

Syeikh ibn Uthaimin R.A berkata:

“Dinamakan dengan nama surah Al-Ikhlas kerana Allah khusus menceritakan tentang diriNya dan Allah tidak menyebut di dalamnya kecuali apa yang berkaitan dengan nama-nama dan sifat-Nya serta kerana surah tersebut mengajarkan ikhlas kepada pembacanya sehingga menjauhi kesyirikan.

(Mudzakaroh ‘Ala Aqidatil Wasithiyatil hal.13)

Allah Sebagai Pelindung

Allah SWT berfirman,

إِنَّ وَلِـِّۧیَ ٱللَّهُ ٱلَّذِی نَزَّلَ ٱلۡكِتَـٰبَۖ وَهُوَ یَتَوَلَّى ٱلصَّـٰلِحِینَ

“Sesungguhnya pelindungku ialah Allah yang telah menurunkan kitab (Al-Quran), dan Dia lah jua yang menolong dan memelihara orang-orang yang berbuat kebaikan”

[Surah al-A’raf 196]

Allah Maha Berkuasa sebagai pelindung dan pemelihara kita. Sesungguhnya tiada kuasa lain yang mampu melindung dan memelihara kita dari sebarang perkara selain Allah.

حَسۡبُنَا ٱللَّهُ وَنِعۡمَ ٱلۡوَكِیلُ

“Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”

[Surah Aali Imran 173]

Dalam ayat ini, Allah swt mengatakan bahawa, NabiNya berkata kepada para penyembah berhala bahawa yang melindungi dan memelihara baginda ialah hanyalah Allah SWT. Hanya Allah yang berkuasa memberi perlindungan, bukannya berhala dan patung yang mereka sembah.

Di samping itu, Allah turut memelihara dan menjaga orang-orang soleh dan orang-orang mukmin yang sentiasa beramal soleh dan melakukan kebaikan. Sekiranya kita mahukan pertolongan dan perlindungan Allah, maka hendaklah kita sentiasa memelihara setiap perintah yang Allah tetapkan dan sentiasa melakukan kebaikan.

Antara perkara kebaikan yang boleh kita lakukan agar kita tergolong di kalangan hambaNya yang soleh, antaranya:

1. Meninggalkan perkara yang dilarang seperti mengumpat, berbohong dan mencerca orang lain
2. Memperbanyakkan sedekah
3. Melazimkan diri dengan bacaan al-Quran
4. Menjamu makan orang yang berbuka puasa
5. Basahkan lidah dengan beristighfar, berselawat, berzikir dan berdoa.
6. Banyakkan bertaubat
7. Menghidupkan malam dengan ibadah sunat (Qiamullail)
8. Menyantuni dan menggembirakan fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal, orang sakit.
9. Membayar zakat
10. Beriktikaf dan bermunajat.
11. Menuntut ilmu dan menyampaikan ilmu
12. Menunaikan solat fardhu secara berjemaah
13. Membantu ibubapa dan ahli keluarga
14. Dan melakukan apa sahaja kebaikan dan kebajikan.

مَنۡ عَمِلَ صَـٰلِحࣰا مِّن ذَكَرٍ أَوۡ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤۡمِنࣱ فَلَنُحۡیِیَنَّهُۥ حَیَوٰةࣰ طَیِّبَةࣰۖ وَلَنَجۡزِیَنَّهُمۡ أَجۡرَهُم بِأَحۡسَنِ مَا كَانُوا۟ یَعۡمَلُونَ

“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan”

[Surah an-Nahl 97]

Semoga kita semua sentiasa berada dalam perlindungan, pembelaan, pemeliharaan dan pertolongan Allah swt di dunia dan di akhirat.

Rujukan: Ustaz Muhamad Naim Haji Hashim

Kewajipan Berwuduk

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran,

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِذَا قُمۡتُمۡ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ فَٱغۡسِلُوا۟ وُجُوهَكُمۡ وَأَیۡدِیَكُمۡ إِلَى ٱلۡمَرَافِقِ وَٱمۡسَحُوا۟ بِرُءُوسِكُمۡ وَأَرۡجُلَكُمۡ إِلَى ٱلۡكَعۡبَیۡنِۚ

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali…” [Surah al-Ma’idah 6]

Berdasarkan ayat diatas ini adalah berkenaan dengan seruan Allah untuk menjelaskan mengenai syariat berwuduk ketika mendirikan solat kepada orang beriman. Hal ini demikian kerana, suci daripada hadas merupakan salah satu syarat sahnya solat. Tanpa wudhuk solat itu tidak sah dan tidak akan diterima.

Rasulullah saw bersabda:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لاَ وُضُوءَ لَهُ وَلاَ وُضُوءَ لِمَنْ لَمْ يَذْكُرِ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى عَلَيْهِ

“Tidak ada solat bagi orang yang tidak berwudhuk. Dan tidak ada wudhuk bagi orang yang tidak menyebut nama Allah swt atasnya.” (HR Abu Dawud)

kita dituntut berwudhuk ketika ingin mendirikan solat, bahkan ia turut dituntut ketika kita hendak tidur. Nabi saw bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَبِيتُ عَلَى ذِكْرٍ طَاهِرًا، فَيَتَعَارُّ مِنَ اللَّيْلِ فَيَسْأَلُ اللَّهَ خَيْرًا مِنَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ

“Tiada seorang Islam yang tidur dengan berzikir dan dalam keadaan taharah, kemudian dia terjaga pada waktu malam, lalu dia memohon kepada Allah kebaikan di dunia dan akhirat, kecuali Allah swt perkenankan hajatnya” (HR Abu Daud dan Ibn Majah)

Sayidina al-Bara’ bin ‘Azib r.huma, katanya: Rasulullah saw bersabda kepadaku:

إِذَا أَتَيتَ مَضْجَعَكَ فَتَوضَّأْ وضُوءَكَ لِلصَّلاةِ، ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلى شِقِّكَ الأَيمَنِ، وقلْ: اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ نفِسي إِلَيكَ، وَفَوَّضتُ أَمري إِلَيْكَ، وَأَلَجَأْتُ ظَهرِي إِلَيْكَ، رغبةً ورهْبَةً إِلَيْكَ، لامَلجأَ ولا مَنجي مِنْكَ إِلاَّ إِليكَ، آمنتُ بِكِتَابِكَ الذِي أَنزَلْت، وَبِنَبِيِّكَ الذِي أَرسَلتَ، فإِنْ مِتَّ. مِتَّ عَلَى الفِطرةِ، واجْعَلهُنَّ آخِرَ مَا تَقُولُ

“Apabila kamu datang ke tempat perbaringan, hendaklah kamu berwudhuk seperti wuduk solat, kemudian berbaring atas lambung kanan, dan berdoalah:

اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ نفِسي إِلَيكَ، وَفَوَّضتُ أَمري إِلَيْكَ، وَأَلَجَأْتُ ظَهرِي إِلَيْكَ، رغبةً ورهْبَةً إِلَيْكَ، لامَلجأَ ولا مَنجي مِنْكَ إِلاَّ إِليكَ، آمنتُ بِكِتَابِكَ الذِي أَنزَلْت، وَبِنَبِيِّكَ الذِي أَرسَلتَ

“Ya Allah, aku serahkan diriku padaMu, dan aku serahkan urusanku padaMu. Aku sandarkan belakangku kepadaMu dengan penuh rasa harap dan takut kepadaMu. Tiada tempat bersandar dan selamat selain daripadaMu. Aku beriman dengan kitabMu yang Kamu turunkan, dan nabiMu yang Kamu utuskan.”

Sekiranya kamu mati, nescaya kamu mati di atas fitrah dan jadikanlah rangkuman doa ini sebagai akhir apa yang kamu baca” (HR al-Bukhari)

Didalam Hadis lain, Rasulullah SAW turut bersabda,

إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ، فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ، ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الأَيْمَنِ

“Apabila kamu pergi ke tempat perbaringan kamu, maka hendaklah kamu wuduk seperti kamu wuduk untuk solat, kemudian berbaringlah di lambung sebelah kananmu” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Imam Al-Qadhi ‘Iyadh turut berkata:

“Hadis ini terdapat tiga sunnah, salah satunya berwuduk untuk tidur kerana dibimbangi Allah mematikannya tanpa taharah (tanpa dalam keadaan bersuci). Dan seterusnya supaya mimpinya benar serta jauh dari permainan syaitan dalam mimpinya dan yang menakutkannya. Ketiga, jika dia mati, maka akhir amalannya di dunia adalah bertaharah serta zikrullah”.

Semoga kita tergolong dikalangan orang yang sentiasa berwuduk serta taat dalam melaksanakan Sunnahnya.