Sebut sahaja Syeikh Abdurrahman bin Abdul Aziz As-Sudais, rata-rata diantara kita sangat mengenali sosok tubuh ini, bahkan mungkin diantara kita yang akan terus terngiang-ngiang ditelinga dengan bacaan alunan Al-Quran imam ini. Imam Syeikh Abdurrahman bin Abdul Aziz As-Sudais merupakan Imam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Seperti yang kita tahu, Imam Syeikh Abdurrahman bin Abdul Aziz As-Sudais merupakan seorang Hafiz Al-Quran. Semangat cinta Al-Quran dalam diri Imam As-Sudais sudah dipupuk sejak beliau kecil, bahkan sebelum beliau mengenali sendiri apakah itu Imam dan Hafiz.
Didikan dan panggilan dari ibunya sendiri dengan memanggil “ Ya Abdurrahman, Ya Hafidzal Quran, Ya Imamal Masjidil Haram” kerap diulang sehingga rupanya ia telah menjadi satu doa. Berkatnya doa seorang ibu, yang akhirnya dikabulkan Allah SWT.
Dengan sokongan dari keluarga, doa ibunya yang sangat berkeinginan anaknya menjadi seorang yang bermanfaat untuk ummah, yang mempunyai pendidikan, serta dari kecerdasan As-Sudais sendiri, akhirnya, Imam As-Sudais menjadi seorang hafiz yang berwibawa, berwawasan luas dan berbakti untuk ummah di sebaik-baik tempat.
Semoga Allah turut menjadikan kita dikalangan golongan yang sentiasa mencintai dan memanfaatkan Kalamullah yang agung ini dengan sebaiknya.
Pepatah Arab ada menyebut ” الجار قبل الدار”. Pilihlah jiran sebelum memilih rumah. Mengapa pentingnya memilih tetangga yang baik?
Kerana ia menjamin ketenteraman kita.
Bayangkan jika jiran kita suka berbuat zalim seperti kuat mengata, suka menfitnah, suka membuat kerosakan di kawasan perumahan, malah lebih dahsyat, menghantar sihir, pasti kita sendiri berasa tidak selesa bahkan rasa tidak selamat.
Sebagai seorang jiran, kita perlulah menghormati jiran dan menjaga hak mereka. Hal ini kerana, ada disebutkan dalam sabda Baginda SAW tentang balasan bagi orang yang berbuat zalim terhadap jirannya.
Dalam Riwayat Abu Hurairah disebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“tidak masuk syurga orang yang tetangganya tidak berasa aman kerana kezalimannya”.
Nor Farhatul Fairuzah Panut, sering menjadi bualan selepas menjuari Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61.
Farhatul menjadikan Al-Quran sebagai sahabat pendamping hariannya. Seusai solat subuh, akan bergema suara merdunya mengalunkan ayat suci Al-Quran.
“dahulu, saya pun macam orang lain. Di awal remaja, saya minat Kpop dan menonton televisyen hingga lewat malam. Tetapi apabila meningkat dewasa, saya belajar untuk tinggalkan semua itu. Saya banyakkan masa dengan al-Quran dan bergaul dengan mereka yang cintakan al-Quran.”
Nor Farhatul Fairuzah Panut
Al-Quran adalah kitab suci yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai salah satu mukjizat Baginda. Turunnya Al-Quran adalah sebagai petunjuk umat manusia sehingga ke hari kiamat.
Farhatul berkata lagi,
“Sesibuk mana pun, tak ada alasan untuk tak baca al-Quran kerana sekarang sudah ada aplikasi di telefon pintar. Jadi kita boleh baca melalui telefon sahaja.
“Rugi sangat kalau kita tidak jadikan al-Quran sebahagian daripada hidup kita. Orang yang ada al-Quran, ada segala-galanya,”
Maka, marilah kita sama-sama menjadikan Al-Quran sebagai pedoman hidup kita sehingga ke akhir hayat kita. In sha Allah, Al-Quran akan menjadi pembela kita di akhirat kelak.
“Ia adalah disebabkan kerana keperihatian Nabi terhadap umatnya, Baginda memerhati hal ehwal yang akan menimpa umatnya lalu Baginda beristighfar buat mereka.
(al-Nawawi, Sharh Muslim).
Imam al-Nawawi juga menegaskan bahawa istighfar Rasulullah itu adalah manifestasi pengabdian Baginda kepada Allah iaitu menundukkan seluruh jiwa raganya hanya kerana Allah sebagai tanda hamba yang bersyukur.
Menurut al-Qadi Iyad pula, Baginda mengucapkan itighfar sepanjang masa kerana bimbang hatinya leka dari mengingati Allah.
“Sesungguhnya hati Rasulullah itu sentiasa berada dalam keadaan zikir (mengingati Allah), namun apabila Baginda teralpa atau terleka seketika, maka Baginda segera beristighfar kerana leka dari berzikir kepada Allah.” (Sharh Muslim)
Kesimpulan
Betapa hebatnya Rasulullah, meski dirinya maksum, Baginda masih beristighfar kerana Baginda terlalu menghayati dan tenggelam dalam keseronokan Istighfar. Malah, Baginda bukan sahaja beristighfar untuk dirinya agar tidak leka dari mengingati Allah bahkan Baginda juga beristighfar untuk kita. Bagaimanakah kita? Berapa banyakkah ratib istighfar kita setiap hari? Berapa banyakkah penyesalan dan muhasabah yang kita lakukan setiap hari? Tepuklah Dada Tanyalah Iman.
Ketidaksempurnaan fizikal bukanlah faktor untuk menghalang seseorang itu mencapai kejayaan. Ibarat, dimana ada kemahuan, disitu ada jalan.
Begitulah apabila untuk menggambarkan perkara yang mustahil untuk dicapai jika mempunyai keazaman dan kesungguhan yang tinggi.
Seorang pelajar lelaki yang berusia 17 Tahun mampu menghafaz 30 juzuk Al-Quran walau ditakdirkan buta sejak kecil. Adam Hussaini Mohd Rosli, Berjaya menjadi antara pelajar terbaik syahadah sempena Majlis Konvensyen Himpunan Huffaz Permata Al-Quran perngkat Nusantara.
“Kesungguhan belajar menggunakan braille sejak sekolah menengah lagi membuatkan saya dapat menguasainya dengan mudah al-Quran dan seterusnya menghafal”
Adam Hussaini Mohd Rosli
Walaupun belia tidak mampu melihat setiap huruf dan baris ayat, beliau mampu membaca dan menulis Bahasa Arab dengan baik. Beliau memperuntukkan sekurang kurang 15 jam sehari untuk membaca Al-Quran menggunakan Braille dan mampu menghabiskan 30 juzuk Quran dalam tempoh masa kurang daripada empat tahun.
Sesungguhnya, setiap kekurangan itu adalah kelebihan bagi setiap orang, bahkan bukan penghalang untuk terus maju ke hadapan.
Semoga Allah menjadikan kita dikalangan orang yang bukan sekadar celik mata, bahkan juga celik hati.
Menurut Al-Mawardi, Al-Ghadab atau kemarahan adalah disebabkan oleh hati yang tersinggung atas suatu perbuatan yang dilakukan oleh orang yang kedudukannya lebih rendah darinya.
Kemarahan bergerak bermula dari dalam jasad dan muncul ke luar. Ini kerana, hati yang disentuh oleh rasa marah akan menyebabkan pelakunya memarahi seseorang, ia boleh dilihat sama ada dengan perkataannya atau perbuatannya.
Perlu difahami bahawa marah ada dua jenis, marah pada tempatnya dan marah bukan pada tempatnya.
Marah pada tempatnya seperti seseorang menganiaya kemudian kita berasa marah, itu wajar. Walaubagaimanapun ia perlu dikawal agar tidak melampau batas.
Menurut Quraisy Shihab, yang dicela itu adalah marah tidak pada tempatnya atau pada tempatnya tapi melampau batas.
Ada disebutkan dalam satu riwayat Al Bukhari,
Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya seorang lelaki berkata Nabi SAW, “Berilah pesanan kepadaku”, lalu Nabi SAW menjawab, “Janganlah engkau menjadi seorang pemarah”, orang itu mengulangi permintaannya beberapa kali, Nabi SAW menjawab, “Pada setiap kalinya, janganlah engkau menjadi seorang pemarah.”
(Hadith Riwayat al-Bukhari)
Di sini jelas menunjukkan bahawa marah adalah sifat yang dikeji oleh Islam, Rasulullah melarang berkali-kali agar umatnya tidak menjadi seorang pemarah. Adapun marah kerana Allah disebabkan oleh pelanggaran hokum-hukum Allah maka itu wajar dan dituntut. Islam menghendaki seseorang itu berusaha memperbaiki dirinya dari semasa- ke semasa supaya meningkat keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.
Maksudnya : Sesungguhnya antara hari yang paling baik adalah hari jumaat. Maka perbanyakkanlah selawat ke atasku. Sesungguhnya selawat kamu akan dibentangkan kepadaku.”
Anugerah terbesar bagi seorang muslim itu adalah mereka yang mampu membaca Al-Quran, dan tidak pernah meninggalkan ia walau sehari. Namun, bagi mereka yang masih merangkak, buanglah sikap malu untuk teruskan belajar walaupun baru mengenali huruf Hijaiyyah.
Daripada Abu Umamah RA, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf”.[Riwayat al-Tirmizi (2835)]
Sesungguhnya mempelajari Al-Quran itu, bukanlah perkara yang mudah. Namun, niat dan tekad belajar adalah kunci utama untuk berjaya membaca Al-Quran dengan baik dan lancar.
“Biar gagap, biar merangkak-rangkak untuk belajar, kerana kesusahan untuk belajar Al-Quran juga ada pahala yang besar. Kita usaha untuk betulkan bacaan, tak kira siapa pun kita, kita ummat islam wajib belajar Al Quran”.
PU Amin
Tambah beliau lagi,
“Biar susah di dunia, jangan susah nak menjawab depan Allah nanti. Inshaallah pelan pelan, pasti Allah mudahkan urusan untuk belajar Al-Quran. Nabi sebut sebaik baik manusia adalah yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya”.
Jadi, jelaslah Al-Quran bukan sekadar mukjizat tetapi turut memberi kelebihan kepada mereka yang membacanya.
Lumrah kehidupan di dunia, setiap dari kita takkan terlepas dari fitnah. Walaubagaimanapun betapa beruntung menjadi seorang muslim, kerana kita punya Nabi yang telah pun mengajarkan doa-doa yang boleh kita ambil dan panjatkan pada Allah yang maha Mengkabulkan setiap permintaan.
Diriwayatkan daripada Amru Bin Maimun Al-Adawi dan Mus’ab bin Sa’ad Bin Abi Waqqash Sesungguhnya Rasulullah berlindung dari lima perkara di hujung solatnya:
“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari kebakhilan, aku berlindung kepada-Mu dari sifat pengecut, aku berlindung kepada-Mu dari kepikunan, dan aku berlindung kepada-Mu dari fitnah dunia dan siksa kubur.” (HR. Al-Bukhari, Al-Tirmidzi, al-Nasai, dan Ahmad
“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari kebakhilan, aku berlindung kepada-Mu dari sifat pengecut, aku berlindung kepada-Mu dari nyanyuk, dan aku berlindung kepada-Mu dari fitnah dunia dan siksa kubur.”
(HR. Al-Bukhari, Al-Tirmidzi, al-Nasai, dan Ahmad)
Bilakah waktu untuk membaca doa ini
-Doa ini boleh dibaca sebelum salam, sesudah membaca tasyahhud dan selawat Nabi.
Sepertimana disampaikan oleh perawi Hadith, Sa’ad Bin Abi Waqash:
“. . dan ia (Sa’d) berkata: Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam berlindung darinya (lima perkara) di penghujung shalatnya.” (HR. Al-Bukhari)
Kesimpulan
Sebelum salam merupakan salah satu waktu mustajab berdoa, oleh itu Rasulullah SAW telah memberi contoh tauladan doa-doa yang boleh dibaca dan diamalkan.
Cinta adakalanya berakhir dengan kisah indah, ada juga berakhir dengan kisah gundah. Selalu kita dengar, seseorang disihir kerana cinta. Banyak faktor yang mendorong seseorang untuk beramal dengan sihir salah satunya kerana kecewa, dendam juga dengki melihat orang dicintai bahagia bersama yang lain.
Sesungguhnya perbuatan ini merupakan satu perbuatan syirik bertepatan dengan Sabda Rasulullah SAW yg diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah dosa-dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita muhsan beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina.”
Riwayat al-Bukhari (2766)
Meskipun ramai yang mengetahui bahawa perbuatan ini adalah syirik dan berdosa besar, tetapi mereka tetap juga melakukannya dek kerana amarah yang tak mampu dipadam dan dendam yang dipendam, akhirnya sanggup bersubahat dengan syaitan untuk membalas dendam.
Sebagai umat islam, sifat buruk seperti ini seharusnya dihindari. Jika kita merasa kecewa tidak dapat bersama dengan orang yang kita cinta, bukanlah membalas dendam itu penyelesaiannya. Sebenar-bnar cinta adalah yang ingin melihat orang yang dicinta tetap bahagia.
Buanglah amarahmu, didiklah sabar dan redha dalam hatimu,
Semua yang berlaku merupakan ketentuan dari Tuhan maha Esa, tetaplah jalani kehidupan seperti sediakala. Yang terbaik, pasti akan muncul jua suatu hari nanti.
Bukti cinta boleh dizahirkan dari kata-kata dan perbuatan. Tiada salahnya kita menzahirkan rasa cinta kita sama ada kepada keluarga, kepada sahabat malah kepada pasangan.
Namun ia perlulah dizahirkan dengan cara yang betul dan tidak melanggar hukum syarak. Jika ia melanggar hokum syarak, maka ia bukanlah cinta melainkan nafsu semata-mata.
Rasulullah SAW juga pernah menzahirkan kasih sayang Baginda kepada Muaz Bin Jabal, ini ada dinukilkan dalam sebuah Riwayat, Sabda Rasulullah:
“Wahai Muaz, demi Allah, sesungguhnya aku sayang kepada engkau. Wallahi, sesungguhnya aku sayang kepada engkau.”
Namun ucapan Rasulullah ini tidak terhenti disini sahaja. Baginda seterusnya berpesan kepada Muaz agar sentiasa membaca satu doa khusus dipenghujung solat atau setelah selesai dari solat. Pesan Rasulullah: “Wahai Muaz, janganlah kamu lupa untuk membacakan doa ini dipenghujung solat:
Hadith ini menggambarkan kepada kita, bahawa jika kita mencintai seseorang, kita perlulah menzahirkannya dan mengajarkannya perkara-perkara baik yang dapat mendekatkan seseorang itu pada Allah. Itu barulah bukti cinta sejati.
Kisah-kisah Nabi yang diceritakan di dalam Al-Quran bukan sekadar sebuah penceritaan, bahkan ia juga sebagai panduan dan inspirasi dalam hidup kita.
Menurut Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman, beliau turut berkongsi mengenai rangkuman ibrah dan pengajaran menerusi kisah dalam Al-Quran.
Allah menjadikan satu perempat daripada kisah Al-Quran adalah kisah yang telah berlaku pada zaman lampau. Namun bagi mereka yang mentadabburi dan memahaminya tidak akan merasakan bahawa isi kandungan itu bukan sekadar bacaan, bahkan sebagai panduan dan inspirasi. Apabila bercerita tentang kisah-kisah didalam Al-Quran, sudah tentu ia datang daripada Allah, dan ia bukan rekaan Rasulullah SAW.
Pertamanya, Al-Quran disusun secara kronologi. Sebagai contoh, kisah Al-Sardi yang mana ia disampaikan secara kronologi. Kisah seperti ini menggabungkan antara ayat Al-Quran dan Hadis bermula dengan kelahiran sehingga kewafatan Nabi.
Yang kedua adalah kategori Tafsiri. Iaitu surah surah yang menceritakan atau menyebut kisah seseorang Nabi.
Seterusnya ialah, kategori Tahlili. Iaitu, setiap perkataan mengenai kisah Nabi dikaji secara mendalam dan dianalisis dan disemak apakah maksudnya di dalam Bahasa Arab.
Kategori keempat ialah Al-Adabi, iaitu menggunakan kaedah Nabi dalam Al-Quran lalu dinovelkan.
Kategori kelima adalah dengan menggunakan kaedah Al-Muqran, iaitu perbandingan di mana mereka membandingkan kisah Nabi dengan perkara yang di sebut di dalam kitab.
Kategori keenam ialah berkenaan dengan Kaedah Maudhui, iaitu tentang kisah para nabi yang dipaparkan dalam al-Quran dan penulis menekankan setiap perspektif yang patut diambil untuk sesuatu penulisan itu. Terdapat satu kajian akademik membongkarkan kisah Nabi Yaakub dalam surah Yusuf mengenai 10 tip keibubapaan.
Kategori ketujuh ialah pendekatan ‘al-Wa’zul Irsyadii’ iaitu dengan mengaplikasikan kisah Nabi sebagai motivasi dan inspirasi. Pendekatan ini digunakan dan disyarahkan dengan panjang lebar sehingga individu tersebut ‘jumpa’ apa yang dicarinya selama ini.
Kategori terakhir ialah ‘al-Taklifil Atfal’ iaitu buku yang menyentuh mengenai anak. Inilah antara kaedah penceritaan al-Quran bukan sekadar untuk pembacaan bahkan untuk diambil pengajaran dan inspirasi.
Rasulullah pernah menggambarkan kepada Saidina Abu Hurairah bahawa terdapat seorang lelaki yang menunaikan solat selama 60 tahun, tetapi solatnya tidak diterima Allah. Sabda Rasulullah:
إنَّ الرجلَ ليُصلِّي ستِّينَ سنةً و ما تُقبَلُ له صلاةٌ، لعله يتمُّ الركوعَ، ولا يتمُّ السُّجودَ، ويتمُّ السجودَ ولا يتمُّ الركوعَ
“Seorang lelaki menunaikan solat selama 60 tahun, tetapi satu pun solatnya tidak diterima Allah. Perkara ini berlaku kerana dia menyempurnakan sujudnya tetapi tidak menyempurnakan rukuknya, atau menyempurnakan ruku’nya tetapi tidak menyempurnakan sujudnya.” (HR Ibn Abi Syaibah)
Hadis ini mengingatkan kita supaya menyempurnakan setiap rukun di dalam solat. Bahkan Rasulullah di sini secara spesifik mengingatkan kita tentang rukuk dan sujud yang sering diabaikan oleh sebahagian manusia.
Sabda Rasulullah:
وأسوأُ السَّرقَةِ الذِي يسرِقُ صلاتَهُ قالوا: وكيف يسرقُ صلاتَهُ؟ قالَ: لا يُتِمُّ رُكُوعَهَا ولا سُجُودَهَا
“Seburuk-buruk pencuri adalah mereka yang mencuri di dalam solat. Sahabat lalu bertanya: Bagaimana seseorang itu mencuri di dalam solatnya? Rasulullah lalu menjelaskan: (pencuri solat ini ialah) mereka yang tidak menyempurnakan rukuk dan sujud merekanya.” (HR Ahmad)
Tunaikan solat dengan sempurna. Semoga Allah membimbing kita.
Di bibir selalu meniti cinta, namun cinta bukan hanya dengan kata-kata tetapi ia dibuktikan dengan tingkah laku.
Ramai yang menyuarakan malah melaungkan Cinta Nabi!
Akan tetapi, sepanjang kita hirup udara Allah, berapa kalikah kita mengamalkan sunnah kekasihNya?
Hakikatnya mengamalkan Sunnah Rasulullah tidak susah seperti yang kita sangkakan, ada banyak amalan sunnah yang kita boleh praktikkan setiap hari, antaranya:
1. Bangun Dari Tidur
Disunatkan untuk mengusap wajah dengan tangan, seperti sabda Nabi saw;
“Rasulullah bangun tidur kemudian duduk sambil mengusap wajahnya dengan tangannya.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Kemudian, membaca doa;
“Alhamdulillahillazi ahyana ba’da ma amatana wa ilaihinnusyur (Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah kami dimatikanNya dan kepadanNyalah kami dikembalikan).
(Hadis Riwayat Bukhari)
2. Masuk Dan Keluar Ke Bilik Air/Tandas
Masuk dengan kaki kiri dan membaca doa ;
“Allahumma inni a’uzubika minal khubusi wal khaba’is
(Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadau dari godaan syaitan lelaki dan perempuan).”
(Hadis riwayat Bukhari Dan Muslim)
Keluar dengan kaki kanan sambil membaca doa;
“Ghufranak (Aku memohon ampun kepadaMu).”
(Hadis Riwayat An-Nasa’ie)
3. Ketika Berpakaian
Disunatkan untuk membaca “Bismillah” ketika hendak memakai pakaian dan apabila ingin melepaskannya.
Memulakan bahagian sebelah kanan ketika memakai pakaian dan sebelah kiri apabila ingin menanggalkannya.
Doa memakai baju/pakaian;
“Segala puji bagi Allah yang telah memakaikan kepadaku pakaian ini dan telah memberikan rezeki pakaian ini kepadaku tanpa ada daya dan kekuatan dariku.”
(Hadis Riwayat Abu Daud, At-Tirmizi Dan Ibnu Majah.)
4. Ketika Masuk Dan Keluar Rumah
Ketika hendak keluar rumah
Disunatkan untuk membaca;
“Bismillahi tawakkaltu alallah, wa la haula wala quwwata illa billah (Dengan nama Allah, aku bertawakkal kepada Allah. Dan tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah).”
(Hadis Riwayat Abu Daud, At-Tirmizi.)
Ketika hendak masuk ke dalam rumah
Disunatkan untuk mengucapkan bismillah, memperbanyakkan zikir kepada Allah dan mengucapkan salam sama ada rumah tersebut ada orang atau tidak.
Ini kerana syaitan akan berkongsi tempat tinggal dengan kita, apabila penghuninya tidak menyebut nama Allah ketika memasukinya.
5 Ketika Memakai Kasut/Sandal/Selipar
kaki kanan apabila hendak memakai kasut/sandal atau selipar dan apabila melepaskannya dimulakan dengan kaki kiri.
Hal ini seperti diriwayatkan dari Abu Hurairah r.anhu bahawa Rasulullah saw bersabda,
“Jika kalian memakai sandal, maka dahulukanlah kaki kanan, dan jika melepaskannya, maka dahulukanlah kaki kiri. Jika memakainya maka hendaklah memakai keduanya atau tidak memakai keduanya sama sekali.”
(Hadis riwayat Bukhari Dan Muslim.)
6. Ketika Makan Dan Minum
Sebelum dan selepas makan, disunatkan untuk berdoa. Apabila terlupa membaca doa sehingga makanan sudah habis dimakan, ucapkanlah,
“Dengan nama Allah pada awal dan akhirnya.”
(Hadis Riwayat Abu Daud Dan At-Tirmizi.)
Antara sunnah ketika makan dan minum ialah memulakan dengan menggunakan tangan kanan dan mengambil makanan yang paling hampir dengan kita.
Tidak meniup makanan atau minuman, menjilat jari-jemari untuk membersihkan sisa makanan.
tidak mencela makanan apabila tidak menyukainya, tidak membazir, duduk dengan sopan atau bersimpuh.
Demikianlah beberapa amalan sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah saw dan boleh kita contohi serta amalkan dalam kehidupan seharian. Di samping mengikuti perlakuan Baginda, amalan sunnah juga mampu menampung segala kekurangan pada amalan wajib yang kita lakukan setiap hari.
Siapa tahu, berkat kesungguhan kita mengamalkan sunnah Rasulullah saw sepenuh jiwa dan penuh keikhlasan ini, kita akan beroleh syaafat Baginda di akhirat kelak.
Skizofrenia adalah penyakit mental yang diakibatkan oleh ketidakseimbangan sel kimia dalam otak (Dopamine). Ia adalah suatu gangguan Psikosis Fungsional berupa gangguan mental secara berulang dengan gejala-gejala psikotik seperti kemunduran fungsi sosial, fungsi kerja dan perawatan diri. Skizofrenia adalah sejenis kecelaruan otak seperti sawan, nyanyuk dan Multiple Sclerosis. Ia biasanya bermula di kalangan orang yang baru masuk ke alam dewasa.
1. GEJALA SKIZOFRENIA
A) Delusi
Gangguan intepretasi terhadap persepsi atau pengalaman yang dialami dan ia merupakan gejala paling umum. Antaranya adalah berhalusinasi iaitu mengalami gangguan fikiran melihat atau mendengar perkara yang tidak berlaku. Contohnya mendengar suara-suara ghaib bercakap dengannya sedangkan suara itu tidak didengari oleh orang lain.
B) Gangguan Tingkah Laku
Individu yang mengalami gangguan skizofrenia akan mempunyai perangai yang pelik dan sering berubah-ubah. Individu seperti ini juga kurang berupaya membuat aktiviti harian dengan baik, bahkan suka memencilkan diri dari berinteraksi dengan masyarakat serta tiada motivasi diri
C) Tidak Fokus.
Individu yang mempunyai Skizofrenia juga menghadapi masalah pembelajaran dan kurang dapat memberikan perhatian dan mempunyai masalah daya ingatan.
2. KESAN SKIZOFRENIA
Sekiranya individu itu tidak dirawat, gangguan ini akan berubah ke peringkat kronik. Individu tersebut akan terus memencilkan diri sendiri, tidak menghiraukan keadaan dirinya,malah tiada motivasi untuk meneruskan hidup dan tidak mempunyai perasaan.
3. RAWATAN
A) Rawatan ubat-ubatan psikotropik merupakan rawatan utama pada masa sekarang.
Ubat-ubatan ini akan membantu mengawal tanda-tanda gangguan Skizofrenia
Ubat-ubatan ini mestilah diambil sepertimana yang diarahkan oleh doktor
Ubat-ubatan ini hendaklah terus diambil walaupun keadaan penyakit telah semakin pulih.
Rawatan ubat-ubatan ini perlu diambil untuk jangka masa yang lama kerana kemungkinan gangguan Skizofrenia untuk berulang kembali adalah tinggi, terutamanya pada permulaan 2 tahun selepas mendapat penyakit.
Doktor akan menasihati pesakit gangguan Skizofrenia dalam tempoh lama mana setiap individu itu perlu terus mengambil ubat.
pesakit dinasihatkan supaya tidak teragak-agak untuk berbincang dengan doktor mengenai setiap ubat-ubat yang diambil.
B) Kaunseling individu
Dalam sesi kaunseling individu, pakar akan membantu pesakit untuk memahami tentang penyakit ini untuk membolehkan pesakit lebih bersedia menangani penyakit ini. Ia juga membantu pesakit meningkatkan keyakinan dan jati diri.
C) Terapi Berkelompok
Terapi berkelompok ini melibatkan satu kumpulan orang-orang yang mempunyai masalah yang sama contohnya pesakit schizophrenia duduk bersama-sama membincangkan pengalaman, masalah dan cara mereka menanganinya. Dengan cara ini mereka dapat belajar sesama sendiri dan saling memberi sokongan dan galakan.
D) Pendidikan Kesihatan
Sesi belajar mengenai penyakit, rawatannya, cara mengenalinya dan langkah-langkah pencegahan upaya ianya tidak berulang kembali.
E) Terapi Keluarga
Membantu ahli-ahli keluarga menangani stres semasa hidup bersama pesakit Skizofrenia.
4. PEMULIHAN
Setelah individu itu semakin stabil dengan mengambil ubat, Plan Rehabilitasi perlu diatur supaya individu tersebut mampu keluar menjalani hidup bermasyarakat seperti biasa.
Setiap Jabatan Psikiatri di hospital-hospital besar seluruh negara akan mempunyai pusat pemulihan cara kerja dengan kakitangan terlatih bagi membantu individu tersebut pulih sepenuhnya serta dapat mengembalikan keyakinan diri untuk bekerja dan berinteraksi dengan masyarakat.
Sejujurnya, 9 tahun pertama perkahwinan kami, sebentuk cincin emas murah pun tak pernah aku hadiahkan.
Dan puan isteri aku tak pernah merungut, tak pernah memujuk, jauh sekali merayu meminta. Kerana dia tahu kemampuan aku.
Hampir 10 tahun berkahwin, anak nak masuk 4 dah, aku tak pernah bawa keluarga aku melancong ke mana-mana. Sekadar ke pasar malam, ke supermarket dan tepi pantai sahaja.
Kawan-kawan dia, adik-beradik, saudara mara pakat tayang emas baru, puan isteri senyum dan diam sahaja. Sekali pun tidak pernah meminta-minta.
Saat orang lain melancong ke sini ke sana waktu cuti, kami hanya balik ke kampung. Paling kuat pun ke Pantai Batu Buruk tengok ombak. Anak nak naik kereta kuda pun tak boleh.
Mahal. Ayah tak mampu. Kita tengok saja nak ya. Nanti ayah ada duit kita naik.
Anak-anak ajak pergi pulau, duduk resort dan mandi kolam pun ibunya akan bisik kat anak,
“Arshad, Asyraff dan Amar doakan tau. Agar rezeki ayah mencurah. InsyaAllah bila ada rezeki ayah bawa kita”.
Aku yang mendengar hujung telinga ini terkoyak teruk emosi dalaman. Cuma tak luahkan sahaja. Dalam jiwa, menangis berkoyan air mata.
Rasa loser gila. Rasa tak berguna. Rasa bukan seorang suami dan ayah yang baik untuk anak-anak.
Aku nak sediakan segala. Aku nak tunaikan apa jua permintaan puan isteri dan anak-anak, tapi aku tak mampu.
Gaji diploma, duduk di kota raya, dengan bebanan hutang peribadi, hutang kereta, hutang rumah, bukan cabaran kecil.
Tolak itu tolak ini, balance tak sampai seribu. Nak kena berjimat sampai akhir bulan. Silap percaturan pasti kena berhutang. Sekali berhutang, akan efek perbelanjaan bulanan seterusnya pula.
Nak bayar roadtax terpaksa main kutu rm50 sebulan. Minta tarikh hari roadtax mati. Aku rm50, puan isteri rm50. Sekali tayar botak, tabung haji jadi penyelamat.
Tabung haji potong rm50 sebulan tak pernah simpanan cecah RM1k. Kejap-kejap cucuk, kejap-kejap cucuk.
Habis peluang kerja aku buat. Jual simkad, jual air, jual kasut, pelayan kedai makan. Semua aku rembat.
Pulang sekolah jam 7 malam, jam 8 malam lepas solat maghrib terus keluar pergi jual kasut bundle. Pulang jam 4 pagi. Dapat la gaji RM30 satu malam. Kadang tak ada pelanggan, tak ada gaji.
Pulang kepenatan, esoknya perlu ke sekolah lagi. Habis musim kasut jadi pelayan kedai makan. Kadang dapat gaji kadang dapat makan free. Pun kerja malam dari jam 8 pagi hingga 3 pagi.
Mujur aku mengajar petang masa tu. Lepas Subuh sambung tidur. Bangkit jam 11 pagi bersiap ke sekolah pula. Begitu rutin bertahun lamanya.
Sedikit demi sedikit aku menabung. Sedikit demi sedikit aku menyimpan. Aku punya hasrat dah lama. Lama sangat-sangat.
Nak hadiahkan isteri barang kemas. Nak bawa anak melancong puas-puas.
9 tahun bukan tempoh singkat. Ia bukan sedikit perit, luka, dan airmata yang aku tahan selama ini.
Akhirnya, pada anniversary kami ke sembilan pada Jun tahun 2018, aku memimpin tangan ini; tangan yang aku nikahi 9 tahun lalu masuk ke kedai emas untuk memilih apa jua barang yang dia suka.
Terkejut, terharu puan isteri usah cerita. Hampir saja airmata tumpah dalam kedai emas kerana beliau tak sangka aku nak heret masuk ke kedai itu.
Pun masih, betapa setia dan memahaminya seorang isteri, bilamana aku minta untuk pilih barang kemas kesukaan dia cuma memilih sebentuk cincin belah rotan yang harga lebih kurang RM400 sahaja.
Betapa beliau risau akan membebankan aku. Betapa beliau runsing aku tidak bersedia untuk itu.
Hari tersebut, aku suruh ambil rantai emas harga lebih 6k. Geleng kepala dia tengok harga, siap suruh trade in rantai lama.
Aku senyum dan suruh ambil saja. Bahkan bersama seutas lagi gelang lebih 2k harga.
“Ambillah. Abang dah bersedia lama untuk saat ini. Abang menahan diri dari berbelanja, abang menyimpan, abang main kutu, abang berjimat cermat bertahun-tahun hanya untuk hari ini.
Usah risau. Semua dalam kawalan”.
Saat tu je bergenang mata puan isteri lantas meramas erat tangan aku. Tuan kedai terkebil-kebil saja melihat situasi kami.
‘Drama apakah ini?’ agaknya itu yang bermain di dalam kepalanya. 🤣🤣
Dari hari itu, dari tarikh itu, Tuhan mula melorongkan rezeki mencurah-curah. Apa saja aku buat, alhamdulillah berjaya.
Datang seorang demi seorang kawan orang yang berjaya tunjukkan jalan dan buka peluang untuk aku terus maju jaya.
Agaknya inilah rezeki yang orang selalu sebut, rezeki belanja untuk isteri.
Bahkan mungkin berkat doa anak-anak yang memohon penuh tulus agar Tuhan buka jalan rezeki untuk ayahnya semata-mata mereka hendak tidur hotel dan mandi kolam seperti keluarga lain.
Dan tanggal Disember 2018, setelah gigih menyimpan, akhirnya buat pertama kali aku mampu bawa anak isteri, mak mertua dan adik-adik ipar melancong ke Kundasang, Sabah.
Kawan-kawan…
Jika hari ini kalian belum berjaya, jika hari ini kalian belum mampu, jangan pernah menyerah kalah.
Terus usaha dan usaha sahaja. Terus yakin dengan doa dan sedekah. Dua senjata ajaib yang tak mampu mana-mana saintis di dunia rungkai kesannya.
Aku menulis hari ini bukan untuk menunjuk-nunjuk. Jauh sekali nak bercerita aku dah berjaya, kaya dan seumpamanya.
Sehingga hari ini aku masih gigih berusaha untuk mengubah nasib diri. Sehingga hari ini aku masih banyak menahan diri dan menyimpan untuk masa depan.
Aku belum berjaya. Tapi aku sedang berusaha ke arahnya. Aku tak pernah berhenti walau sekali. Aku masih gigih dan berjuang, bukan goyang kaki bersenang-lenang.
Semoga sedikit perkongsian ini membuka mata dan memberi inspirasi kepada mereka yang ingin mengambil ‘isi’ di dalam tulisan ini.
Aku doakan kalian semua akan berjaya dan terus maju jaya. Doakan aku juga ya.
Ingatlah firman Allah,
“Tuhan tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri yg mengubahnya”.
Hidup ini keras dan memeritkan bagi sebahagian kita. Jangan mengalah, sentiasa bangkit setiap kali jatuh, jangan lupa sedekah dan doa, pasti akan ada jalan terbuka luas terbentang di depan sana.
Ribut yang paling dahsyat pun pasti akan berhenti. Dan sebaik ia berhenti, muncullah pelangi. Begitu juga ujian hidup ini.
Terus kental bertahan. Bahagia dan kejayaan sudah menghampirimu. Yakinlah!
Kisah menakjubkan ini berlaku pada Tanggal 22 Februari 2006 di salah sebuah gereja yang terletak di Amerika.
Seorang pemuda arab yang baru sahaja tamat perkuliahannya di Amerika, beliau diberi kelebihan oleh Allah untuk memahami dan mampu mendalami Islam dengan baik sekali. Selain seorang pelajar beliau merupakan juru dakwah.
Ketika berada di Amerika,ia berkenalan dengan salah seorang Nasrani dan mereka berdua sangat akrab. Pemuda arab itu berharap temannya diberi hidayah oleh Allah untuk memeluk Islam.
Pada 22 Februari 2006, mereka berdua berjalan-jalan di sebuah perkampungan di Amerika, dan melintas di depan sebuah gereja yang terdapat di kampung tersebut. Si Nasrani ingin memasuki gereja tersebut, dan mengajak pemuda Arab itu turut masuk ke dalam gereja. Pada awalnya pemuda Arab tersebut keberatan dengan permintaan temannya itu, namun kerana ia terus didesak, akhirnya pemuda itu pun memenuhi permintaan si Nasrani itu. Lalu masuklah ia ke dalam gereja dan duduk di salah satu bangku dan suasana hanya hening, sebagaimana kebiasaan mereka.
Ketika pendeta gereja itu masuk, para hadirin serentak berdiri untuk memberikan penghormatan. Di saat itu si pendeta agak terkejut ketika memandang para hadirin.
Ia pun berkata:
“Di tengah kita ada seorang muslim. Aku berharap ia keluar dari sini.”
Pemuda Arab itu tidak berganjak dari tempatnya. Pendeta tersebut mengucapkan perkataan itu berkali-kali, namun ia tetap tidak berganjak dari tempatnya.
Hingga akhirnya pendeta itu berkata :
“Aku minta ia keluar dari sini dan aku akan menjamin keselamatannya.”
Lalu, barulah pemuda itu berganjak keluar. Di muka pintu, ia bertanya pada pendeta itu,
“ Bagaimana anda tahu bahawa saya seorang muslim?”
Pendeta itu menjawab,
“Dari tanda yang terdapat pada raut wajahmu.”
Kemudian pemuda itu pun berganjak keluar, tiba-tiba pendeta itu menahannya dan bertanyakan soalan-soalan supaya pemuda itu tidak dapat menjawabnya lantas dapat memalukan dan mempersendakan agama Islam dan mengukuhkan lagi fahaman gerejanya.
Si pendeta itu pun berkata
“ aku akan membiarkanmu keluar dari tempat suci ini, tapi kamu mestilah menjawab 22 pertanyaanku dengan jawapan yang tepat.”
Pemuda arab itu tersenyum lalu berkata “silakan.”
Sebutkan satu yang tidak akan ada duanya,
Dua yang tidak akan ada tiganya,
Tiga yang tidak akan ada empatnya,
Empat yang tidak akan ada yang limanya,
Lima yang tidak akan ada enamnya,
Enam yang tidak akan ada tujuhnya,
Tujuh yang tidak akan ada delapannya,
Delapan yang tidak akan ada sembilannya,
Sembilan yang tidak akan ada sepuluhnya,
Sesuatu yang bernilai sepuluh,
Sebelas yang tidak akan ada dua belasnya,
Dua belas yang tidak akan ada tiga belasnya,
Tiga belas yang tidak akan ada empat belasnya,
Sebutkan sesuatu yang dapat bernafas namun tidak mempunyai ruh!
Apa yang dimaksudkan dengan kubur berjalan membawa isinya?
Siapakah yang berdusta namun masuk ke surga?
Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah namun Dia mencelanya?
Sebutkan makhluk yang diciptakan Allah tanpa ayah dan ibu!
Siapakah yang tercipta dari api, siapakah yang diazab dengan api dan siapakan yang terpelihara dari api?
Siapakah yang tercipta dari batu, siapakah yang diazab dengan batu dan siapakah yang terpelihara dari batu?
Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap besar!
Pohon apakah yang mempunyai 12 ranting, setiap ranting mempunyai 30 daun, setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah naungan dan 2 di bawah sinaran matahari?
Mendengar pertanyaan yang pelik dan dibuat-buat tersebut pemuda itu pun tersenyum dengan senyuman mengandung keyakinan kepada Allah. Setelah membaca bismillah ia berkata:
Satu yang tidak mungkin ada duanya ialah Allah
Dua yang tidak mungkin ada tiganya ialah malam dan siang. Allah berfirman: “Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda (kebesaran kami).”
(Surah Al Isra’, ayat 12)
Tiga yang tidak mungkin ada empatnya adalah kekhilafan yang dilakukan Nabi Musa ketika Khidir menenggelamkan perahu, membunuh seorang anak kecil, dan ketika menegakkan kembali dinding yang hampir roboh. (Surah Al Kahfi, ayat 71-82).
Empat yang tidak mungkin ada limanya adalah empat kitab samawi: Taurat, Injil, Zabur dan Al-Qur’an.
Lima yang tidak mungkin ada enamnya ialah solat lima waktu.
Enam yang tidak mungkin ada tujuhnya ialah jumlah hari ketika Allah menciptakan makhluk.
Tujuh yang tidak mungkin ada lapannya ialah langit yang berjumlah tujuh lapisan. Allah berfirman: “Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis…” (Surah Al Mulk, ayat 3).
lapan yang tidak mungkin ada sembilannya ialah malaikat pemikul ‘Arsy Ar-Rahman.Alloh berfirman: “Dan malaikat-malaikat berada di penjuru-penjuru langit. Dan pada hari itu lapan malaikat menjunjung ‘Arsy Rabbmu di atas kepala mereka.” (Surah Al Haaqah, ayat 17).
Sembilan yang tidak ada sepuluhnya adalah mukjizat yang diberikan kepada Nabi Musa AS : Tongkat, Tangan yang bercahaya, Angin topan, Musim Paceklik, Katak, Darah, Kutu dan Belalang
Sesuatu yang tidak lebih dari sepuluh adalah kebaikan, Allah SWT berfirman, “Barangsiapa yang berbuat kebaikan, maka untuknya sepuluh kali ganda.” (Surah Al An’am : 160)
Sebelas yang tiada dua belasnya adalah saudara-saudara Yusuf.
Dua Belas yang tiada tiga belasnya adalah Mukjizat Nabi Musa yang terdapat dalam firman Allah : “Dan (ingatlah) ketika Musa memohon air untuk kaumnya, lalu Kami berfirman, “Pukullah batu itu dengan tongkatmu. ” Lalu memancarlah daripadanya dua belas mata air.” (Surah al Baqoroh : 60)
Tiga Belas yang tiada empat belasnya adalah jumlah Saudara Yusuf ditambah ayah dan ibunya.
Adapun yang bernafas namun tidak mempunyai ruh adalah waktu subuh. Allah SWT berfirman, “Dan waktu subuh apabila fajarnya mulai menyingsing.” (Surah At Takwir : 18)
Kubur yang membawa isinya adalah ikan yang menelan Nabi Yunus AS.
Mereka yang berdusta namun masuk ke dalam syurga adalah saudara-saudara Yusuf, ketika mereka berkata kepada ayahnya, “”Wahai ayah kami! Sesungguhnya kami telah pergi berlumba-lumba berburu dan kami telah tinggalkan Yusuf menjaga barang-barang kami, lalu ia dimakan oleh serigala;.” Setelah kedustaan terungkap, Yusuf berkata kepada mereka, “Tak ada cercaan terhadap kalian” Dan ayah mereka Ya’qub berkata, “aku akan memohonkan ampun kepada Rabbku. sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Sesuatu yang diciptakan allah namun tidak Dia sukai adalah suara keldai. Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya sejelek-jeleknya suara adalah suara keledai.” (Surah Luqman : 19)
Makhluk yang diciptakan allah tanpa ibu dan bapa adalah Nabi adam, Malaikat, unta Nabi Soleh dan kambing Nabi Ibrahim.
Makhluk yang diciptakan dari api adalah iblis, yang diazab dengan api adalah Abu Jahal dan yang terpelihara dari api adalah Nabi Ibrahim. Allah SWT berfirman, “Wahai api dinginlah dan selamatkan Ibrahim.” (Surah al Anbiya)
Makhluk yang terbuat dari batu adalah unta Nabi Soleh, yang diazab dengan batu adalah tentara bergajah dan yang terpelihara dari batu adalah Ash-Habul Kahfi (penghuni gua)
Sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap perkara besar adalah tipu daya wanita, sebagaimanafirman Allah SWT, “Sesungguhnya tipu daya kaum wanita itu sangatlah besar.” (Yusuf: 2)
Pemuda arab itu terus melanjutkan perkataannya. Ia menjawab pertanyaan dengan jawapan yang sesuai dengan firman Allah. Walaupun pertanyaan itu sengaja dibuat hanya untuk memalukannya, namun pemuda itu mampu menjawabnya dengan tenang. Hingga sampailah pada jawapan yang terakhir;
Adapun pohon yang memiliki 12 ranting, mempunyai 30 daun, setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah teduhan dan 2 di bawah sinaran matahari maknanya: pohon adalah tahun, ranting adalah bulan, daun adalah hari dan buahnya adalah shalat lima waktu, tiga dikerjakan di malam hari dan dua di siang hari.
Pendeta dan para hadirin berasa takjub mendengar jawapan pemuda muslim tersebut. Kemudian ia mints diri untuk pergi. Namun ia membatalkan niatnya dan meminta kepada pendeta agar menjawab satu pertanyaan saja. Permintaan ini disetujui oleh sang pendeta.Pemuda ini berkata,
“APAKAH KUNCI SURGA ITU?”
Mendengar sahaja soalan itu, pendeta tersebut menjadi kelu, perasannya menjadi keliru dan celaru.
Rona wajahnya turut berubah. Dia yang khuatir cuba menyembunyikan perasaannya namun Para hadirin yang ada ketika itu, mendesaknya untuk menjawab.
Mereka berkata
“kamu bertanya padanya 22 soalan dan kesemuanya dia dapat menjawab dengan baik, sedangkan dia bertanya pada anda satu soalan sahaja, namun anda tidak mampu menjawabnya?”
Pendeta itu pun berkata
“aku mengetahui jawapannya, namun aku takut jika kalian marah.”
Para hadirin itu pun berkata:
“kami menjamin keselamatan anda”
Pendeta itu pun berkata:
“jawapannya adalah Asyhadu alla Ilaaha Illallaah wa Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah.”
Lantas si Pendeta dan orang-orang yang hadir di gereja itu pun memeluk agama Islam. Sungguh Allah telah menganugerahkan kebaikan dan menjaga mereka dengan Islam melalui tangan seorang pemuda muslim yang bertakwa.
Gangguan Bipolar ialah penyakit mental yang menyebabkan seseorang itu mengalami masalah gangguan perasaan yang melampau. Gangguan Bipolar ini juga dikenali sebagai mania kepada episode Kemurungan. Ia adalah gangguan bahan kimia di bahagian otak yang menyebabkan perubahan yang luar biasa dari segi mood, tenaga, tahap aktiviti dan keupayaan menjalankan tugas harian.
1. Punca Gangguan Bipolar
Antara punca gangguan Bipolar adalah faktor Psikosial iaitu menghadapi tekanan dalam kehidupan seharian serta pengambilan dadah dan alkohol yang berlebihan.
Selain itu, sejarah keluarga atau genetik seperti individu tersebut mempunyai keluarga terdekat yang menghidap gangguan bipolar akan cenderung untuk menghidapi penyakit yang sama. Namun harus diingatkan, tidak semestinya kebanyakkan orang akan menghidap perkara yang sama walaupun keluarganya mempunyai sejarah gangguan Bipolar.
Seterusnya adalah ketidakstabilan bahan kimia dalam badan seperti paras norepinephrin yang tidak stabil. Sesetengah kajian mengatakan bahawa tahap neurotransmitter yang rendah atau tinggi seperti serotonin, norepinephrine, atau dopamin adalah penyebab kepada gangguan Bipolar.
Disamping itu, pengambilan ubat-ubatan juga adalah penyumbang kepada gangguan Bipolar seperti ubat-ubatan untuk kemurungan, darah tinggi dan steroid.
2. Simptom Gangguan Bipolar
Antara simptom gangguan Bipolar ialah mempunyai perasaan yang terlalu gembira, keyakinan yang lebih dari kebiasaan, cepat merasa marah, kesedihan yang melampau, mempunyai perasaan bersalah dan akhirnya tidak dapat menikmati kehidupannya sendiri.
Seterusnya adalah faktor pemikiran, iaitu fikiran yang tidak tenang, tidak dapat memberi tumpuan dengan baik serta tiada pertimbangan dan sentiasa berfikir perkara yang tidak perlu.
Selain itu, antara simptom gangguan bipolar adalah disebabkan tingkah laku individu tersebut seperti terlalu aktif, kurang selera makan dari kebiasaan, sentiasa merasa letih walaupun tidak melakukan perkara berat dan hilang minat dengan perkara yang disukainya.
3. Rawatan Gangguan Bipolar
Terdapat beberapa rawatan untuk mengawal gangguan Bipolar. Antaranya adalah dengan pengambilan ubat-ubatan. Contohnya adalah penstabil mood seperti lithium.
Selain itu, adalah dengan menjalani rawatan psikoterapi. Rawatan psikoterapi merangkumi :
Yang pertama, psychoeducation seperti menjalani sesi kaunseling untuk membantu individu yang mengalami gangguan bipolar ini menguruskanya.
Yang kedua adalah terapi interpersonal dan irama sosial seperti memberi tumpuan untuk mengawal tabiat harian seperti tidur.
yang ketiga, terapi tingkah laku kognitif iaitu berbincang tentang cara untuk menguruskan gangguan bipolar. Rawatan ini akan membantu individu untuk memahami corak pemikiran dan melukis strategi untuk mengatasi masalah secara positif.
Rezeki masing-masing dah ditetapkan. Jangan sedih, mungkin Allah nak kita perbanyakkan hal Akhirat kita supaya dari situ Allah bagi rezeki Dunia yang lebih luas pada kita.
Kelebihan orang yang bersyukur dan sentiasa menghargai pemberian Allah SWT termasuk nikmat usia, kesihatan, harta benda, anak serta keluarga, akan merasa kebahagiaan hidup.
Begitu juga, apabila diuji dengan kemiskinan, penyakit, masalah dan pelbagai rintangan lain, hati tetap sabar serta bersyukur kerana yakin setiap sesuatu itu ada hikmahnya.
Mereka yang bersyukur sentiasa memuji Allah SWT, menunaikan setiap suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Golongan yang bersyukur juga mengakui kebesaran Allah SWT.
Manakala bagi yang tidak bersyukur, bermakna mereka kufur kepada nikmat Allah SWT, merasa tidak cukup dengan apa yang dimiliki dan mudah dihasut oleh syaitan.
Mengkhianati amanah yang diberi, tamak dengan harta, sentiasa merasa tidak puas melihat kesenangan orang lain dan tidak takut kepada azab Allah SWT.
Oleh itu, jadilah hamba yang bersyukur kerana mengetahui segala nikmat datangnya daripada Allah SWT dan menterjemahkan rasa syukur dengan menggunakan kurniaan itu pada jalan yang diredai-Nya.
Sudahkah kita bersyukur semalam? Jom bersyukur hari ini! ❤️
Apabila sesuatu ujian itu tertimpa ke atas diri kita,
biasanya kita mampu bersabar.
Tetapi jika ia berpunca dari orang lain,
kita mula hilang sabar.
Bila kita sendiri hidup susah,
kita boleh sabar.
Tapi bila orang lain menyusahkan lagi hidup kita
yang sudah memang susah, kita mula hilang sabar.
Ingatlah…
Iblis menggunakan orang disekeliling kita untuk melukai kita, tapi Allah menghadirkan orang disekeliling kita untuk mendidik kita. jika kita pandang dari pandangan Iblis, maka ia akan melukakan kita, namun jika kita pandang dari sudut hikmah bagaimana Allah ‘mengatur’ kehidupan kita, maka kita akan bersyukur dengan setiap proses dan pembentukan☺️
Masih terngiang-ngiang kata-katanya sewaktu kami bergaduh tempoh hari,
“kau ni muka dah lah tak cantik, kerja pun tak ada, kau ingat ada lelaki nak pandang kau ke?”
Aku seperti biasa hanya diam hingga mengalir air mata, sebak dalam hati Tuhan sajalah yang tahu.. Entah apa yang tak kena di matanya sedangkan ini kehidupanku, kenapa dia pula melebih? Haih…. Lebih kuah dari sudu!
Hari demi hari aku tanam kebencian dalam hati untuknya. Kata-katanya tidak patut! Aku ni berteman dengannya sudah lama, sampai hati dia hembur kata sedemikian rupa!
Sudah empat hari kami tidak bertegur, bukan dia yang tidak mahu menegur, tetapi aku lah yang menjauh darinya.
Patutkah aku begini? Ya Allah, Islahkan jiwa ini agar tidak membenci sesama sendiri.. tetapi hati ini masih terluka. Perlukah aku menegurnya seperti biasa?
Aarghhh, biarlah. Aku tak peduli!
Tanganku menggapai telefon bimbit, aplikasi facebook sahaja yang terlintas di benak fikiran.
Sedang aku membaca dan melihat posting-posting yang lalu di feed, mataku tertangkap satu kata-kata..
Aku tersentak seketika. Allahu.. aku terlalu ikutkan perasaan. Aku mulai sedar, dalam hidup ini tiada yang sempurna, manusia tak pernah terlepas dari berbuat salah. Aku sebagai seorang muslim perlulah berlapang dada dan bersikap lebih memaafkan.
Walau dicaci dan dihina, maafkanlah..
Maafkan, bukan menyimpan dendam.
Seharusnya, kubalas lemparan batu dengan sekuntum bunga, itulah antara contoh teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW ketikamana terlalu banyak penderitaan dan cemuhan yang Baginda terima, tetap Baginda berbuat baik
Jam locengku berbunyi, tepat menunjukkan pukul 3 pagi.
Aku segera bangkit untuk berwudhu’ dan bertahajjud. Ku teringat pesan temanku untuk mengejutkannya sekali dan bertahajjud bersama-sama. Ku panggil berkali-kali namun dia masih lena diulit mimpi. Ku tinggalkan dia dan terus ke kamar mandi.
Seusai membersihkan diri, aku mengejutkannya sekali lagi.
Masih sama, dia tidak juga bangkit dari tidurnya.
Aku bermonolog sendiri “kenapalah susah sangat kau nak bangun? Dosa apa yang kau buat hingga Allah taknak berjumpa dengan kau? Lihat aku, jam baru berbunyi, aku dah boleh tersedar.”
“hmmm.. ni mesti tak azam sungguh-sungguh untuk bangun, sebab tu liat”
.
.
.
Hati-hati, jangan mudah merendah-rendahkan amalan orang lain. Jangan berasa bangga dengan amal sendiri. Sesungguhnya kita telah Berjaya diperdaya oleh syaitan apabila kita mula merasa diri kita lebih baik berbanding orang lain. Sungguh, jarum syaitan terlalu halus, tipu dayanya terlalu licik!
Hati-hati jaga hati.
.
.
Ibnu Athaillah berkata:
“ketika iblis berputus asa mengajak manusia kearah kemungkaran, maka misi selanjutnya adalah menjadikan manusia merasa dirinya cukup baik.”
1. Jangan bandingkan hidup kita dengan orang lain. Kita mungkin tidak tahu bagaimana perjalanan susah senang kehidupan mereka.
2. Jangan berfikiran negatif terhadap benda yang kita tidak boleh kawal. Sebaliknya, tumpukan pada apa yg kita ada. Tenaga, masa dan wang kita, fokus terhadap benda positif yang mampu kita buat pada masa ini.
3. Tidak berlebihan melakukan apa yang anda tidak mampu buat. Cukuplah setakat yang anda mampu. Jangan terlalu obses.
4. Jangan terlalu beremosi terhadap diri sendiri, jika ada yang perli, senyumkan saja..
5. Jangan bazirkan tenaga dan masa terhadap gosip politik dan gosip liar yang keterlaluan.
6. Berfikir dengan tenang dan positif terhadap masalah dan musibah yg menimpa.
7. Iri hati adalah sia-sia. Harta org bukan rezeki dan hak kita.
8. Jangan ungkit kesilapan pada masa lampau. Lupakan! Ianya akan menghancurkan kegembiraan kita di masa depan..
9. Hidup ini terlalu singkat untuk membenci sesiapa. Sebarkan kasih sayang.
10. Berdamailah dengan diri dan bersyukur dgn apa yg ALLAH telah kurniakan..
11. Tiada siapa yang boleh menggembirakan kita selain dari diri kita sendiri dan tiada ketenangan melainkan tawakal pada-Nya.
12. Ketahuilah bahawa hidup ini ialah seperti sekolah dan kita harus terus belajar. Jangan mudah putus asa dengan masalah.
SEORANG penuntut Malaysia di Lubnan pada mulanya menyangkakan kejadian letupan di sebuah gudang di pelabuhan di Beirut, semalam adalah gempa bumi.
Ini kerana dia merasakan kediaman seorang pegawai di Kedutaan Besar Malaysia di Lubnan, seolah-olah bergegar ketika mereka sedang minum petang.
Penuntut tahun akhir di Universiti Islam Beirut, Ismail Zulkifli berkata, sebelum kejadian dia berada di pejabat Kedutaan Malaysia atas urusan rasmi sebelum dijemput ke rumah seorang pegawai kedutaan di Al Manurah, sekitar enam kilometer dari Pelabuhan Beirut.
“Sekitar jam 5.45 petang, kediaman berkenaan bergegar..saya mendiamkan diri untuk seketika sebelum satu letupan yang sangat kuat bersama gegaran lebih dahsyat dari yang pertama.
“Saya kemudian keluar ke balkoni rumah apartment berkenaan sebelum melihat penduduk di kawasan berhampiran keluar ke jalan raya sambil menjerit-jerit,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Ismail yang hampir lima tahun menuntut di Beirut berkata, dia kemudian melihat kepulan asap besar berwarna jingga di ruang udara kawasan Pelabuhan Beirut.
“Pada masa sama saya mendapati kawasan kediaman pegawai kedutaan mengalami kerosakan akibat gegaran itu di mana pintu rumah terkopak dan pintu tutup balkoni terkeluar dari relnya.
“Kami yang masih bingung dengan kejadian letupan itu kemudian mengambil keputusan untuk menuju ke kediaman Kedutaan Malaysia bagi mendapatkan perlindungan,” katanya.
Penuntut yang berasal dari Semenyih, Selangor itu berkata, semasa dalam perjalanan ke kediaman kedutaan, dia melihat orang ramai berkumpul di jalan raya sebelum dimaklumkan tentang situasi sebenar letupan yang berlaku.
“Sebaik tiba di kediaman kedutaan, kami kemudian menghubungi rakan-rakan penuntut dari Malaysia sebelum dimaklumkan semuanya dalam keadaan selamat.
“Sekitar jam 10 malam waktu (4 pagi Malaysia) saya kemudian dibenarkan pulang ke kediaman saya di kawasan Aishah Bakkar yang terletak 10 minit perjalanan dengan kereta dari lokasi kejadian letupan,” katanya.
Katanya, apabila kembali ke kediamannya dia mendapati ada sedikit kesan retakan namun keadaan lebih parah berlaku di dewan kuliahnya.
“Kesan gegaran dan letupan itu mengakibatkan hampir sebahagian besar kawasan kampus terjejas teruk dengan keadaan cermin pecah, siling jatuh dan retakan yang besar,” katanya.
Ismail berkata, akibat kejadian itu keluarganya menasihatkannya untuk pulang ke tanah air dalam masa terdekat namun dia merancang untuk menyiapkan tesis akhir sebelum pulang pada Oktober depan.
KUALA TERENGGANU- Seorang penganggur dijatuhi hukuman 24 tahun penjara dan 10 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merogol dan merompak pengantin baharu tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Yusof Othman, 28, dari Dungun dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah atas dua pertuduhan iaitu Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak mangsa yang berusia 30 tahun.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa semasa menceroboh masuk ke rumah sewanya di Paka, Dungun, jam 5.40 pagi, pada 5 Oktober tahun lalu.
Selain itu, tertuduh didakwa merompak mangsa dengan memaksa menyerahkan wang tunai dan barangan berharga termasuk sebuah telefon bimbit pada waktu, tempat dan hari sama.
Mahkamah juga memerintahkan agar kesemua hukuman penjara berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 21 Januari lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak di hadapan Hakim Nooriah Osman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa kejadian, mangsa yang bekerja sebagai tukang masak tidur bersendirian memandangkan rakan serumahnya sudah berhenti kerja, manakala suami yang baharu dikahwini beberapa bulan bekerja di Kuala Lumpur.
Tertuduh yang dikatakan bertopeng dan hanya berseluar dalam memecah masuk sebelum merogol mangsa.
Mangsa turut cedera di paha akibat terkena gunting ketika bergelut dan tertuduh turut membawa lari wang tunai RM200 serta sebuah telefon bimbit milik mangsa.
Kemurungan merupakan gangguan perasaan yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, keletihan, tiada tenaga, cepat marah serta hilang minat dengan aktiviti harian bahkan ia akan berlarutan sehingga sekurang-kurangnya selama dua minggu.
Penyakit ini boleh dihadapi oleh sesiapa sahaja tidak kira jantina, umur dan bangsa. Kemurungan boleh berlangsung sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun lamanya. Sekiranya ia tidak ditangani secara baik, ianya kemungkinan akan membawa kepada tindakan membunuh diri.
1. Penyebab/Punca Kemurungan
Antara penyebab atau punca kemurungan adalah keturunan, iaitu jika seseorang itu mempunyai keluarga yang pernah menghadapi kemurungan atau tinggal bersama mereka yang menghidapi masalah yang sama. Selain itu, pengambilan ubat-ubatan seperti sesetengah jenis ubat darah tinggi juga mampu mencetuskan kemurungan dan ianya akan terhenti apabila pengambilan ubat itu dihentikan. Seterusnya, corak pemikiran seseorang seperti bagaimana persepsi individu kepada diri sendiri terhadap kehidupannya. Akhir sekali, adalah penyalahgunaan dadah atau ketagihan dadah yang juga merupakan salah satu punca mengapa berlakunya kemurungan.
2. Tanda-Tanda Kemurungan
Antara tanda-tanda kemurungan adalah mempunyai perasaan kosong yang berpanjangan, serta hilang minat dengan hobi yang kebiasaanya menarik perhatian. Individu yang mempunyai kemurungan juga akan merasakan tidak bertenaga dan mudah merasa letih serta mudah berputus asa, bahkan mereka yang merasakan diri sendiri tidak berguna dalam kehidupannya juga merupakan salah satu diantara tanda-tanda yang mencetuskan kemurungan. Seterusnya, pesakit yang mempunyai kemurungan ini juga akan kerap mengalami gangguan tidur, mudah merasa cemas dan fobia, tidak tenteram dan mudah untuk merasa marah.
3. Langkah PencegahanKemurungan
Individu yang mengalami kemurungan boleh mendapatkan rawatan atau bantuan daripada mereka yang lebih berkelayakan seperti Doktor, Ahli Psikologi atau Ahli Psikiatri.
Selain itu, individu ini hendaklah sentiasa bersikap positif dan cuba untuk bertenang ketika menghadapi sesuatu perkara serta mengamalkan gaya hidup yang sihat atau lakukan aktiviti yang disukainya.
4. Kesan Kemurungan
Diantara kesan sekiranya bantuan tidak diberikan akan mendatangkan banyak keburukan seperti kesan ke atas fizikal, psikologi dan sosial.
Kesan keatas fizikal adalah masalah kurang berat badan atau mempunyai masalah kegemukkan, gangguan kitaran haid yang tidak teratur seperti kebiasaan dan anemia iaitu sentiasa kelihatan pucat.
Kesan ke atas psikologi pula ialah individu akan mempunyai perasaan rendah diri seperti tidak yakin dengan diri sendiri dan mempunyai risiko untuk membunuh diri.
Akhir sekali, antara kesan kepada sosial ialah sekiranya individu tersebut adalah pelajar sekolah, kemungkinan yang akan dihadapinya adalah pencapaian sekolah yang semakin merosot dan seterusnya membawa kepada tabiat ponteng sekolah. Selain itu, kesan kepada sosial juga adalah ia akan menjurus kepada penyalahgunaan dadah dan pengambilan minuman keras yang memabukkan.
Nurflix merupakan platform streaming video yang akan bermula pada Oktober ini dengan siara percuma selama tiga bulan. Pengerusi Nurflix, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Mohd Tahir berkata, tempoh tiga bulan itu dierikan agar Nurflix boleh mendapatkan maklumat balas sekali gus menambah baik khidmat dan menetapkan harga langganan pada kadar mampu.
Apa yang menarik dengan Nurflix?
Platform ini dibangunkan sebagai platform hiburan dengan kerjasama antara golongan ulama’ dengan karyawan Industri Kreatif.
Menurut Pengerusi Nurflix lagi, dalam arus kemodenan serta perkembangan platform streaming dalam talian sekarang yang sangat mencabar dengan lambakan konten-konten yang tidak selari dengan tuntutan agama, hal ini menjadi kebimbangan buat anak-anak dalam memilih bentuk hiburan yang sesuai.
Namun, dengan Nurflix, beliau menjamin kandungannya akan ditapis dengan sebaiknya menerusi panel penasihat kandungan yang dipanggil Nurpath. Hal ini bagi memastikan setiap kandungan menepati nilai-nilai Islam berteraskan akidah, adab dan akhlak serta selamat ditonton oleh pelbagai golongan.
Untuk peringkat permulaan, sebanyak 12 tajuk daripada pelbagai jenis kategori termasuk drama dan filem akan disiarkan. Nurflix.TV akan dilancarkan secara rasmi pada Januari 2021.
KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang merangka kaedah baharu bagi menggantikan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) subjek bertulis yang dibatalkan akibat penularan pandemik Covid -19.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, kaedah yang dilaksanakan nanti perlu sesuai dalam situasi negara masih lagi belum bebas daripada pandemik maut itu.
“Kami sedang merangka kaedah yang paling sesuai bagi penilaian murid yang terlibat dan akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) yang mahu tahu adakah kementerian melakukan perbincangan dengan pemegang taruh sekolah agama bagi menggantikan ujian penilaian UPKK yang dibatalkan bagi memastikan penilaian ujian itu tidak terganggu.
Pada 17 April, Jakim membuat keputusan membatalkan pelaksanaan UPKK bagi subjek bertulis yang dijadual pada 28 September hingga 1 Oktober.
Sementara itu menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (PH-Parit Buntar) mengenai perkembangan Majlis Tahfiz Negara (MTN), Ahmad Marzuk berkata, kerajaan sedang giat membangunkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) bagi menggerakkan MTN.
“Ia termasuk terma dan rujukan standard MTN, standard dan SOP penarafan hufaz, standard penarafan institusi tahfiz peringkat rendah dan tinggi iaitu bagi menjamin tahap keselamatan dan menaik taraf aspek pensijilan tahfiz,” katanya.
Beliau berkata, pelancaran SOP itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu menjawab soalan asal Mujahid mengenai peruntukan kepada sekolah agama, tahfiz dan pondok secara perbandingan pada tahun 2017, 2018, 2019 dan 2020, Ahmad Marzuk berkata, pada tahun 2017 peruntukan khas sebanyak RM80 juta iaitu institusi sekolah pondok sebanyak RM50 juta dan tahfiz pula RM30 juta.
“Pada 2018 sebanyak RM75 juta diperuntukkan (pondok RM50 juta) dan tahfiz RM25 juta, 2019 sebanyak RM100 juta iaitu RM25 juta sekolah pondok, RM50 juta kepada sekolah tahfiz dan RM25 juta sekolah agama,” katanya.
Beliau berkata, Bajet 2020 pula meluluskan peruntukan khas sebanyak RM100 juta iaitu RM25 juta kepada sekolah pondok, RM50 juta kepada sekolah tahfiz dan RM25 juta kepada sekolah agama. – Bernama